Motif - Wan Su  

Ditulis oleh : Bahagian Pemuliharaan Kategori :

Tidak banyak reka corak yang dibuat oleh Pak Su. Kebayakkan dari reka corak yang digubah ialah jenis corak bunga rekaan atau "bunga khayalan". Biasanya corak yang paling digemari ialah corak awan larat. Pemilihan sesuatu reka corak ini bergantung kepada kehendak seseorang penempah.

Corak yang mula-mula sekali diperkenalkan oleh Pak Su ialah motif pohon uji-uji, diambil sempena pokok uji-uji. Pohon ini setinggi 5 kaki. Secara kebetulan pula, buah dan bijinya dapat digunakan sebagai ubat bisul. Menurut kepercayaan orang-orang kampung dahulu, sesiapa yang menelan buah uji-uji, beliau tidak akan dihidapi oleh penyakit bisul.

Corak kedua yang dihasilkan oleh Pak Su ialah motif bunga emas. Rekaan motif ini telah pun wujud sejak zaman dahulu lagi. ia tidak sahaja ditempah oleh golongan istana malah oleh orang kebanyakan. Bukan sahaja seni ciptaannya menarik minat setiap orang yang melihat, tetapi saiz corak bunga yang dikehendaki dapat disesuaikan dengan bentuk barangan. satu contoh ragam hias rekaan motif ini adalah seperti mana terdapat pada mimbar Masjid Negeri di Kuala Terengganu.

Menurut Pak Su, ciptaan corak bunga emas dalam sesebuah negeri mempunyai identiti tersendiri. Daya cipta dan corak bunga di Terengganu agak berbeza dengan di Kelantan. Dengan itu, sukar untuk menentukan asal usul dan keaslian bunga tersebut.

Selain corak bunga emas, beberapa corak bunga seperti bunga sayong, bunga senduduk, bunga sayap, "daun tanjung" dan "daun keledang" turut mendapat sambutan yang menggalakkan.


Setiap bunga, setiap sulur dan helai daun yang menjulur mempunyai makna yang mendalam. Ia dimanifestasikan sebagai suatu darjat, budaya, ugama, kemakmuran dan seumpanya. Keadaan demekian jelasmelalui salah satu hasil ukiran beliau di Istana Sultan Selangor, Alam Shah dengan Awan Larat yang ditafsirkan "kemakmuran dan kesuburan Negeri Selangor". Disini beliau menggunakan motif daun sembung dan peria bagi melambangkan status raja dan rakyat. Stratifikasi sosial dan sistem nilai dalam mesyuarat Melayu menunjukkan betapa kehadiran raja mempengaruhi pola kehidupan rakyat.

Hakikat tersebut diperkukuhkan dengan tabii semulajadi pohon sembung. Pohon ini boleh menyuburkan lagi pohon lain yang ditumpanginya. Berlainan dengan pohon dedalu (di mana bunga dedalu merupakan salah satu jenis corak ukiran kayu), ia tidak dapat melindungi pohon lain.

Sejak zaman dahulu, pohon sembung sering digunakan di dalam upacara perayaan seperti pertunjukan wayang kulit. Fungsi pohon ini ialah menyeru dewa dan jin. Pemujaan ke atas dewa-dewa ini tidak dinafikan di dalam masyarakat Melayu yang bersifat animisma ketika itu. Alam kedewa-dewaan dan kayangan dipercayai mempunyai hubungan dengan raja-raja. Bunga yang tumbuh dipuncak pohon menandakan kebesaran raja. Berlandaskan keistimewaan pohon inilah, Pak Su mengilhamkan motif-motif ukirannya, Rakyat dilambangkan menerusi pohon peria. Hidup bekerjasama, mengelakkan perbalahan dan taat setia kepada pemerintah dianggap sebagai tanggungjawab rakyat. Pohon peria tidak tumbuh sama tinggi dengan pohon sembung seolah-olah menggambarkan dua strata yang berasingan. Di atas nilai-nilai penghormatan dan kesetiaan masyarakat Melayu terhadap sultan inilah sehingga ianya dipersembahkan dalam bentuk ukiran-ukiran kayu.

Dalam pada itu motif ukiran yang diambil dari pohon sembung juga mempunyai kaitan dengan nilai Islam. Dari cabang pulur (daun) yang keluar di bahagian kanan dan kiri pohon tersebut melambangkan dua bentuk tangan. Setiap satu dipecahkan kepada lima rangkaian daun seperti kelihatan lima jari dengan kedua belah tangan menadah memohon doa. Jenis corak ukiran ini dapat dilihat pada logo Kerajaan Negeri Johor.

-- Tahun 1990 --

Artikel ini telah ditulis pada hari Rabu , Rabu, Mei 16, 2012 di bawah kategori . Anda boleh mengikuti artikel ini melalui comments feed .

0 ulasan

Catat Ulasan

Catat Ulasan