Memaparkan catatan dengan label Azizah Binti Ismail. Papar semua catatan

Biodata Azizah Binti Ismail  

Ditulis oleh : Bahagian Pemuliharaan Kategori :

Latar Belakang Kraf Tenunan Pahang  

Ditulis oleh : Bahagian Pemuliharaan Kategori :

Salah satu seni perusahaan tangan Melayu yang menjadi kemegahan bangsa ialah bertenun kain. Seni bertenun memerlukan mutu ciptaan serta kemahiran yang tinggi. 

Kain Tenun Pahang merupakan kain yang bermutu tinggi serta mempunyai corak yang menarik. Corak Tenun Pahang biasanya berkotak-kotak, bercorak jalur berdiri dan jalur melintang. Benang kapas dan benang sutera merupakan bahan-bahan yang digunakan untuk proses tenunan. Kuning dari kunyit merupakan contoh warna dari bahan-bahan asli yang menjadi pilihan penenun. Kain Tenun Pahang boleh dijadikan kain sarung, samping dan juga pakaian tradisional. Pada masa sekarang, penggunaan kain Tenun Pahang telah disesuaikan untuk pelbagai kegunaan khususnya seperti untuk majlis makan malam.

Kampung Pulau Keladi yang terletak di daerah Pekan merupakan tempat berkembangnya seni Tenunan Melayu Pahang. Kemahiran ini telah diwarisi secara turun temurun oleh datuk nenek moyang mereka.

Kain Tenunan Pahang mengandungi elemen seni halus yang diwakili oleh warna, garis, jalinan, ruang, bentuk atau keseluruhan keharmonian itu sendiri. Unsur kehalusan seni dan reka cipta ini dilahirkan dalam hasil tenunan mereka. Panduan warna dan susunan garis pada Tenunan Pahang melambangkan keunggulan budaya setempat.

Latar Belakang Azizah Ismail  

Ditulis oleh : Bahagian Pemuliharaan Kategori :

Puan Azizah Ismail merupakan satu-satunya tokoh yang bergiat cergas dalam bidang menenun kain Pahang. Dilahirkan di Johor Bahru pada tahun 1935 tetapi dibesarkan di Pekan, Pahang. Ibunya bernama Hendon Binti Ahmad, ayahnya pula Ismail Bin Bakar, seorang guru. Mempunyai 8 orang adik-beradik, 5 perempuan dan 3 orang lelaki. Hanya beliau saja yang menceburi bidang kain tenun Pahang .

Puan Azizah mendapat pendidikan formal sehingga darjah 3 di Pekan. Sewaktu kecilnya, setelah pulang dari sekolah, Puan Azizah selalu membantu kerja-kerja ibunya dan juga belajar mengaji Quran dari seorang guru Quran bernama Ustaz Omar. Beliau belajar menenun daripada Hajah Maimunah. Suami beliau Encik Zakaria Omar turut memberikan sepenuh galakkan kepada Puan Azizah.

Dari segi keaslian menenun, beliau betul-betul mengekalkan teknik dan cara seperti mana yang dipelajarinya daripada Hajah Maimunah. Tiada pengubahsuaian dilakukannya kecuali beliau juga turut mereka-reka corak fesyen.

Puan Azizah menjadikan perusahaan menenun sebagai profesionnya. Beliau, merupakan pengusaha kain Pahang sepenuh masa. Selain dari itu beliau memang terkenal sebagai pusat tenunan sutera. Sebelum adanya bengkel, kerja-kerja menenun dilakukannya di rumah sahaja. Kini setelah mempunyai bengkel, hampir keseluruhan kerja menenun dilakukannya di bengkel.

Setiap hari beliau akan memulakan kerja pada jam 9 pagi. Pukul 12.30 tengahari beliau akan pulang ke rumah. Jam 3 petang hingga jam 5 petang beliau akan kembali berada di bengkel . Waktu malam digunakannya untuk kerja-kerja menerau.

Tujuan utama Puan Azizah menghasilkan tenunan ialah untuk menambah pendapatan. Dalam masa sebulan beliau mampu menyiapkan 10 hingga 15 helai termasuk samping. Kain tenunan beliau bisanya dijual di bengkel. Pertubuhan atau agensi sering membuat tempahan dari Puan Azizah ialah Perbadanan Kemajuan Kraftagan Malaysia,  Syarikat Pemasaran Karyaneka, KEMAS dan LKNP.

Adiguru Kraf Tenunan Pahang  

Ditulis oleh : Bahagian Pemuliharaan Kategori :

Salah satu daripada seni kemahiran tangan tradisional yang menjadi kemegahan bangsa ialah bertenun kain. Pulau Keladi yang terletak di dalam Daerah Pekan, Pahang amat sinonim dengan kerja-kerja menenun kain. Di sini muncul penenun-penenun kain sutera yang mengukir nama dalam lipatan sejarah tenunan. Salah seorang daripada mereka ialah Azizah binti Ismail. Dilahirkan pada tahun 1935 di Johor tetapi dibesarkan di Pekan Pahang. Beliau pernah mendapat pendidikan formal sehingga darjah tiga dan kemudian beliau dihantar belajar mengaji al-Quran.

Pada masa kanak-kanaknya, beliau sering memerhatikan neneknya menenun kain. Namun demikian beliau tidak mempunyai kesempatan mewarisi kemahiran daripada neneknya. Kegiatan menenun ini diusahakan setelah beliau berumah tangga. Beliau ketika itu tinggal berjiran dengan Hajah Maimunah yang merupakan salah seorang tukang tenun yang terkenal di Pulau Keladi. Azizah mengambil masa selama enam bulan belajar bertenun iaitu dari proses mencelup benang hinggalah kepada proses menenun. Berkat ketekunan dan kesabaran beliau, akhirnya kemahiran menenun dapat dikuasi oleh Azizah. Di antara reka corak kain tenun beliau yang mendapat permintaan ramai ialah Corak Jaluran Tujuh, Sembilan, Sepuluh, Sebelas dan Tiga Belas.

Azizah mengusahakan kegiatan menenun secara sepenuh masa dan beliau juga turut mengendalikan sebuah bengkel tenun di Kampung Pulau Keladi yang memberi peluang kepada masyarakat setempat khususnya golongan remaja mempelajari cara-cara menenun. Kemahiran menenun ini turut diwarisi oleh anak perempuan beliau. Bagi menghargai jasa dan sumbangan beliau semasa hayatnya dalam mengembang dan membangunkan seni warisan bangsa ini, pada tahun 1988 Kraftangan Malaysia telah melantik beliau sebagai Adiguru Kraf Tenun Pahang. Beliau telah meninggal dunia pada 17 April 1996.