Memaparkan catatan dengan label Wan Su Bin Othman. Papar semua catatan

Pengeluaran dan Pencapaian hasil kerja Wan Su  

Ditulis oleh : Bahagian Pemuliharaan Kategori :

Pengeluaran

Sebahagian besar hasil-hasil tempahan Wan Su diterima dari pihak Istana atau orang-orang atasan. Cara demikian dianggap sebagai satu penghargaan oleh beliau. Seni ciptaannya kurang dipasarkan di tempat-tempat umum memandangkan kos jualan adalah tinggi di samping perlunya mengambilkira penghayatan yang rendah dikalangan masyarakat terhadap seni ukiran kayu.

Dari segi komposisi kaum, masyarakat melayu merupakan golongan pembeli utama yang memberi perhatian kepada hasil-hasil beliau. Hanya sejak akhir-akhir ini terdapat beberapa pembeli China. Tempahan dari lain-lain kaum belum lagi diterima setakat ini.

Pencapaian

Bukan sahaja tempahan-tempahan diterima, malah beberapa hasil karyanya dihantar untuk tujuan pameran atau pertandingan yang dianjurkan oleh agensi-agensi kerajaan, swasta dan persendirian. Di antara pertandingan-pertandingan yang pernah dirasai beliau ialah Pameran Seni Kraf Kayu bertempat di Dewan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Ampang Kuala Lumpur. Pertandingan tersebut diadakan sebanyak dua kali iaitu pada
 tahun 1971 dan 1972.

Di dalam kedua-dua pertandingan itu beliau telah mengusulkan dua rekabentuk ukiran yang dinamakan ukiran bunga timbul silat dan bunga tebuk tembus tanpa silat. Kedua-dua hasil rekaannya memenangi hadiah pertama dan kedua serta dijadikan hasil koleksi pameran di dewan tersebut.

Pada tahun 1974, Wan Su memasuki satu pertandingan bagi rekaan kapit buku. Turut serta ialah rakan-rakannya Encik Latif Long dan Encik Bakar. Sekali lagi hasil ciptaanya memperolehi tempat pertama. Keindahan dan keaslian identiti bahan itu mendorong pihak Muzium Negara menyimpannya sebagai bahan koleksi. Penghasilanbarangan kraf Wan Su juga mendapat penghormatan mempamerkan salah satu hasil-hasil ukirannya yang terkenal di Twons Bay, Australia dalam tahun 1975.

-- Tahun 1990 --

Perbezaan Ukiran Dahulu dan Sekarang  

Ditulis oleh : Bahagian Pemuliharaan Kategori :

Menurut Wan Su, bahan kayu yang digunakan pada masa dahulu didapati lebih kukuh berbanding dengan bahan sekarang. Kebanyakkan kayu yang diukir kini berumur kurang dari 100 tahun. Kayu mudah kecut kerana tidak cukup keras. Keadaan ini juga menyebabkan kayu sekarang mudah berlubang dan tidak tahan lama. Seelok-eloknya pokok yang hendak digunakan, berusia 100 tahun ke atas, dan sebelum diukir ianya telah disimpan selama dua tahun bagi memastikan kayu tersebut benar-benar kering.

Mutu sesuatu ukiran kayu bergantung pada kreativiti pengukir dan jangkamasa beliau bekerja. Menyiapkan sesebuah ukiran yang bermutu biasanya memakan masa yang agak lama. Hanya mereka yang mempunyai daya ketahanan yang tinggi mampu melaksanakan kerja yang rumit ini. Penggunaan masa dapat menentukan ketelitian pengukir, kualiti dan keunikan bahan ciptaan. Meskipun harganya agak tinggi, namun ia sejajar dengan nilai ukiran kayu. Menurut Wan Su, beliau tidak sanggup menghasilkan barang-barang yang kurang bermutu. Situasi inilah yang mengekalkan imejnya lebih lama dari lain-lain pengukir yang hanya mengutamakan kerja-kerja mengukir dalam masa yang singkat. Tambahan pula, peralatan sekarang lebih banyak dan ini secara tidak langsung membantu mempercepatkan kerja-kerja mengukir.

Petua Wan Su  

Ditulis oleh : Bahagian Pemuliharaan Kategori :

Mengikut kelaziman pengukir-prngukir kayu, sesuatu ukiran itu terlebih dahulu di "balak" sebelum meneruskan kerja-kerja mengukir. Bagi Pak Su, cara demikian hanya merugikan kayu sahaja kerana ia boleh menjadi nipis. Tambahan pula, corak bunga seperti bunga timbul tidak begitu kelihatan seperti yang dikehendaki. Sebaliknya ukiran kayu perlu dipelas dan diteruskan dengan cara membalak sebelum beralih kepada proses menyilat serta kerja-kerja selanjutnya. Seseorang pengukir itu harus memastikan bahagian-bahagian yang tidak dikehendaki dibuang bagi membolehkan corak-corak bunga timbul dan kelihatan menarik.

Diperingkat mempelas, lentik-lentik di bahagian hujung bunga harus dijaga dengan rapi. Kertas pasir digunkakan sebagai bahan melembutkan dan mencantikkan ukiran bunga. Amalan penjagaan semasa proses menyilat mempunyai sedikit persamaan dengan peringkat mempelas. Kelembutan batang bunga dijaga supaya tidak mudah patah. Bagi mengelakkan batang bunga melengkung, pahat digunakan untuk memahat di bahagian urat kayu. Sebaik sahaja proses mengukir hampir siap, bekas-bekas yang telah dipahat seterusnya diketuk perlahan-perlahan. teknik penjagaan seperti ini turutdilakukan ke atas kayu jenis bujur dan pintas.

kesemua aturcara ini adalah semata-mata untuk tempahan-tempahan yang mahal kerana ia melibatkan kawalan mutu, kos pembuatan dan faktor masa dalam menyempurnakan sesuatu hasil ukiran

Menurut Pak Su, corak bunga mempunyai pertalian dengan jenis kayu. Bagi ciptaan ukiran-ukiran yang kecil, kayu jelutung diutamakan.Sementara ukiran jenis besar kayu jenis cengal adalah lebih sesuai.

Sebagaimana tukang-tukang kraf yang lain, Haji Wan Su tidak lari dari pantang larang. Petua yang pernah dipegang oleh beliau dahulu agak unik sedikit. Ketika memulakan kerja-kerja mengukir beliau akan memastikanbahawa tidak ada orang yang melihatnya bekerja. Beliau berprasangka seolah-olah ada orang yang memerhati dan menganggap hasil kerjanya tidak cantik dan kemas. Pak Su percaya konsentrasinya boleh hilang akibat kehadiran seseorang itu.

-- Tahun 1990 --

Motif - Wan Su  

Ditulis oleh : Bahagian Pemuliharaan Kategori :

Tidak banyak reka corak yang dibuat oleh Pak Su. Kebayakkan dari reka corak yang digubah ialah jenis corak bunga rekaan atau "bunga khayalan". Biasanya corak yang paling digemari ialah corak awan larat. Pemilihan sesuatu reka corak ini bergantung kepada kehendak seseorang penempah.

Corak yang mula-mula sekali diperkenalkan oleh Pak Su ialah motif pohon uji-uji, diambil sempena pokok uji-uji. Pohon ini setinggi 5 kaki. Secara kebetulan pula, buah dan bijinya dapat digunakan sebagai ubat bisul. Menurut kepercayaan orang-orang kampung dahulu, sesiapa yang menelan buah uji-uji, beliau tidak akan dihidapi oleh penyakit bisul.

Corak kedua yang dihasilkan oleh Pak Su ialah motif bunga emas. Rekaan motif ini telah pun wujud sejak zaman dahulu lagi. ia tidak sahaja ditempah oleh golongan istana malah oleh orang kebanyakan. Bukan sahaja seni ciptaannya menarik minat setiap orang yang melihat, tetapi saiz corak bunga yang dikehendaki dapat disesuaikan dengan bentuk barangan. satu contoh ragam hias rekaan motif ini adalah seperti mana terdapat pada mimbar Masjid Negeri di Kuala Terengganu.

Menurut Pak Su, ciptaan corak bunga emas dalam sesebuah negeri mempunyai identiti tersendiri. Daya cipta dan corak bunga di Terengganu agak berbeza dengan di Kelantan. Dengan itu, sukar untuk menentukan asal usul dan keaslian bunga tersebut.

Selain corak bunga emas, beberapa corak bunga seperti bunga sayong, bunga senduduk, bunga sayap, "daun tanjung" dan "daun keledang" turut mendapat sambutan yang menggalakkan.

Penglibatan Tokoh Dalam Bidang Kraf  

Ditulis oleh : Bahagian Pemuliharaan Kategori :


Beberapa faktor seperti proses sosialisasi keluarga, persekitaran, rakan-rakan sebaya dan dorongan individu mempengaruhi penglibatan Pak Su di dalam seni pertukangan kayu. Di dalam keluarga sahaja, kakaknya amat cekap membuat dinding serta mengubah atap rumah. Datuknya adalah seorang tukang emas. Saudaranya iatu Guntur begitu mahir sekali membuat ukiran rumah. Terdapat juga di kalangan saudara beliau yang pernah menjadi tukang ukir di raja Patani. Nik Wan Ali, bapa saudara Pak Su adalah seorang tukang payung raja Patani. Meskipun Pak Su tidak sempat berguru, tetapi darah seni kraf dari bapa saudaranya tetap mengalir kepada beliau.

Pepatah melayu ada menyebut "bapa borek anak rintek". Ayahnya langsung tidak tahu mengukir kayu. Malah untuk untuk membuat pemanggang ikan pun beliau tidak berkebolehan. Apatah lagi, ayah Pak Su sendiri telah lama meninggal dunia lantas tidak sempat memberi galakan dan nasihat kepada beliau. Sungguhpun demikian, ia  tidak membantutkan aspirasi beliau untuk terus menjadi seorang pengukir kayu yang terkenal di satu hari nanti.

Ketika usianya meningkat sebelas tahun, beliau tertarik melihat seorang tukang mahir mengukir tempat semangat sebagai kegunaan tempat persandingan atau tempat berkhatan. Setiap kali selepas mengaji quran, beliau terus mendampingi tukang mahir berkenaan serta mengamati pekerjaannya. Suatu hari, Pak Su terfikir bahawa beliau juga mampu menjadi pengukir kayu. Keesokkan hari, setelah melihat tukang ukir itu menyelesaikan kerja-kerjanya, Pak Su mengutip sisa-sisa kertas yang telah dibuangkan. Dengan bahan-bahan yang dibawa pulang itu, beliau meniru hasil-hasil ukiran tukang ukir tersebut. Dalam usia yang begitu muda, Pak Su sudah pun pandai mengukir meskipun ukirannya tidak seberapa cantik.

Ketika umurnya menjangkau dua puluh tahun, beliau mempelajari secara sistematik membuat tempat semangat. Kemahiran ini diperolehi semasa beliau berada di Pengkalan Kubur, satu tempat yang memang terkenal sebagai tempat membuat perajangan. Setelah  berkahwin, beliau semakin giat mendalami pengetahuan di dalam rekaan motif awan larat. Di sinilah juga, Pak Su menguasai kemahiran dalam setiap jenis reka corak bunga yang ada pada sesuatu ukiran kayu. Tengku Muda (Ku Muda) seorang kerabat di Raja Kelantan, merupakan tokoh yang bertanggungjawab membimbing Pak Su mendalami bidang ini.

Selain Ku Muda, terdapat seorang lagi kenalan Pak Su yang sama-sama terlibat dalam kerja-kerja ukiran. Beliau ialah Encik Ahmad. Darinyalah, Pak Su memerhati cara-cara memahat yang kemas dan cantik. Kepandaian Pak Su dalam memahat terserlah apabila beliau mampu mengalahkan Encik Ahmad dalam satu pertandingan mengukir. Jelas sekali, Pak Wan banyak menerima idea hasil perhubungan dan pembelajaran dengan tokoh-tokoh ukir yang lain. Ini termasuklah, Encik Latif Long, Haji Wan Ismail, Encik Nik Rashidin, Cikgu Mat Bakar (semua dari Kota Bharu) dan Encik Bakar.

Tuah Pak Su mulai nampak di tahun-tahun berikutnya. Pada bulan September 1960, seorang tokoh sejarah tempatan bernama Tuan Haji Mudin Shepherd (sekarang bergelar Tan Sri Dato' Haji Mubin Shepherd) telah datang ke Besut dan menjemput Pak Su mengukir awan larat di Muzium Negara. beliau menerima tawaran tersebut dan dua tahun kemudian berangkat ke Kuala Lumpur. Pak Su menyempurnakan tugas yang diamanahkan itu dalam masa setahun sahaja. Pada bulan Ogos 1964, muzium tersebut dirasmikan oleh Duli Yang Maha Mulia Yang Dipertuan Agong Sultan Perlis.

Hasil Kerja itu telah mengharumkan nama Pak Su. Beliau kerap menerima tempahan-tempahan terutama dari Sultan Pahang. Ia merupakan kontrak untuk mengukir pagar, tangga, pintu masuk istana serta dinding dewan santapan. Berkat kegigihannya, beliau mampu menyiapkan semua tugas tersebut dalam masa empat bulan.

Bakat kemahiran tidak setakat terhad kepada seni ukiran kayu malah mengukir patung wayang kulit. Patung-patung ini dipamerkan di cermin pintu kedai guntingnya. Pernah satu ketika, Pak Su mendapat tempahan dua buah patung wayang kulit dengan harga RM25.00 dari Tuan Haji Mubin Sendir. Tempahan ini juga adalah kali pertama diterima daripada pelanggan.

Walaupun Pak Su sibuk mengukir dan menggunting rambut, beliau juga tidak ketinggalan. Di antara kegemaran beliau ialah meniup serunai, bermain berebab dan memukul gendang.

Latar Belakang Wan Su  

Ditulis oleh : Bahagian Pemuliharaan Kategori :

Orang sederhana tinggi. Raut wajahnya yang serius menampakkan kesungguhan dan ketegasan. Ini jelas kelihatan ketika beliau menumpukan sepenuh perhatian mengukir sebuah kerusi. Walaupun usianya sudah meningkat 78 tahun, namu beliau masih tegap dan mampu menyempurnakan kerja-kerja yang biasanya dilakukan oleh anak-anak muda. Beliau tidak lain tidak bukan ialah Tuan Haji Wan SU Othman, seorang tokoh pengukir kayu terkenal di Terengganu.

Haji Wan Su atau lebih dikenali dengan panggilan Pak Su merupakan seorang anak watan dari negeri Che Siti Wan Kembang. Beliau dilahirkan di Pengkalan kubur, satu mukim antara sempadan Kelantan dan Thailand. Tetapi keluarga beliau sebenarnya berasal dari Patani, sebuah daerah yang terletak di selatan thai. Emaknya, Puan Wan Sari dan nenek Puan Nik Wan Limah juga berasal dari tempat yang sama. Bagaimanapun, semasa berumur 25 tahun, beliau berpindah ke Besut untuk menyekolahkan anak-anaknya. Disinilah Pak Su bermastautin bersama isteri dan keluarga sehinggalah sekarang.

Sebagaimana orientasi didikan yang diberi oleh ibu bapa kepada anak-anak mereka di kalangan masyarakat Melayu, keadaan yang serupa juga berlaku di dalam keluarga beliau. Pak Su tidak ketinggalan menerima didikan dan asuhan di dalam hal-hal agama. Ibunyalah yang bertanggungjawab mengasuh beliau sejak ayahnya meninggal dunia di kala Pak Su baru berusia 7 tahun. Beliau seterusnya dihantar mengaji dengan seorang guru agama. Segala nilai-nilai keagamaan yang dipelajari tidak dipersia-siakan begitu sahaja. ianya kemudia dijadikan amalan prinsip hidup Pak Su di samping mendidik sebelas orang anak-anaknya iaitu enam lelaki dan lima perempuan.

Sewaktu kecil, kehidupan. Pak Su tidak banyak berbeda dengan anak-anak muda kampung yang lain. Beliau gemar sekali bermain wau, satu jenis permainan yang diceburi setiap kali selepas musim menuai padi. Ketika usianya meningkat dua puluh tahun, kecenderungan beliau berubah kepada permainan sepak takraw. Secara tidak langsung permainan-permainan seperti ini dapat merapatkan lagi hubungan di antara beliau dan rakan-rakan sebaya yang lain.

-- Tahun 1990 --

Biodata Wan Su Bin Othman  

Ditulis oleh : Bahagian Pemuliharaan Kategori :

Adiguru Kraf Ukiran Kayu  

Ditulis oleh : Bahagian Pemuliharaan Kategori :

Seni ukiran di antara cabang seni yang telah lama wujud di negara ini. Ragam hias seni ukiran tempatan ini terkenal dengan nilai-nilai estetika yang tiada tolok bandingannya. Salah seorang tokoh yang ternama dalam bidang ukiran ini ialah Haji Wan Su Othman yang dilahirkan pada tahun 1909 di kampung Pengkalan Kubur, Kelantan dan kemudian menetap di Besut Terengganu. Mesra dengan panggilan Pak Su mempunyai 12 orang anak dan tiga daripadanya mewarisi kemahiran mengukir.

Beliau mula giat berkarya pada usia remaja dan faktor sosiolisasi, rakan sebaya, persekitaran serta dorongan keluarga telah menempatkan nama beliau sebagai tukang ukir yang ternama dan disegani. Datuk saudaranya Nik Wan Ali iaitu pengukir istana Raja Patani di Siam menjadi guru yang mengajar beliau kemahiran mengukir. Beliau membina bengkel mengukir yang dinamakan Balai Seni Ukir berhampiran dengan rumah dan di sinilah beliau bekerja menyiapkan tempahan yang diterima. Sentuhan seni beliau tersergam indah menghiasi antaranya Muzium Negara, Istana Maziah di Terengganu, Istana Abu Bakar di Pahang dan Istana Alam Shah, Selangor. Beliau turut memberi bimbingan kepada generasi muda yang berminat dalam bidang ukiran dan ada di antara mereka yang turut menempa nama dalam bidang ini.

Sumbangan beliau telah mendapat pengiktirafan dari pelbagai pihak. Pada tahun 1987 Kraftangan Malaysia melantik beliau sebagai Adiguru Kraf Ukiran Kayu dan pada tahun 1997 beliau dianugerah pula dengan gelaran Tokoh Seni Negara.