Manual Pelantikan Adiguru Kraf Pindaan 2012  

Ditulis


TUJUAN
Skim ini bertujuan memulih dan memelihara seni kemahiran tradisi supaya ianya berkekalan sebagai warisan yang menjadi lambang budaya dan jati diri rakyat Malaysia.

OBJEKTIF 
Memberi pengiktirafan kepada tokoh-tokoh atau pengamal seni kraf yang berkemahiran tinggi dan telah memberikan sumbangan yang besar dalam membangun dan mengembangkan seni kraf negara.

DEFINISI ADIGURU KRAF 
Adiguru adalah tukang kraf yang mempunyai tahap kepakaran tinggi dalam bidang penciptaan dan ketukangan produk bagi sesuatu bidang kraf tempatan.

KRITERIA ADIGURU KRAF
  • Berpengetahuan dan berkemahiran tinggi dalam bidang kraf kepakarannya atau ahli di dalam seni kemahiran penciptaan, ketukangan dan pengeluaran produk kraf warisan bangsa Malaysia.
  • Gigih dan sentiasa berterusan dalam usaha memulih dan memelihara seni kraf warisan.
  • Bersungguh-sungguh, berminat dan bersedia untuk mewarisi serta menurunkan kemahiran kepada kumpulan pelapis agar seni kraf warisan berkenaan mempunyai kesinambungan.
  • Calon mestilah ada atau mempunyai pewaris / anak murid / pelatih / pengikut dalam pertukangan kraf yang diceburi.

BIDANG KRAF YANG DIUTAMAKAN 
Seni kraf yang menepati ciri-ciri berikut adalah diberi keutamaan untuk diserapkan ke dalam Skim Adiguru Kraf:
  • Bidang kraf yang menjadi lambang warisan kebudayaan Malaysia. Ianya merupakan seni kemahiran yang dipelajari atau diwarisi secara turun-temurun. Mempunyai nilai estetika dan identiti tempatan dan dihasilkan secara tradisional atau gabungan dengan teknik moden.
  • Dalam sosio-budaya masyarakat tempatan ianya merupakan satu hasil kraf yang eksklusif, akan tetapi pada masa sekarang hanya terdapat segelintir kecil sahaja usahawan kraf yang masih memiliki kepakaran atau kemahiran bagi menghasilkan produk berkenaan.
  • Bidang kraf yang terdapat kepupusan dan hanya segelintir kecil tukang kraf yang masih memiliki kepakaran / kemahiran bagi menghasilkan produk kraf berkenaan. 

PENGIKTIRAFAN ADIGURU KRAF 
  • Pelantikan seseorang Adiguru Kraf adalah berkuatkuasa dari tarikh lantikan untuk tempoh lima tahun.
  • Pengiktirafan baru Adiguru Kraf dilakukan apabila ada pencalonan yang dikemukakan dan tertakluk kepada keputusan Jawatankuasa Pengurusan dan Jemaah Kraftangan Malaysia.
  • Seseorang Adiguru Kraf akan diiktiraf sepanjang hayat selagi mana memenuhi syarat dan perjanjian yang telah dipersetujui.

KEMUDAHAN DAN PEMBERIAN KEPADA ADIGURU KRAF

Ganjaran 
  • Adiguru Kraf yang dilantik akan menerima wang ganjaran berjumlah RM5,000.00 dan elaun bulanan sejumlah RM500.00 sebulan untuk tempoh 5 tahun.
  • Pemberian wang ganjaran ini dilaksanakan sebanyak 2 kali iaitu pada kali pertama Adiguru Kraf akan menerima RM2000 semasa tarikh pelantikan.
  • Manakala pemberian baki wang ganjaran akan dibuat pada tahun ketiga lantikan untuk tempoh perkhidmatan 3 tahun lagi tertakluk kepada penilaian Kraftangan Malaysia berhubung prestasi dan komitmen yang diberikan oleh Adiguru Kraf.
Bayaran Perkhidmatan Luar
  • Pemberian elaun perkhidmatan sebanyak RM150 sehari sebagai jurutunjuk / demonstrasi.
  • Pemberian elaun perkhidmatan sebanyak RM300 sejam sebagai penceramah / pembentang kertas kerja.
Kadar elaun makan:
  • RM60 sehari bagi Semenanjung.
  • RM80 sehari bagi Sabah / Sarawak.
Kadar penginapan hotel:
  • RM180 sehari bagi Semenanjung.
  • RM200 sehari bagi Sabah / Sarawak. 
Tuntutan perjalanan mengikut kadar tambang pengangkutan awam dan disertakan dengan resit atau tiket rasmi. 

Perlindungan Insurans
  • Adiguru Kraf yang telah dilantik diberi perlindungan insurans kemalangan. Perlindungan insurans disediakan kepada seseorang Adiguru yang mengambil bahagian di dalam aktiviti rasmi yang dianjurkan oleh Kraftangan Malaysia sahaja.
Kemudahan Perubatan
  • Kraftangan Malaysia akan menanggung kos rawatan perubatan di Hospital Kerajaan bagi seseorang Adiguru Kraf sepanjang tempoh lantikan. Kemudahan perubatan ini tidak termasuk untuk rawatan pakar.
Sijil Pengiktirafan
  • Setiap Adiguru Kraf yang dilantik akan menerima sijil pengiktirafan. 

PENAMATAN KEMUDAHAN DAN PEMBERIAN 

Notis Penamatan Kemudahan dan pemberian kepada seseorang Adiguru Kraf dalam keadaan berikut:
  • Adiguru Kraf didapati mengingkari perkara-perkara yang dipersetujui sepertimana dinyatakan di dalam surat perjanjian yang ditandatangani.
  • Notis penarikan semula pengiktirafan akan dibuat secara bertulis dan berkuat- kuasa serta merta. 

PENGLIBATAN ADIGURU KRAF DALAM AKTIVITI KRAFTANGAN MALAYSIA

Program Dokumentasi
Aktiviti-aktiviti di dalam program adalah untuk mendokumentasi aspek-aspek berikut mengenai Adiguru Kraf:
  • Profail produk yang dihasilkan
  • Biografi Adiguru Kraf
  • Perihal sejarah kraf
  • Perihal penggunaan alat / peralatan dan bahan-bahan.
  • Perihal teknik pembuatan
  • Petua-petua pertukangan
Perkara-perkara di atas akan didokumentasikan oleh pihak Kraftangan Malaysia atau wakilnya dengan menggunakan salah satu atau kesemua kaedah-kaedah berikut:
  • Rakaman suara
  • Penggambaran termasuk penggunaan kamera untuk video, slaid filem dan lain-lain alat pandang dengar
  • Wawancara bagi tujuan penerbitan bahan-bahan dokumentasi
Adiguru Kraf hendaklah membuat persediaan dan persiapan serta dengan rela hati memberi kerjasama dan sumbangan bagi memastikan urusan-urusan di atas dapat disempurnakan dengan licin dan berkesan oleh pihak Kraftangan Malaysia atau wakilnya.

Program Penghasilan Produk
Adiguru Kraf hendaklah mengambil daya usaha dengan apa cara sekalipun untuk:
  • Menghasilkan produk-produk contoh (prototaip).
  • Mengendalikan pengeluaran produk-produk prototaip untuk ujian pasaran.
  • Barang-barang yang dihasilkan hendaklah mencapai tahap mutu yang tinggi.
Program Demonstrasi Kerja
Adiguru Kraf hendaklah sanggup serta bersedia untuk mengadakan satu siri kerja-kerja demonstrasi mengikut jadual yang dipersetujui bersama oleh pihak Kraftangan Malaysia.

Program Bimbingan Latihan Kemahiran
Adiguru Kraf bersedia untuk mengendalikan satu jadual latihan kemahiran yang dipersetujui bersama di:
  • Bengkel atau tempat kerja Adiguru Kraf sendiri.
  • Mana-mana tempat yang ditentukan oleh Kraftangan Malaysia.
Bersedia mengambil apa jua daya usaha bagi memastikan jadual latihan yang dipersetujui bersama dipatuhi.

TUNTUTAN HAK MILIK 
  • Adiguru Kraf yang dilantik bersetuju dan mengakui bahawa pihak Kraftangan Malaysia mempunyai hak milik sepenuhnya terhadap produk yang dihasilkan olehnya.
  • Kraftangan Malaysia juga berhak untuk mempamerkan, mengiklankan atau menggunakan produk yang dihasilkan oleh Adiguru Kraf tersebut pada bila-bila masa.

KRITERIA PENCALONAN 
Pengusaha kraf yang layak untuk dicalon sebagai Adiguru Kraf hendaklah memenuhi kriteria yang berikut:
  • Memperlihatkan keterampilan dan kewibawaannya dalam meningkat dan mengembangkan mana-mana seni kraf yang dikuasainya.
  • Mempunyai kepakaran yang tinggi, kreatif dan inovatif dalam seni kraf yang diceburinya.
  • Terlibat secara langsung dalam usaha memulih dan memelihara mana-mana bidang kraf yang dikuasainya. 
  • Menunjukkan prestasi cemerlang dalam menghasilkan reka cipta produk kraf yang mempunyai identiti tersendiri dan berkualiti. 
  • Memperlihatkan ketokohan dan kepimpinannya yang berterusan dalam memartabatkan seni kraf warisan. 

SYARAT PENCALONAN 
  • Terbuka kepada semua tukang kraf dan individu yang mempunyai kemahiran khusus berkaitan dengan kraf.
  • Individu yang dicalonkan hendaklah warganegara Malaysia dan bersetuju di atas pencalonannya. 
  • Berpengalaman dalam bidang kraf yang diceburi tidak kurang dari 15 tahun.

PANDUAN PENCALONAN 
  • Pencalonan tukang-tukang kraf bagi pelantikan Adiguru Kraf hendaklah melalui Kraftangan Malaysia peringkat cawangan negeri dan mendapat sokongan dari pengarah cawangan negeri tersebut.
  • Borang pencalonan yang telah lengkap beserta dokumen sokongan hendaklah dikemukakan kepada Urusetia Pelantikan Adiguru Kraf di Alamat:
KETUA PENGARAH
Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia
Kompleks Kraf Kuala Lumpur 
Seksyen 63, Jalan Conlay 
50450 KUALA LUMPUR 
(U/P: Bhg. Pemuliharaan) 

PROSES PERLANTIKAN ADIGURU KRAF 
Dua jawatankuasa ditubuhkan iaitu Jawatankuasa Panel Teknikal dan Jawatankuasa Panel Pemilihan bagi proses penilaian dan pemilihan calon-calon adiguru kraf:

Jawatankuasa Panel Teknikal 
Dipengerusikan oleh YBrs. Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) dan dianggotai oleh Pengarah Bahagian Rekaan, Usahawan, Promosi dan Pemuliharaan.
Tugas dan tanggungjawab: 
Jawatankuasa ini adalah meneliti dan mengkaji segala maklumat mengenai pencalonan serta membuat tinjauan ke tempat calon yang telah ditentukan.

Jawatankuasa Panel Pemilihan 
Dipengerusikan oleh YBhg. Ketua Pengarah dan dianggotai oleh YBrs. Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan), Pengarah Pengarah Bahagian Rekaan, Usahawan, Promosi dan Pemuliharaan.
Tugas dan tanggungjawab: 
Jawatankuasa ini akan memutuskan dan memperakukan pelantikan seseorang Adiguru Kraf.

ISTILAH / TERMINOLOGI

Kraftangan
“apa-apa keluaran artistik yang mempunyai daya tarikan kebudayaan atau tradisional dan adalah hasil dari sesuatu proses yang bergantung semata-mata atau sebahagiannya kepada kemahiran tangan… (Akta 222 : Akta Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia 1979).

Warisan 
Seni kemahiran yang dimiliki atau diamalkan sejak turun temurun dan mempunyai identiti tersendiri.

Warganegara Malaysia 
Rakyat Negara Malaysia yang terdiri daripada penduduk asli tempatan ataupun orang asing yang telah diterima menjadi rakyat mengikut undang-undang Malaysia. (rujukan : Kamus DBP)

Pengiktirafan 
Penghargaan dan penghormatan yang diberi kepada seseorang yang telah memberi sumbangan yang besar untuk tujuan kecemerlangan dalam kerja-kerja yang dijalankan.

Kepakaran Tinggi 
Seseorang tukang yang mahir dalam sesuatu bidang yang dirujuk atau dirunding untuk melaksanakan atau menyelesaikan sesuatu.

Penciptaan
Keupayaan menghasilkan sesuatu (karya seni kraf) dengan daya fikiran atau imaginasi.

Panel 
Sebuah jawatankuasa yang dilantik oleh Kraftangan Malaysia dan anggotanya terdiri daripada mereka yang mempunyai pengetahuan di dalam bidang masing-masing.

Tradisional
Tradisional bermakna amalan atau pekerjaan yang biasa dilakukan sejak turun temurun.

Update : 04/01/2013