Adiguru Kraf Jebak Puyuh  

Ditulis oleh : Bahagian Pemuliharaan Kategori :

Haji Che Mud bin Che Awang yang berkemahiran menghasilkan kraf jebak puyuh dilahirkan pada 8 Oktober 1944 di Kampung Bunuhan, Tumpat, Kelantan. Beliau telah mewarisi kemahiran membuat jebak puyuh ini daripada datuk saudaranya yang mempunyai hobi menangkap burung puyuh dan berkemahiran membuat jebak puyuh.

Keistimewaan yang terdapat pada Haji Che Mahmud ialah beliau bukan sahaja mahir membuat jebak puyuh yang cantik malahan beliau juga berkebolehan membuat wau dan patung wayang kulit yang merupakan permainan tradisional rakyat Kelantan. Selain daripada itu, beliau juga mempunyai ilmu Main Puteri, salah satu cara perubatan tradisional di Kelantan. Haji Che Mud mengambil inisiatif dalam menambah baik hasil kerja tangannya dengan memperbaharui reka bentuk jebak dengan mengambil ilham burung puyuh itu sendiri. Beliau juga memperindah jebak puyuh dengan ukiran dan ikatan sehinggakan tiada siapa yang menyangka barangan kraf secantik itu hanyalah sebuah jebak memikat puyuh.

Haji Che Mud sering dijemput untuk menjadi tenaga pengajar dan pakar rujuk dari dalam dan luar negara dalam usaha memartabatkan seni kraf tempatan. Sokongan dan kerjasama dari beberapa agensi serta individu menguatkan lagi semangat beliau untuk terus memulih dan memelihara seni kraf warisan ini. Pada tahun 1989 Kraftangan Malaysia telah melantik beliau sebagai Adiguru Kraf Jebak Puyuh di atas usaha beliau dalam memastikan seni kraf ini dipelihara dan dikembangkan.

Artikel ini telah ditulis pada hari Isnin , Isnin, April 23, 2012 di bawah kategori . Anda boleh mengikuti artikel ini melalui comments feed .

0 ulasan

Catat Ulasan

Catat Ulasan