Adiguru Kraf Tenunan Pahang  

Ditulis oleh : Bahagian Pemuliharaan Kategori :

Salah satu daripada seni kemahiran tangan tradisional yang menjadi kemegahan bangsa ialah bertenun kain. Pulau Keladi yang terletak di dalam Daerah Pekan, Pahang amat sinonim dengan kerja-kerja menenun kain. Di sini muncul penenun-penenun kain sutera yang mengukir nama dalam lipatan sejarah tenunan. Salah seorang daripada mereka ialah Azizah binti Ismail. Dilahirkan pada tahun 1935 di Johor tetapi dibesarkan di Pekan Pahang. Beliau pernah mendapat pendidikan formal sehingga darjah tiga dan kemudian beliau dihantar belajar mengaji al-Quran.

Pada masa kanak-kanaknya, beliau sering memerhatikan neneknya menenun kain. Namun demikian beliau tidak mempunyai kesempatan mewarisi kemahiran daripada neneknya. Kegiatan menenun ini diusahakan setelah beliau berumah tangga. Beliau ketika itu tinggal berjiran dengan Hajah Maimunah yang merupakan salah seorang tukang tenun yang terkenal di Pulau Keladi. Azizah mengambil masa selama enam bulan belajar bertenun iaitu dari proses mencelup benang hinggalah kepada proses menenun. Berkat ketekunan dan kesabaran beliau, akhirnya kemahiran menenun dapat dikuasi oleh Azizah. Di antara reka corak kain tenun beliau yang mendapat permintaan ramai ialah Corak Jaluran Tujuh, Sembilan, Sepuluh, Sebelas dan Tiga Belas.

Azizah mengusahakan kegiatan menenun secara sepenuh masa dan beliau juga turut mengendalikan sebuah bengkel tenun di Kampung Pulau Keladi yang memberi peluang kepada masyarakat setempat khususnya golongan remaja mempelajari cara-cara menenun. Kemahiran menenun ini turut diwarisi oleh anak perempuan beliau. Bagi menghargai jasa dan sumbangan beliau semasa hayatnya dalam mengembang dan membangunkan seni warisan bangsa ini, pada tahun 1988 Kraftangan Malaysia telah melantik beliau sebagai Adiguru Kraf Tenun Pahang. Beliau telah meninggal dunia pada 17 April 1996.

Artikel ini telah ditulis pada hari Isnin , Isnin, April 23, 2012 di bawah kategori . Anda boleh mengikuti artikel ini melalui comments feed .

0 ulasan

Catat Ulasan

Catat Ulasan