Latar Belakang Penglibatan Ibrahim Ismail Dalam Seni Kraf Perak  

Ditulis oleh : Bahagian Pemuliharaan Kategori :

Barang-barang perhiasan dari perak bukan sahaja cantik dipandang, bahkan boleh dicipta menjadi konsep kecantikan tertentu. keadaan ini jug telah meletakkan nilai yang lebih kepada seni pertukangan perak yang menjadi warisan kebudayaan banyak masyarakat.

Pertukangan perak dikatakan bermula di Kampung Sireh, iaitu sebuah desa berdekatan Kota Bharu, Kelantan Darul Naim. Dari sinilah dikatakan munculnya ramai tukang perak yang mahir dan masih ada hingga sekarang dan berkembang ke tempat-tempat lain. Antara pengusaha terkenal barang-barang perak dari kawasan ini ialah Haji Ibrahim Ismail. Beliau dilahirkan di Kampung Sireh dan mengikuti pendidikan awal di sekolah majlis agama islam di kampungnya sebelum memasuki sekolah menengah di Kota Bharu apabila keluarganya berpindah ke Pintu Gong. Pada tahun 1939 beliau telah berkhidmat menjadi seorang guru..

Penyertaannya di bidang pertukangan perak bermula hasil minat dan penelitiannya sendiri. Beliau menimba banyak pengetahuan dalam kemahiran pertukangan perak daripada datuk sepupunya iaitu Tuan Haji Hussin. Ketika di bangku sekolah lagi, beliau menggunakan cuti dan masa lapang yang ada untuk belajar membuat perhiasan perak dan mengikuti datuknya itu ke merata tempat dalam negara untuk mengendalikan urusan perniagaan perak. Langkah bijaknya ini telah membantu menjadikannya seorang pengusaha perak yang berjaya selepas itu. 

Pada suatu peringkat dalam hidupnya, Haji Ibrahim setelah dipujuk oleh rakan-rakannya memasuki politik dan bertanding. Beliau telah menang dalam pilihan raya untuk kawasan parlimen Hulu Kota Bharu. Walaubagaimanapun, minatnya yang mendalam terhadap seni pertukangan perak telah menyababkan beliau meninggalkan arena politik untuk bergiat semula sebagai pengusaha barang-barang perak, ditambah dengan tanggungjawab menanam minat dan memimpin belia-belia di bidang pertukangan perak.


Selepas zaman perang, Haji Ibrahim bertugas semula sebagai guru dan dalam masa yang sama berjinak-jinak dengan persatuan seni dan kraf melayu kelantan. Pada tahun 1948, beliau berhenti menjadi guru dan mengambil keputusan melibatkan diri dalam bidang pertukangan perak secara penuh masa. Beliau pernah menyiapkan sebahagian daripada cokmar dewan rakyat yang ditempah oleh kerajaan melalui persatuan tersebut. Kejayaan awal tersebut telah memberi keyakinan kepadanya bahawa pertukangan perak menarik minat orang luar dan tempahannya boleh dijadikan sumber pendapatan.

Di peringkat awal, Haji Ibrahim memberi tumpuan kepada pembuatan barang-barang mudah dan kecil seperti pin baju, anting-anting, gelang dan alat kegunaan seperti sudu, garpu dan senduk. Antara hasil kerja seni perak Haji Ibrahim yang penting ialah piala pusingan belia 18 tahun ke bawah untuk negeri Kelantan, cokmar dewan negara dan dewan negeri dan cokmar untuk Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Malaya dan Universiti Sains Malaysia. Beliau juga menerima tempahan bintang kebesaran bagi negeri-negeri seperti Terengganu, Kelantan, Melaka, Kedah, Negeri Sembilan, Selangor, Perak dan Pulau Pinang.

Kerajaan Kedah pernah menempah model alat-alat kebesaran negeri, lengkap dengan satu set payung, pedang, cokmar dan lain-lain. Beliau biasanya mengambil masa kurang dari 6 bulan untuk menyiapkan barang-barang itu. Pada hari ini model barang-barang tersebut masih lagi tersimpan rapi di Muzium Kedah untuk dijadikan tontonan rakyat. 

Di atas kegigihan dan jasanya menghasilkan model masjid negara dan cokmar-cokmar kerajaan, Haji Ibrahim Ismail telah dianugerahkan bintang Ahli Mangku Negara pada 1987 dan bintang SMK oleh Almarhum Sultan Kelantan kerana baktinya dalam persatuan seni dan juga menerima beberapa surat pujian dan tauliah sebagai tanda penghargaan membuat cokmar universiti.

Usaha Haji Ibrahim tidak sia-sia kerana dua orang adik-beradiknya turut menguasai seni pertukangan perak. Seorang daripada mereka meninggal dunia tetapi adiknya hassaan serta isterinya masih menerima tempahan membuat barang perak. Walaupun kini sudah terdapat generasi ahli seni yang membawa perubahan dalam ciptaan seni pertukangan perak dalam mengilhamkan konsep baru yang menarik, rukun asas dan tradisi yang dipersembahkann oleh Haji Ibrahim terus diminati ramai.

Artikel ini telah ditulis pada hari Rabu , Rabu, April 25, 2012 di bawah kategori . Anda boleh mengikuti artikel ini melalui comments feed .

0 ulasan

Catat Ulasan

Catat Ulasan