Latar Belakang Penglibatan Tokoh Dalam Kraf Besi  

Ditulis oleh : Bahagian Pemuliharaan Kategori :

Abdullah bin Daud seorang adiguru pandai besi. Beliau telah melibatkan diri dalam perusahaan ini sejak kecil lagi iaitu kira-kira pada usia 8 tahun. Walaupu demikian, beliau bergiat aktif sepenuhnya pada usia 24 tahun. Di antara usia 8 hingga 24 tahun, beliau lebih banyak menumpukan kepada proses pembelajaran dari ayahnya yang pada ketika itu sangat terkenal dengan perusahaan pandai besi.

Pembuatan barang senjata Encik Abdullah adalah unik dan berseni kerana beliau mampu menghasilkan berbagai-bagai jenis senjata seperti keris, pedang, parang, tukul, kapak dan peralatan besi yang lainnya.

Apabila perusahaan beliau bertambah maju beliau membuka bengkel sendiri dengan dibantu oleh ayah saudaranya. Barang yang dihasilkan dilakukan dengan kuantiti yang banyak untuk dipasarkan di Kota Baharu dan Machang. Ternyata hasil tangan beliau sememangnya mendapat perhatian penduduk-penduduk setempat dan juga pelancong serta orang kenamaan.

Encik Abdullah lebih gemar memasarkan produk buatan beliau secara terus kepada pelanggan. Encik Abdullah bukan sahaja mahir dalam membuat senjata malah beliau mampu menghasilkan hulu keris, parang dan senjata lain dengan unik sekali.

Kemahiran beliau lama-kelamaan mendapat tempat di kalangan orang ramai dan beliau mula menerima tempahan dari orang luar dan orang-orang kenamaan. Antara senjata yang dihasilkan adalah keris untuk Istana Besar Perlis serta peralatan lembing dari kerajaan negeri Terengganu.

Kejayaan demi kejayaan beliau mula kecapi dan turut dijemput beberapa kali membuat persembahan dan demonstrasi bagi pihak Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia. Tempahan barangan sejata dari agensi-agensi kerajaan lain juga turut diterima antaranya ialah Muzium Kelantan, Muzium Johor, Muzium Terengganu dan Muzium Pekan Pahang.

Beberapa majalah, surat khabar dan media turut memberi publisiti kepada beliau dalam ruangan seni dan budaya. Melihat akan kejayaan ini beliau di anugerahkan Adiguru Kraf dalam bidang Pandai Besi oleh Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia pada tahun 1983. Selain mahir dalam pertukangan kraf besi beliau juga terkenal sebagai guru silat dan guru mengajar mengaji al-Quran. Tidak hairanlah beliau sering menjadi pakar rujuk dan juga orang yang dihormati di tempatnya.

Artikel ini telah ditulis pada hari Rabu , Rabu, April 25, 2012 di bawah kategori . Anda boleh mengikuti artikel ini melalui comments feed .

0 ulasan

Catat Ulasan

Catat Ulasan