Adiguru Kraf Tekatan Benang Emas  

Ditulis oleh : Bahagian Pemuliharaan Kategori :

Nama Hajah Azizah binti Mohd Yusuf amat sinonim dengan bidang tekatan yang merupakan kerja tangan yang berasal dari istana kerajaan negeri Perak. Beliau yang dilahirkan pada 28 Januari 1938 di Kampung Padang Changkat, Kuala Kangsar, Perak berkemahiran menghasilkan kraf tekat sejak usia mudanya. Beliau telah mewarisi kemahiran sulaman tekat ini daripada ibunya, Mahiyah Abdul Majid, seorang tukang tekat mahir ketika itu yang sering mendapat tempahan dari istana. Hajah Azizah mengambil inisiatif memajukan kegiatan menekat dengan membuka bengkel tekatan dan ruang pameran berhampiran rumah beliau. Di samping bekerja keras mengusahakan tekatan benang emas beliau turut bergiat aktif dalam pergerakan politik dan aktiviti kemasyarakatan terutama di sekitar Kuala Kangsar, Perak.

Beliau kreatif memilih dan menggubah reka corak berunsurkan motif flora kemudian disesuai dengan warna mengikut kehendak dan cita rasa pelanggan. Antara reka corak dan motif yang beliau gubah ialah Paku Pakis, Pucuk Rebung, Sulur Bayung, Bunga-Bunga Padi, Anggerik, Asam Batu, Bunga Raya, Kemboja dan Mawar, Awan Larat serta Tulisan Khat. Di atas kewibawaan dan kepakarannya, beliau sering dijemput untuk menjadi tenaga pengajar dan pakar rujuk oleh jabatan dan agensi kerajaan bagi program di dalam dan luar negara dalam usaha memartabatkan seni kraf warisan ini.

Beliau memberikan komitmen sepenuhnya kepada bidang sulaman tekat ini kerana minat dan kecintaannya mendalam serta kehalusan kerja tangannya yang membuatkan beliau sering mendapat tempahan dari pihak istana. Kraftangan Malaysia telah melantik beliau sebagai Adiguru Kraf Tekatan pada tahun 1995 di atas usaha gigih beliau dalam memastikan seni kraf ini dipelihara dan dimajukan. Sokongan dan kerjasama dari beberapa agensi kerajaan serta individu menguatkan lagi semangat Hajah Azizah untuk terus memulih dan memelihara seni kraf tradisional negeri Perak ini.

Artikel ini telah ditulis pada hari Isnin , Isnin, April 23, 2012 di bawah kategori . Anda boleh mengikuti artikel ini melalui comments feed .

0 ulasan

Catat Ulasan

Catat Ulasan