Kegiatan perusahaan seni tembikar tradisional di Semenanjung Malaysia telah mula dikenali sejak zaman-berzaman dan kini perusahaannya masih hidup di beberapa tempat di Semenanjung Malaysia. Melalui kudrat tangan dan ketajaman ilham manusia, maka terbentuklah tembikar yang memaparkan keindahan warisan tradisi yang sebahagian besarnya disempurnakan oleh kaum wanita. Seni tembikar inilah hasil seni kraftangan yang diperbuat dari tanah liat yang diuli, di terap dengan pelbagai corak, di asap serta dibakar untuk menghasilkan satu rupa bentuk yang sungguh berseni dan unik.
Tembikar ini lebih dikenali sebagai labu sayong berwarna hitam dan banyak terdapat di Sayong, daerah Kuala Kangsar, Perak. Malah sebut sahaja sayong, maka tergambarlah keindahan bentuk seni labu yang berwarna kehitaman.
Wujudnya labu hitam ini dari buah labu tua yang dikeluarkan isinya dan dibersihkan sebelum dijadikan bekas untuk menyimpan air.
Suatu masa dahulu, labu hitam adalah alat penting yang digunakan sebagai bekas menyimpan air minuman di majlis kenduri. Keistimewaan labu hitam ini ialah airnya yang sejuk dan dipercayai boleh menawarkan beberapa jenis penyakit seperti batuk dan demam panas. Ia juga digunakan sebagai bekas air sewaktu menziarahi tanah perkuburan.
Bentuk labu sayong menekankan sifat semula jadi iaitu tanah liat serta teknik penggunaan tangan. Rekaan corak permukaannya dihiasi dengan motif alam sekitar seperti motif bunga padi, pucuk rebung, bunga cengkih dan juga calaran-calaran geometri yang harmoni.
Labu sayong tetap dikagumi dan diminati bukan sahaja kerana penggunaannya semata-mata tetapi kerana keindahannya berasaskan nilai estetika barangan tembikar itu.
Artikel ini telah ditulis pada
hari Rabu
, Rabu, April 25, 2012
di bawah kategori
Hawa Binti Ngah Salam
. Anda boleh mengikuti artikel ini melalui
comments feed
.
Catat Ulasan