Adiguru Kraf Pua  

Ditulis oleh : Bahagian Pemuliharaan Kategori :

Sarawak terkenal dengan seni kraf tenunan pua kumbu dan salah seorang tukang tenun yang gah namanya dalam bidang ini ialah Bangie a/k Embol. Beliau dilahirkan pada tahun 1945 dan mewarisi kemahiran menenun pua sejak usia remaja lagi. Minat yang mendalam serta kemahiran yang tinggi telah mendorong beliau mereka cipta corak dan motif yang mempunyai nilai-nilai estetika tersendiri. Antara motif-motif tenunan pua beliau adalah Bunga Rang Jugah, Bunga Buah Sepuyong dan Bunga Bali Malikut. Kelainan kain pua tenunan beliau adalah pada ragam hias yang dihasilkan. Setiap kehendak pelanggan diterjemah ke dalam rekaan yang kadang kala menggabungkan reka corak tradisional dan kontemporari.

Kepakaran beliau menenun pua ini telah membawanya menjelajah ke luar negara bagi mempromosi dan mempamerkan seni kraf tenunan etnik Sarawak. Antara pameran luar negara yang pernah disertai beliau adalah seperti di Sweden, Paris, Bangkok, Manila dan Singapura. Pada tahun 1998 beliau memenangi tempat pertama bagi kategori kraf dalam pertandingan Natural Dye Weaving anjuran United Nations Educational, Scientific and Cultural Organisation (UNESCO). Lain-lain pertandingan yang disertai adalah pertandingan WICITRA (1990) anjuran Kraftangan Malaysia dan pertandingan The State Wide Pua Kumbu (1998) anjuran Tun Jugah Foundation.

Bagi memastikan seni tenunan pua terus terpelihara dan berkembang, beliau menjadi juru tunjuk khususnya kepada generasi muda. Beberapa siri bengkel, kursus dan kelas bimbingan dikendalikan dengan kerjasama Kraftangan Malaysia dan juga beberapa pertubuhan tempatan seperti Sarakup Indu Dayak Sarawak (SIDS) dan Sarakup Dayak Iban Association (SADIA) Pampang. Beliau telah dilantik sebagai Adiguru Kraf Tenun Pua pada tahun 2000 oleh Kraftangan Malaysia.

Artikel ini telah ditulis pada hari Isnin , Isnin, April 23, 2012 di bawah kategori . Anda boleh mengikuti artikel ini melalui comments feed .

0 ulasan

Catat Ulasan

Catat Ulasan