Kejayaan / Pencapaian Wan Abdullah Wan Muda  

Ditulis oleh : Bahagian Pemuliharaan Kategori :

Bagi kebanyakkan orang, kemahiran membuat tembaga dipercayai berlaku secara turun temurun. Jika si ayah berkebolehan menukang, sudah tentu anaknya akan mewarisi seni tersebut. Berlainan pula dengan Encik Wan Abdullah, beliau tidak diilhami oleh kepercayaan demikian.

Encik Wan Abdullah bin Wan Muda adalah seorang tokoh pengusaha tembaga yang terkenal di Kuala Terengganu. Beliau menetap di Kampung Abok. Meskipun berasal dari keluarga pelaut dan nelayan, namun minatnya lebih tertumpu ke arah perusahaan tembaga. 

Sejak kecil lagi, Pak Wan dapat menyaksikan keperitan hidup yang dialami oleh para nelayan. Salah seorang dari mereka ialah bapa beliau sendiri iaitu Tuan Haji Wan Muda. Ayahnya percaya bahawa kehidupan seorang pelaut yang sebelum itu diwarisi oleh datuk Pak Wan tidak semudah seperti disangkakan. Jadi ayah beliau mengubah haluan kepada ilmu menangkap ikan bagi memperolehi pendapatan yang memuaskan.


Keadaan ini bagaimanapun tidak dapat memberi kemewahan kepada keluarga beliau. Musim tengkujuh, persaingan dalam pasaran dan kekurangan alat-alat nenagkap ikan merupakan antara faktor-faktor penghalang yang boleh memperbaiki cara hidup mereka. Berlandaskan hakikat ini, maka ayahnya sama sekali tidak menggalakkan Pak Wan mengikut jejak langkah beliau. Seperti mana kata Pak Wan,

"Saya juga pernah bertanyakan ilmu menangkap ikan, kepada orang tua saya, tetapi beliau tidak mahu saya atau adik beradik yang lain turun ke laut"

Bepegang kepada prinsip ini, Pak Wan mula mengalihkan perhatian dalam bidang yang lain. Mengikut kelaziman kebanyakkan masyarakat Melayu, anak-anak berumur antara enam hingga sepuluh tahun dihantar mengaji dengan guru agama. Situasi demikian juga dialami oleh Pak Wan di mana ibunya Che Jah Ismail menghantar Pak Wan mempelajari Al-Quran dengan Encik Ismail yang berkhidmat sebagai guru di sebuah sekolah kebangsaan.

Bagaimanapun, pendedahan dalam pendidikan agama tidak dapat diimbangi dengan pendidikan di Sekolah Melayu. Kedua-dua orang tuanya menganggap menuntut di sekolah sekular seolah-olah belajar menjadi penipu. Pak Wan tidak direstui untuk ke sekolah.

Jesteru, beliau hanya sempat belajar setakat darjah dua sahaja. Bencana banjir yang melanda kampungnya memaksa beliau menangguhkan pembelajaran sehingga umurnya mencapai sepuluh tahun. Selepas dua tahun menuntut beliau pergi ke sekolah masih tidak mencukupi untuk menggalakkan beliau menyambung semula pelajaran.

Keadaan ini menyebabkan beliau hanya menumpukan perhatian di dalam bidang ugama sahaja. Secara kebetulan, dari guru agama tersebutlah Pak Wan memperolehi kemahiran bertukang. Setiap kali selepas mengaji, beliau dikehendaki meramas tanah. Menurut kepercayaan orang-tua-tua dahulu, cara tersebut dianggap sebagai petua awalan menyemai kemahiran ketukangan. Amalan begini boleh menjadikan seseorang itu serasi dengan bahan tanah.

Encik Wan Abdullah mendirikan rumahtangga dengan seorang gadis berasal dari Paka, Dungun, bernama Cik Limah Salleh. Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan lapan orang cahaya mata yang terdiri daripada lima lelaki dan tiga perempuan. Budi bahasa, peradapan dan nilai-nilai kehormatan yang menjadi ciri-ciri asas budaya Melayu amat dititikberatkan oleh Pak Wan. Perlakuan dan pertuturan anak-anak sentiasa dikawal. Mereka dididik untuk sentiasa merendah diri dan menghormati orang luar khususnya orang-orang tua. Sepertimana yang pernah dialami oleh beliau, anak-anaknya juga diasuh dalam bidang agama.

Menyedari kepentingan ilmu pengetahuan, kesemua anak-anak beliau dihantar ke sekolah melayu dan sekolah inggeris. Bagi Pak Wan, dalam mengajar hal-hal agama, nilai-nilai kemajuan tidak seharusnya diabaikan.

Artikel ini telah ditulis pada hari Isnin , Isnin, April 22, 2013 di bawah kategori . Anda boleh mengikuti artikel ini melalui comments feed .

0 ulasan

Catat Ulasan

Catat Ulasan