Tokoh Kraf Negara : Kraf Tenunan Songket  

Ditulis oleh : Bahagian Pemuliharaan Kategori :

Hajah Habibah Zikri satu nama besar yang turut mewarnai industri songket negara. Beliau yang telah dilantik sebagai Adiguru Kraf Songket turut dinobatkan sebagai Tokoh Kraf Negara pada tahun 2007. Jiwa seni Hajah Habibah diwarisi daripada bapanya yang gemar mengumpul koleksi-koleksi barangan kraf. Sejak zaman kanak-kanak lagi Hajah Habibah gemar melakar, melukis dan melihat kepada keindahan. Selepas tamat sekolah menengah, beliau memilih untuk melanjutkan pengajian dalam bidang seni. Semasa menuntut di Institut Teknologi MARA, Hajah Habibah di antara pelajar cemerlang. Beliau sentiasa mencari kelainan dan memberi nilai tambah pada setiap karya yang dihasilkan kerana mencipta sesuatu yang cantik merupakan kepuasan kepada beliau. Di akhir pengajian beliau menerima anugerah pelajar cemerlang dalam bidang tekstil.

Hajah Habibah yang meminati seni tampak sejak kecil lagi menyimpan cita-cita untuk melakukan transformasi dalam industri songket negara. Kain songket yang menjadi warisan agung diberi nafas baru agar mampu dimiliki dan diterima pakai semula oleh semua lapisan masyarakat. Beliau penuh yakin bahawa kain songket yang terhad fungsi serta kegunaannya ini boleh dikomersilkan.

Hajah Habibah turut melatih penenun muda di bengkelnya. Kebanyakan mereka terdiri daripada remaja lepasan sekolah menengah yang tidak mempunyai asas menenun. Kumpulan ini diberikan latihan dan bimbingan sehingga mereka menjadi penenun yang mahir. Karya kreatif beliau turut dijadikan sebagai hiasan eksklusif Istana Negara, Istana Johor, pejabat-pejabat kedutaan di luar negara, bangunan UMNO Kuala Lumpur, hotel-hotel dan resort di seluruh negara. Sumbangan Hajah Habibah sepanjang penglibatannya telah mengangkat dan meletakkan songket warisan bangsa ke tempat yang sewajarnya.

Artikel ini telah ditulis pada hari Isnin , Isnin, April 23, 2012 di bawah kategori . Anda boleh mengikuti artikel ini melalui comments feed .

0 ulasan

Catat Ulasan

Catat Ulasan