Latar belakang Penglibatan Hawa Ngah Salam dalam Tembikar Pulau Tiga  

Ditulis oleh : Bahagian Pemuliharaan Kategori :

"Sejarah silam labu sayong serba sedikit cuba menyingkap teknologi pembuatan tangan masyarakat Melayu. Menurut cerita penduduk-penduduk Kampung Kepala Bendang, Kuala Kangsar, Perak merupakan asal-usul seramik tanah air bermula dari pedagang-pedagang India dan China yang melewati perkampungan Perak awal abad ke-15. Pedagang ini menyusuri sungai perak dan membuka era perkembangan labu sayong."

Demikianlah ungkapan awal yang diutarakan oleh Puan Hawa binti Ngah Salam seorang pencipta warisan seni dan pakar dalam pembuatan labu sayong. Mula melibatkan diri dalam pembuatan labu sayong sejak berusia 15 tahun lagi.

Puan Hawa binti Ngah Salam dilahirkan pada 5hb Mei 1934 merupakan antara tokoh yang mahir dalam pembuatan labu sayong secara tradisional dan juga moden. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Pulau Tiga, Kampung Gajah, Perak sehingga darjah 3. Beliau juga mendapat pendidikan informal dari ayah dan ibu secara teratur dan didikan yang diterima mengajar beliau menjadi seorang wanita yang berdisiplin dan bertekad untuk maju. Pendidikan ini juga menjadikan diri beliau sentiasa berusaha memajukan diri dan belajar mencintai kraf warisan labu sayong.

Puan Hawa berasa bertuah mempunyai seorang ibu yang mempunyai kemahiran dalam pembuatan labu sayong. Warisan yang Puan Hawa terima merupakan warisan 6 keturunan. Puan Hawa bertekad biarlah warisan seni kebangsaan perak ini kekal diwarisi oleh salasiah keturunan beliau.

Sepanjang penglibatan beliau dalam industri pembuatan labu sayong mengajar beliau betapa ilmu pengetahuan ataupun teknologi sentiasa berkembang, bermula dari sinilah beliau mula mempelajari teknik-teknik pembuatan labu sayong secara moden. Ternyata kombinasi teknik moden dan juga tradisional menjadikan tembikar ini bertambah cantik dan luas pasarannya.

Ditanya kenapa Puan Hawa melibatkan diri dalam bidang pembuatan tembikar? "Katanya, " di samping mencari rezeki tambahan, minat yang mendalam serta kesedaran yang tinggi dan tidak mahu labu sayong dilupai oleh masyarakat kini". Atas kesedaran itulah beliau menurunkan ilmu tersebut kepada anak lelaki beliau iaitu Shahruddin seorang pelatih kraf di Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia dalam bidang seramik. Puan Hawa sentiasa memberi galakkan dan juga sumbangan yang termampu kepada anak beliau sehinggalah anak yang satu-satunya mewarisi kemahiran beliau berjaya dalam hidupnya kini.

Rajin, sabar, tekun dan juga cintakan warisan ini memberi dorongan kepada Puan Hawa memperbaiki mutu hasilan kraf beliau. Labu yang dihasilkan nampak menarik, cantik dan juga kemas. Teknik yang digunakan hanya picit dan cubit. Ternyata jari-jari halus beliau berseni dalam membentuk labu. Melihatkan kepada hasilnya yang bermutu tinggi, sehari demi sehari barangan ini mula mendapatkan perhatian diakhbar-akhbar tempatan yang cuba menyorot kembali kehidupan beliau di bawah rencana yang bertajuk "Hawa Mewarisi Kesenian Enam Keturunan" yang disiarkan dalam akhbar Berita Harian 1987. Tahun 1973 merupakan tahun yang bermakna buat beliau kerana tahun tersebut terdapat sebuah akhbar tempatan iaitu The Star membuat liputan mengenai beliau yang bertajuk "A Display of Malay Handicraft". Bermula dari tarikh tersebut, Puan Hawa mula dikenali ramai dan barangan beliau sentiasa mendapat perhatian. "dari jari-jari yang lembut terciptalah labu tanah yang bagus" menyusur pada tahun 1977 yang cuba memberi penekanan kepada promosi barangan beliau. Tahun 1976 akhbar The Malay Mail pula membuat liputan terperinci berkenaan dengan diri beliau di bawah rencana "Feast At Clay".

Liputan akhbar ataupun majalah yang telah dibuat ke atas  diri beliau merupakan satu dorongan bagi beliau untuk maju. Terkenalnya beliau bermakna terkenal juga labu sayong. Hasrat beliau untuk melihat hasil kraftangan ini mendapat perhatian umum sudah tercapai.

Puan Hawa seperti tokoh-tokoh lain juga membuat labu sayong menggunakan teknik tradisional dimulai dengan proses mengambil tanah liat. Pelbagai petua yang diamalkan ketika mengambil tanah. Tujuannya hanyalah bagi menentukan tanah yang diambil betul-betul berkualiti. Tanah liat yang digali akan dijemur sehingga kering sebelum proses menghancurkan dilakukan dan ditapis membentuk debu-debu halus. Setelah beberapa hari, tanah yang dihancurkan akan diuli bersama air sehingga betul-betul sekata. Setelah semuanya selesai Puan Hawa akan memulakan proses pembentukan labu. Selalunya Puan Hawa akan memulakan kerja membentuk labu pada awal pagi. Beliau mampu menghasilkan labu sejumlah 7 hingga 10 biji labu pada satu hari.

Labu-labu yang dihasilkan akan dijemur kering dan dibakar bagi mengekalkan ketahanan labu yang telah dihasilkan. puan hawa begitu mahir sekali meghasilka labu sayong, labu gelugor, pasu bunga, labu puchong dan barangan hiasan lainnya. Kini cita rasa masyarakat agak berbeza labu bukan lagi berfungsi sebagai bahan simpanan air malah sebagai hiasan. Ilham inilah Puan Hawa gabungkan kreativiti sendiri bagi menghasilkan labu sayong yang boleh digunakan sebagai barangan perhiasan. Hasil ciptaan Puan Hawa banyak menggunakan kreativiti tersendiri terutamanya hiasan bunga yang digunakan. Motif asal dikekalkan di samping menerapkan aturan bunga pada tempat-tempat yang berbeza.

Puan Hawa pernah menyertai pertandingan ke atas barangan yang dihasilkan dan salah satu anugerah yang diterima adalah penghargaan WICITRA 1984 anjuran Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia.

Di samping itu Puan Hawa juga menyertai beberapa pameran antaranya pameran anjuran Universiti Malaya, Muzium Negara dan Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia. Hasil ciptaan beliau juga kini menjadi pameran tetap di Muzium Negara, Muzium Taiping, Muzium Negeri Kedah dan beberapa hotel terkemuka tanahair.

Puan Hawa satu-satunya wanita gigih memajukan industri kraf ini di samping aktif menggiatkan diri dalam aktiviti KEMAS dan Persatuan Wanita Kampung dan pernah dilantik menjadi ahli jawatankuasa keselamatan dan kemajuan kampung.

Puan Hawa permata gemilang Kampung Pulau Tiga. Jasa beliau sangat tinggi nilainya kepada negara walaupun beliau tidak dianugerahkan dengan sebarang hadiah ataupun pingat. Puan Hawa kini tidak lagi membuat labu tapi masih aktif dan sentiasa peka terhadap kemajuan industri kraf labu sayong. Puan Hawa berada tinggi di persada budaya bagi mereka yang tahu menilai seni dan jasa beliau.

Artikel ini telah ditulis pada hari Rabu , Rabu, April 25, 2012 di bawah kategori . Anda boleh mengikuti artikel ini melalui comments feed .

2 ulasan

Thank You for this information 😊

Isnin, Februari 01, 2021

Opah sedara saya

Ahad, April 10, 2022

Catat Ulasan

Catat Ulasan