Adiguru Kraf Tembikar Pulau Tiga  

Ditulis oleh : Bahagian Pemuliharaan Kategori :

Selain daripada labu Sayong, negeri Perak turut terkenal dengan pengeluaran labu Pulau Tiga. Tokoh yang terbilang namanya dalam menghasilkan labu ini ialah Hawa binti Ngah Salam yang dilahirkan di Kampung Changkat Manggis, Kampung Gajah, Perak pada tahun 1934. Kemahiran membuat tembikar ini diwarisi sejak turun temurun dan beliau merupakan generasi keenam dalam salasilah pembuatan labu Pulau Tiga.

Cintanya terhadap seni kraf tembikar ini menjadi pendorong kepada beliau untuk sentiasa memperbaiki dan meningkatkan kualiti produk yang dihasilkan. Kemahiran dan kreativitinya dalam menghasilkan barangan yang berkualiti dan mempunyai nilai-nilai estetika yang tinggi ini mendapat liputan daripada media tempatan. Labu Pulau Tiga yang dihasilkan oleh beliau pernah dipamerkan di Muzium Negara Kuala Lumpur, Muzium Taiping, Muzium Kedah dan Universiti Malaya. Di samping itu beliau juga pernah mengadakan demonstrasi pembuatan labu Pulau Tiga dan menyertai pameran pelancongan anjuran Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia dan Kraftangan Malaysia. Pada tahun 1984 beliau menerima Anugerah Penghargaan WICITRA anjuran Kraftangan Malaysia.

Semangat beliau yang sentiasa aktif dan peka pada perkembangan industri kraf tembikar dapat dijadikan contoh dan inspirasi kepada pelapis muda untuk menceburi bidang ini. Segala jasa dan usaha murninya diberi pengiktirafan oleh Kraftangan Malaysia dengan melantik beliau sebagai Adiguru Kraf Tembikar Pulau Tiga pada tahun 1996.

Artikel ini telah ditulis pada hari Isnin , Isnin, April 23, 2012 di bawah kategori . Anda boleh mengikuti artikel ini melalui comments feed .

0 ulasan

Catat Ulasan

Catat Ulasan