Syarat & Perjanjian Pelantikan Adiguru Kraf 2012  

Ditulis

Pelantikan Menyertai Skim Adiguru
  • Pelantikan ADIGURU menyertai Skim Adiguru Kraf anjuran KRAFTANGAN MALAYSIA adalah dikuatkuasakan mulai pada 1 Januari 2013.
  • Seorang ADIGURU hendaklah menyumbangkan khidmatnya kepada aktiviti yang direncanakan oleh KRAFTANGAN MALAYSIA ketika mengikuti Skim Adiguru tersebut.
  • Tempoh pelantikan ADIGURU adalah selama 5 tahun dan gelaran ADIGURU KRAF adalah disebut sepanjang hayat tetapi insentif yang diberi kepada Adiguru hanyalah selama 5 tahun sahaja.
Ganjaran kepada ADIGURU
  • Pihak KRAFTANGAN MALAYSIA akan memberi wang ganjaran berjumlah   RM5,000.00 dengan ganjaran permulaan sebanyak RM2,000.00 akan dibayar semasa hari pelantikan dan bakinya akan dibayar selepas KRAFTANGAN MALAYSIA memperakukan komitmen ADIGURU pada tahun kedua selepas tarikh lantikan.
  • Pihak KRAFTANGAN MALAYSIA akan memberi elaun bulanan  khas sebanyak RM 500.00 (Ringgit Malaysia Lima Ratus Sahaja) sebulan kepada ADIGURU dalam tempoh masa 2 tahun bermula dari tarikh pelantikan adiguru dan tambahan 3 tahun berikutnya setelah diperakukan oleh pihak KRAFTANGAN MALAYSIA.
  • Bayaran elaun bulanan khas akan dihentikan apabila:
  1. Seseorang ADIGURU telah tamat tempoh pelantikannya atau tidak diperakukan selepas tahun kedua pelatikannya.
  2. Apabila seseorang ADIGURU mengingkari syarat-syarat kerja sepertimana yang dinyatakan di dalam Jadual 1.
  3. Apabila seseorang ADIGURU itu meninggal dunia sebelum tamat tempoh pelantikannya di dalam Skim Adiguru.
  4. Apabila KRAFTANGAN MALAYSIA berpuas hati bahawa seseorang ADIGURU itu didapati tidak lagi berkeupayaan atau tidak berkeinginan untuk meneruskan khidmatnya disebabkan sakit atau kesukaran yang amat sangat.
  • Pemberian elaun menjalankan tugas-tugas rasmi akan diberi kepada ADIGURU oleh KRAFTANGAN MALAYSIA dalam keadaan seperti berikut:
  1. Apabila seseorang ADIGURU dikehendaki menjalankan tugas-tugas rasmi, maka elaun makan, perjalanan, hilang punca pendapatan  dan penginapan diberi kepada ADIGURU.
  2. Kadar pemberian elaun hilang punca akan diberi berdasarkan budi bicara KRAFTANGAN MALAYSIA.
Perkhidmatan Penghasilan Produk Kraf
  • ADIGURU memberi keutamaan untuk membuat produk yang dipersetujui di dalam Jadual 1 perkara B.
  • Produk-produk yang dihasilkan adalah menjadi hakmilik KRAFTANGAN MALAYSIA. KRAFTANGAN MALAYSIA tidak akan membuat pembayaran upah kerja bagi produk berkenaan, sebaliknya akan membekalkan bahan mentah untuk menyediakan produk tersebut kepada ADIGURU.
Dokumentasi
  • ADIGURU hendaklah menunjukkan segala kaedah, cara, peraturan, petua dan seumpamanya di dalam memproses bahan dan membuat sesuatu produk bagi membolehkan pihak KRAFTANGAN MALAYSIA mendokumentasikannya.
  • ADIGURU hendaklah membenarkan kerja-kerja dokumentasi seperti rakaman suara, penulisan, penggambaran dan pembukuan dibuat oleh KRAFTANGAN MALAYSIA  atau wakilnya.
  • ADIGURU hendaklah membuat demonstrasi teknik kerja kepada kakitangan KRAFTANGAN MALAYSIA atau mana-mana pihak yang diwakilkannya.
  • Apabila aktiviti dokumentasi telah dijadualkan, maka ADIGURU hendaklah memberi keutamaan melaksanakannya kecuali dalam keadaan darurat.
Bimbingan Latihan Kemahiran / Demontrasi / Perantisan  Kraf Warisan
  • ADIGURU hendaklah sanggup dan bersedia untuk mengajar dan membuat demonstrasi berhubung dengan jenis, kaedah, cara, petua, peraturan, seni kemahiran / ketukangan tradisi yang dimilikinya kepada mana-mana orang perseorangan atau kumpulan yang ditentukan oleh pihak KRAFTANGAN MALAYSIA.
  • Insurans Sepanjang Tempoh di dalam  Skim Adiguru
  1. KRAFTANGAN MALAYSIA hendaklah menyediakan insurans perlindungan untuk seseorang ADIGURU bagi menjaga kepentingan semasa menjalankan urusan-urusan rasmi.
  2. Insurans tersebut hanya untuk memberi perlindungan kepada ADIGURU dalam keadaan berikut sahaja iaitu : Ketika sedang mengendalikan / menyertai / mengambil bahagian di dalam aktiviti rasmi yang dianjurkan atau disertai oleh pihak KRAFTANGAN MALAYSIA dan Dalam perjalanan pergi dan balik di dalam menjalankan urusan-urusan rasmi yang ditentukan oleh KRAFTANGAN MALAYSIA.
Rawatan Perubatan

ADIGURU layak menerima rawatan perubatan kelas pertama di Hospital Kerajaan bagi membantu membayar bil hospital yang besar seperti rawatan kecederaan akibat kemalangan, pembedahan, ubat-ubatan dan kes-kes khas bergantung kepada budi bicara KRAFTANGAN MALAYSIA.

Tuntutan Hakmilik
  • Pihak KRAFTANGAN MALAYSIA berhak sepenuhnya untuk mempamer / menunjukkan / mengiklankan kepada mana-mana pihak produk-produk yang dihasilkan oleh ADIGURU.
  • Bahan-bahan dokumentasi dan produk-produk kraf contoh ADIGURU adalah menjadi hakmilik KRAFTANGAN MALAYSIA.
  • Adalah sentiasa disyaratkan bahawa ADIGURU di bawah skim tersebut tidak boleh membuat tuntutan hakcipta dokumentasi dan juga tidak boleh menuntut sebarang royalti atau komisyen sekiranya dokumentasi mengenainya dijadikan satu penerbitan.
Update : 04/01/2013