Penglibatan Tokoh Dalam Bidang Kraf  

Ditulis oleh : Bahagian Pemuliharaan Kategori :


Beberapa faktor seperti proses sosialisasi keluarga, persekitaran, rakan-rakan sebaya dan dorongan individu mempengaruhi penglibatan Pak Su di dalam seni pertukangan kayu. Di dalam keluarga sahaja, kakaknya amat cekap membuat dinding serta mengubah atap rumah. Datuknya adalah seorang tukang emas. Saudaranya iatu Guntur begitu mahir sekali membuat ukiran rumah. Terdapat juga di kalangan saudara beliau yang pernah menjadi tukang ukir di raja Patani. Nik Wan Ali, bapa saudara Pak Su adalah seorang tukang payung raja Patani. Meskipun Pak Su tidak sempat berguru, tetapi darah seni kraf dari bapa saudaranya tetap mengalir kepada beliau.

Pepatah melayu ada menyebut "bapa borek anak rintek". Ayahnya langsung tidak tahu mengukir kayu. Malah untuk untuk membuat pemanggang ikan pun beliau tidak berkebolehan. Apatah lagi, ayah Pak Su sendiri telah lama meninggal dunia lantas tidak sempat memberi galakan dan nasihat kepada beliau. Sungguhpun demikian, ia  tidak membantutkan aspirasi beliau untuk terus menjadi seorang pengukir kayu yang terkenal di satu hari nanti.

Ketika usianya meningkat sebelas tahun, beliau tertarik melihat seorang tukang mahir mengukir tempat semangat sebagai kegunaan tempat persandingan atau tempat berkhatan. Setiap kali selepas mengaji quran, beliau terus mendampingi tukang mahir berkenaan serta mengamati pekerjaannya. Suatu hari, Pak Su terfikir bahawa beliau juga mampu menjadi pengukir kayu. Keesokkan hari, setelah melihat tukang ukir itu menyelesaikan kerja-kerjanya, Pak Su mengutip sisa-sisa kertas yang telah dibuangkan. Dengan bahan-bahan yang dibawa pulang itu, beliau meniru hasil-hasil ukiran tukang ukir tersebut. Dalam usia yang begitu muda, Pak Su sudah pun pandai mengukir meskipun ukirannya tidak seberapa cantik.

Ketika umurnya menjangkau dua puluh tahun, beliau mempelajari secara sistematik membuat tempat semangat. Kemahiran ini diperolehi semasa beliau berada di Pengkalan Kubur, satu tempat yang memang terkenal sebagai tempat membuat perajangan. Setelah  berkahwin, beliau semakin giat mendalami pengetahuan di dalam rekaan motif awan larat. Di sinilah juga, Pak Su menguasai kemahiran dalam setiap jenis reka corak bunga yang ada pada sesuatu ukiran kayu. Tengku Muda (Ku Muda) seorang kerabat di Raja Kelantan, merupakan tokoh yang bertanggungjawab membimbing Pak Su mendalami bidang ini.

Selain Ku Muda, terdapat seorang lagi kenalan Pak Su yang sama-sama terlibat dalam kerja-kerja ukiran. Beliau ialah Encik Ahmad. Darinyalah, Pak Su memerhati cara-cara memahat yang kemas dan cantik. Kepandaian Pak Su dalam memahat terserlah apabila beliau mampu mengalahkan Encik Ahmad dalam satu pertandingan mengukir. Jelas sekali, Pak Wan banyak menerima idea hasil perhubungan dan pembelajaran dengan tokoh-tokoh ukir yang lain. Ini termasuklah, Encik Latif Long, Haji Wan Ismail, Encik Nik Rashidin, Cikgu Mat Bakar (semua dari Kota Bharu) dan Encik Bakar.

Tuah Pak Su mulai nampak di tahun-tahun berikutnya. Pada bulan September 1960, seorang tokoh sejarah tempatan bernama Tuan Haji Mudin Shepherd (sekarang bergelar Tan Sri Dato' Haji Mubin Shepherd) telah datang ke Besut dan menjemput Pak Su mengukir awan larat di Muzium Negara. beliau menerima tawaran tersebut dan dua tahun kemudian berangkat ke Kuala Lumpur. Pak Su menyempurnakan tugas yang diamanahkan itu dalam masa setahun sahaja. Pada bulan Ogos 1964, muzium tersebut dirasmikan oleh Duli Yang Maha Mulia Yang Dipertuan Agong Sultan Perlis.

Hasil Kerja itu telah mengharumkan nama Pak Su. Beliau kerap menerima tempahan-tempahan terutama dari Sultan Pahang. Ia merupakan kontrak untuk mengukir pagar, tangga, pintu masuk istana serta dinding dewan santapan. Berkat kegigihannya, beliau mampu menyiapkan semua tugas tersebut dalam masa empat bulan.

Bakat kemahiran tidak setakat terhad kepada seni ukiran kayu malah mengukir patung wayang kulit. Patung-patung ini dipamerkan di cermin pintu kedai guntingnya. Pernah satu ketika, Pak Su mendapat tempahan dua buah patung wayang kulit dengan harga RM25.00 dari Tuan Haji Mubin Sendir. Tempahan ini juga adalah kali pertama diterima daripada pelanggan.

Walaupun Pak Su sibuk mengukir dan menggunting rambut, beliau juga tidak ketinggalan. Di antara kegemaran beliau ialah meniup serunai, bermain berebab dan memukul gendang.

Artikel ini telah ditulis pada hari Isnin , Isnin, Mei 14, 2012 di bawah kategori . Anda boleh mengikuti artikel ini melalui comments feed .

0 ulasan

Catat Ulasan

Catat Ulasan