Latar Belakang Penglibatan Tokoh Dalam Seni Ukiran Halus  

Ditulis oleh : Bahagian Pemuliharaan Kategori :

Tengku Ibrahim bin Tengku Wook merupakan salah seorang pencinta seni yang menjalankan aktiviti mengukir ukiran halus seperti hulu dan sarung keris, tongkat, katil, rumah dan barangan lainnya. Ukiran halus yang dihasilkan beliau sememangnya tinggi nilai seni mutunya. Sejak dari kecil lagi beliau telah didedahkan dengan teknik-teknik mengukir yang baik daripada ayahnya yang juga merupakan salah seorang pengukir yang masyhur.

Apabila usianya meningkat belasan tahun barulah beliau mula melibatkan diri dengan ukiran halus ini dan mula mendirikan bengkel di belakang rumahnya sendiri. Bengkel yang tidak seberapa ini, dilengkapi dengan peralatan yang baik. Kemampuan Tengku Ibrahim bukan sahaja dari segi pembuatan barangan kraf malah beliau juga mampu melahirkan ataupun mereka cipta peralatan mengukir dengan sendiri. Antara peralatan yang dibuat sendiri adalah seperti pahat, set penebuk lubang, semawar serta menajamkan pahat.

Ilmu yang terdapat pada beliau tidak dipendam begitu sahaja. Pada awal tahun 1970-1985 beliau mengajar penduduk-penduduk setempat mengukir dan terdapat para pengukir yang kini mahir di bawah bimbingan beliau di antaranya ialah Norhaiza. Selain daripada mengajar penduduk setempat, Tengku Ibrahim juga mengajar belia di bawah jagaan IRDA dan juga pelatih-pelatih di Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia.

Kehalusan dan mutu ukiran yang tinggi menjadikan barangan yang dihasilkan beliau meningkat harga dan mempunyai pasaran yang luas. Beliau pernah menghasilkan ukiran halus untuk Yang Amat Berbahagia Tun Mahathir Mohamad (bekas Perdana Menteri Malaysia), Sultan Azlan Shah, Tuan Haji Haida serta beberapa orang kenamaan lainnya yang tidak dapat diingat oleh beliau.

Penghasilan ukiran beliau juga mendapat tempat daripada agensi-agensi kerajaan seperti Jabatan Perdana Menteri, Muzium Kelantan, Muzium Terengganu, Muzium Negeri Pahang dan kerajaan negara Brunei Darussalam.

Keistimewaan Tengku Ibrahim juga adalah dalam menghasilkan motif-motif menggunakan motif tersendiri dan bunga-bungaan tersendiri. Kejayaan beliau juga terserlah apabila Dato’ Seri Marina binti Mahathir menghasilkan buku bertajuk ‘The Craft of Malaysia’ dan beliau adalah seorang tukang kraf yang menjadi pilihan kerana kehalusan produk ukiran yang dihasilkan.

Kemahirannya mengukir dengan cara manual adalah keistimewaan dalam dirinya. Selama penglibatan kira-kira 30 tahun banyak pengalaman yang ditimba menjadi panduan memahirkan lagi bakatnya.
Sebagai pewaris kemahiran dari ayahnya, beliau amatlah berbesar hati dan berhasrat menjadikan bidang ukiran halus sebagai warisan generasinya. Beliau juga tidak keberatan mencurahkan ilmunya kepada mereka yang benar-benar berminat. Biasanya masa untuk mengajar secara teori dan cara-cara menghasilkan ukiran halus, diatur pada waktu-waktu tertentu. Beliau juga pernah berkhidmat dengan agensi kerajaan seperti MARA dan Pejabat Kebudayaan dalam bidang ukiran halus.

Pencapaian Tengku Ibrahim memang membanggakan. Berkat kesungguhan, ketelitian dan keinginan yang kuat, beliau kian popular di kalangan peminat-peminat seni ukiran Melayu khususnya dari golongan istana. Sesuailah dengan kebolehan nya itu, maka beliau telah diiktiraf oleh Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia sebagai Tokoh Adiguru Kraf 1993.

Artikel ini telah ditulis pada hari Rabu , Rabu, April 25, 2012 di bawah kategori . Anda boleh mengikuti artikel ini melalui comments feed .

0 ulasan

Catat Ulasan

Catat Ulasan