Kebanyakan tokoh-tokoh kraftangan memperolehi kemahiran di dalam bidang masing-masing dengan cara yang unik. Ada pula yang mewarisi dari ayah atau ibu mereka. Tidak Kurang juga ada yang memperolehi kemahiran melalui pemerhatian sendiri. Encik Wan Abdullah tidak terkecuali di dalam hal seumpama ini. Perbuatan menyentuh dan meramas tanah seperti yang disuruh oleh gurunya secara tidak langsung menghasilkan kebolehan seni pertukangan tembaga kepada beliau.
Seni kemahiran ini dicapai sewaktu umurnya lapan belas tahun. Beliau bersama rakan-rakan seangkatan yang lain seperti Cik Mat Embung dan Wan Man Embung sering melihat cara-cara memproses acuan dan mengemukakan pertanyaan kepada guru mereka. Segala teknik dan petua yang betul dan kemas difahamkan sedikit demi sedikit sehinggalah beliau dapat menguasai sepenuhnya.
Dikalangan adik-beradik seramai empat orang, hanya beliau dan adiknya Haji Wan Yahya sahaja menceburi bidang ini. Tetapi sekarang hanya Pak Wan sahaja yang meneruskan pekerjaan tersebut kerana adiknya telah pun meninggal dunia.
Hasrat Pak Wan mendalami bidang tembaga tidak menghadapi sebarang kesulitan kerana di kampungnya tokoh-tokoh terkenal seperti Tuan Haji Bakar Abdul rahman, Tuan Haji Mat Cik Abdul Rahman dan Encik Ali Yaakob dapat membantu memberikan pengetahuan dan menyediakan perkakasan tembaga. Tuan Haji Mat dikatakan kerap membekalkan bahan-bahan dan peralatan kepada beliau.
Kreativiti dan minat Pak Wan menarik perhatian kedua-dua orang tuanya. Mereka terus memberi galakan agar bakat semulajadi yang ada tidak terbiar begitu sahaja. Pak Wan terus bergiat secara serius.
Tidak dinafikan, unsur-unsur sosialisasi seperti pengaruh rakan-rakan sebaya, keadaan persekitaran, dorongan ibu bapa dan guru, minat dan kedudukan ekonomi memberi sumbangan ke arah keterlibatan beliau dalam aktiviti seni ini. Di segi ekonomi beliau pernah menyentuh perihal kesenangan masa depan seperti katanya,
"Saya memikirkan kesenangan jua sedikit. Sampai bila akan senang kalau asyik mengikut orang sahaja"
Sikap demikian ditanam sejak usianya enam belas tahun. Pengetahuan yang diperolehi membolehkan beliau mendirikan sebuah bangsal. Sebelum zaman pemerintahan Jepun, Pak Wan telahpun membuat beberapa barangan iaitu periuk berukuran 3" x 4", sekeping wang seringgit. Sekeping (sekodi) dua puluh ringgit, bekas-bekas kuih seperti sarang cermai, sarang apik-apik, bakor dan kuali kuah. Hasil-hasil tembaga ini kemudianya dijual kepada orang ramai kerana Pak Wan tidak begitu gemar menerima tempahan atas alasan para pembeli kerap kali lambat mengemukakan bayaran.
Selepas tahun 1948, Pak Wan menjual peralatan serta barang-barang tembaga di sebuah kedai kepunyaannya yang dikongsikan bersama dengan seorang rakan. Urusan jualan dihadapi tanpa sebarang masalah kerana Pak Wan memang mewarisi bakat niaga dari ayahnya yang satu ketika dahulu berpengalaman menjalankan perniagaan sampai ke Siam dan Singapura.
Kedai beliau bagaimanapun hanya dibuka di waktu pagi dan berhenti rehat pada pukul satu tengahari. Kira-kira sejam sebelum beliau menutup kedainya, rakannya pulang untuk melebur acuan. Ini membolehkan beliau terus melakukan kerja-kerja menuang sekembalinya ke rumah. Perniagaan beliau disambung semula sehingga lima petang.
Sebenarnya penglibatan Encik Wan dalam pertukangan tembaga secara sepenuh masa hanya bermula pada tahun 1965. Di waktu itu, beliau bekerja dengan bantuan tiga orang pemuda yang diupah mengikut gaji hari dengan kadar bayaran sebanyak dua ringgit sehari. Wang bukan merupakan matlamat utama, sebaliknya pengalaman dan kemahiran dapat menentukan masa depan mereka. Berorentasikan kepercayaan ini, maka pembantu-pembantunya bekerja dengan penuh tanggungjawab untuk menghasilkan barang-barang tembaga yang bermutu tinggi.
Dalam pada itu, Pak Wan tidak ketinggalan membuat beberapa kerja sampingan. Di zaman Jepun, beliau menjual nasi lemak dan kopi, pekerjaan yang hanya dilakukan di sebelah pagi sahaja. Setelah dua tahun menjalankan perniagaan tersebut beliau beralih kepada bentuk jualan yang lebih besar. Kegiatan ini berjalan untuk tempoh lima tahun dari tahun 1943 hingga tahun 1948. Selain dari ciptaan seni tembaga, beliau berkebolehan membuat perahu. Tegasnya, kemampuan beliau dalam bidang tembaga mempunyai sinambungan dengan kreativiti dalam bentuk perusahaan yang lain.
Artikel ini telah ditulis pada
hari Isnin
, Isnin, April 22, 2013
di bawah kategori
Wan Abdullah Bin Wan Muda
. Anda boleh mengikuti artikel ini melalui
comments feed
.
Catat Ulasan