Memaparkan catatan dengan label Hawa Binti Ngah Salam. Papar semua catatan

Biodata Hawa Binti Ngah Salam  

Ditulis oleh : Bahagian Pemuliharaan Kategori :

Latar Belakang Kraf Tembikar Labu Sayong  

Ditulis oleh : Bahagian Pemuliharaan Kategori :


Kegiatan perusahaan seni tembikar tradisional di Semenanjung Malaysia telah mula dikenali sejak zaman-berzaman dan kini perusahaannya masih hidup di beberapa tempat di Semenanjung Malaysia. Melalui kudrat tangan dan ketajaman ilham manusia, maka terbentuklah tembikar yang memaparkan keindahan warisan tradisi yang sebahagian besarnya disempurnakan oleh kaum wanita. Seni tembikar inilah hasil seni kraftangan yang diperbuat dari tanah liat yang diuli, di terap dengan pelbagai corak, di asap serta dibakar untuk menghasilkan satu rupa bentuk yang sungguh berseni dan unik.


Tembikar ini lebih dikenali sebagai labu sayong berwarna hitam dan banyak terdapat di Sayong, daerah Kuala Kangsar, Perak. Malah sebut sahaja sayong, maka tergambarlah keindahan bentuk seni labu yang berwarna kehitaman.

Wujudnya labu hitam ini dari buah labu tua yang dikeluarkan isinya dan dibersihkan sebelum dijadikan bekas untuk menyimpan air.

Latar belakang Penglibatan Hawa Ngah Salam dalam Tembikar Pulau Tiga  

Ditulis oleh : Bahagian Pemuliharaan Kategori :

"Sejarah silam labu sayong serba sedikit cuba menyingkap teknologi pembuatan tangan masyarakat Melayu. Menurut cerita penduduk-penduduk Kampung Kepala Bendang, Kuala Kangsar, Perak merupakan asal-usul seramik tanah air bermula dari pedagang-pedagang India dan China yang melewati perkampungan Perak awal abad ke-15. Pedagang ini menyusuri sungai perak dan membuka era perkembangan labu sayong."

Demikianlah ungkapan awal yang diutarakan oleh Puan Hawa binti Ngah Salam seorang pencipta warisan seni dan pakar dalam pembuatan labu sayong. Mula melibatkan diri dalam pembuatan labu sayong sejak berusia 15 tahun lagi.

Puan Hawa binti Ngah Salam dilahirkan pada 5hb Mei 1934 merupakan antara tokoh yang mahir dalam pembuatan labu sayong secara tradisional dan juga moden. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Pulau Tiga, Kampung Gajah, Perak sehingga darjah 3. Beliau juga mendapat pendidikan informal dari ayah dan ibu secara teratur dan didikan yang diterima mengajar beliau menjadi seorang wanita yang berdisiplin dan bertekad untuk maju. Pendidikan ini juga menjadikan diri beliau sentiasa berusaha memajukan diri dan belajar mencintai kraf warisan labu sayong.

Puan Hawa berasa bertuah mempunyai seorang ibu yang mempunyai kemahiran dalam pembuatan labu sayong. Warisan yang Puan Hawa terima merupakan warisan 6 keturunan. Puan Hawa bertekad biarlah warisan seni kebangsaan perak ini kekal diwarisi oleh salasiah keturunan beliau.

Sepanjang penglibatan beliau dalam industri pembuatan labu sayong mengajar beliau betapa ilmu pengetahuan ataupun teknologi sentiasa berkembang, bermula dari sinilah beliau mula mempelajari teknik-teknik pembuatan labu sayong secara moden. Ternyata kombinasi teknik moden dan juga tradisional menjadikan tembikar ini bertambah cantik dan luas pasarannya.

Kepimpinan dan Ketokohan Hawa Ngah Salam  

Ditulis oleh : Bahagian Pemuliharaan Kategori :

Di kenali di tempatnya sebagai seorang pencipta warisan seni dan pakar dalam pembuatan labu sayong. Puan Hawa Ngah Salam seorang wanita gigih, berdisiplin dan sentiasa bertekad untuk maju dalam bidang yang diceburinya sejak beliau melibatkan diri dalam pembuatan labu sayong lebih kurang 57 tahun.

Mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu sehingga darjah 3 dan kemudian menerima pendidikan informal dari ibubapanya. Kemahiran yang diperolehi beliau merupakan warisan keluarga sejak turun-temurun yang kini diwarisi oleh anak lelaki beliau.

Cintanya kepada dunia seni kraf seramik mendorongnya untuk sentiasa berfikir memperbaiki dan mempelbagaikan mutu produknya mengikut arus sezaman. Beliau bukan sahaja mahir dalam pembuatan tradisional tetapi juga cekap dalam penggunaan teknik moden sehingga berupaya menghasilkan 7 hingga 10 buah biji labu dalam satu hari.

Kebijaksanaan beliau dalam menguruskan masa di antara keluarga dan kerjaya membuktikan kedua-duanya berjaya dicapai jika sentiasa berfikiran positif. Semangatnya yang sentiasa aktif dan peka pada perkembangan industri kraf seramik dapat dijadikan contoh dan inspirasi kepada pelapis muda untuk menceburi bidang ini.

Kreativiti, Pengalaman dan Sumbangan  

Ditulis oleh : Bahagian Pemuliharaan Kategori :

DAYA KREATIVITI DAN INOVASI

Puan Hajah Hawa mempunyai daya kreativiti yang tinggi dalam setiap aspek seni kraf seramik bermula dari bahan, pemprosesan hingga ke bentuk produk.

Jari-jemarinya yang halus berseni dalam membentuk labu telah menghasilkan produk yang begitu menarik, cantik dan kemas ditambah lagi dengan kombinasi antara teknik moden dengan tradisional.

Beliau satu-satunya pembuat tembikar yang mengasaskan teknik bunga tampal dalam hiasan tembikar.

Beliau turut mengambil kira citarasa pengguna yang mulai berubah, Puan Hajah Hawa telah menghasilkan labu sayong sebagai barangan perhiasan yang diserikan dengan gabungan motif asal bersama hiasan bunga yang direka sendiri bagi meningkatkan mutu produk kraf.

Beliau turut mengamalkan beberapa petua lama misalnya semasa menggali tanah, beliau akan memastikan ianya betul-betul baik dan berkualiti.

Puan hawa bukan sahaja mahir dalam pembuatan labu sayong tetapi juga menghasilkan labu gelugor, pasu bunga, labu puchong dan berbagai barang hiasan seramik. Hasil kerja tangan beliau telah mendapat tempat di kalangan pencinta seni, agensi-agensi kerajaan mahupun swasta.

PENGALAMAN, PENGLIBATAN DAN PENCAPAIAN

Dikenali sebagai seorang yang aktif, kreatif dan berdisiplin dalam menghasilkan kerja seni kraftangan maka tidak hairan jika hasil produknya mendapfat perhatian dari orang ramai dan juga pihak akhbar yang sentiasa ingin menulis rencana mengenainya. Liputan akhbar mahupun majalah mengenainya memberikan satu dorongan bagi beliau untuk terus maju. Begitu juga penyertaannya dalam pameran, pertandingan dan aktiviti yang dianjurkan. Walaupun tidak banyak anugerah yang dikecapinya, Puan Hajah Hawa tetap dianggap sebagai Tokoh Kraf Seramik di Persada Seni bagi mereka yang menghargai dan menilai seni dan jasa beliau. Berikut adalah pencapaian beliau selama penglibatannya dalam bidang seni kraf seramik :
  • 1996 - Dilantik sebagai Adiguru Kraf Seramik oleh Kraftangan Malaysia.
  • 1984 - Penghargaan WICITRA
  • Menjadi AJK Keselamatan dan Kemajuan Kampung Gajah, Perak
  • Menyertai Pameran anjuran Universiti Malaya, Muzium Negara, Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia
  • Produk beliau turut di pamerkan di Koleksi tetap di Muzium Negara, Muzium Taiping, Muzium Negeri Kedah dan beberapa hotel terkemuka tanahair.
  • Rencana Akhbar : 1987-“Hawa Mewarisi Kesenian Enam Keturunan” Berita Harian, 1973-“A Display Of Malay Handicraft” The Star dan 1977-“Dari Jari-jari Yang Lembut Terciptalah Labu Tanah Yang Bagus” (sebuah akhbar yang tidak dinyatakan)
  • 1976-“Feats At Clay” The Malay Mail

SUMBANGAN

Selain menghasilkan dan memasarkan barangan kraf, beliau juga telah mengikuti program-program yang dianjurkan oleh agensi kerajaan atau swasta sebagai salah satu usahanya untuk memperkenalkan produk-produk barangan kraf tempatan pada masyarakat setempat dan luar.

Beliau bergiat aktif dalam aktiviti KEMAS dan Persatuan Wanita Kampung disamping memberi tunjuk ajar kepada mereka yang berminat dengan harapan akan wujud pelapis muda untuk menceburi bidang seramik selain daripada anaknya.
Kerjasama beliau yang sentiasa diberikan kepada pihak kerajaan atau swasta dalam pelbagai perkara merupakan satu pengorbanan yang tidak ternilai.

Adiguru Kraf Tembikar Pulau Tiga  

Ditulis oleh : Bahagian Pemuliharaan Kategori :

Selain daripada labu Sayong, negeri Perak turut terkenal dengan pengeluaran labu Pulau Tiga. Tokoh yang terbilang namanya dalam menghasilkan labu ini ialah Hawa binti Ngah Salam yang dilahirkan di Kampung Changkat Manggis, Kampung Gajah, Perak pada tahun 1934. Kemahiran membuat tembikar ini diwarisi sejak turun temurun dan beliau merupakan generasi keenam dalam salasilah pembuatan labu Pulau Tiga.

Cintanya terhadap seni kraf tembikar ini menjadi pendorong kepada beliau untuk sentiasa memperbaiki dan meningkatkan kualiti produk yang dihasilkan. Kemahiran dan kreativitinya dalam menghasilkan barangan yang berkualiti dan mempunyai nilai-nilai estetika yang tinggi ini mendapat liputan daripada media tempatan. Labu Pulau Tiga yang dihasilkan oleh beliau pernah dipamerkan di Muzium Negara Kuala Lumpur, Muzium Taiping, Muzium Kedah dan Universiti Malaya. Di samping itu beliau juga pernah mengadakan demonstrasi pembuatan labu Pulau Tiga dan menyertai pameran pelancongan anjuran Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia dan Kraftangan Malaysia. Pada tahun 1984 beliau menerima Anugerah Penghargaan WICITRA anjuran Kraftangan Malaysia.

Semangat beliau yang sentiasa aktif dan peka pada perkembangan industri kraf tembikar dapat dijadikan contoh dan inspirasi kepada pelapis muda untuk menceburi bidang ini. Segala jasa dan usaha murninya diberi pengiktirafan oleh Kraftangan Malaysia dengan melantik beliau sebagai Adiguru Kraf Tembikar Pulau Tiga pada tahun 1996.