Salah seorang pelopor seni tembaga ialah Encik Wan Abdullah bin Haji Muda. Beliau merupakan seorang tokoh pengusaha tembaga yang terkenal di Kuala Terengganu. Berasal dari Kampung Tanjung, Kuala Terengganu, beliau membesar dalam keluarga nelayan dan selalu menolong bapanya menangkap ikan.
Walaupun dibesarkan dalam keluarga nelayan, minatnya lebih mendalam terhadap perusahaan tembaga. Apabila mengaji al-Quran dan belajar agama, Encik Wan Abdullah mengambil peluang bertanya gurunya mengenai teknik perusahaan tembaga yang akhirnya menjadi sumber pendapatannya.
Dilahirkan pada tahun 1914, dan mula menceburi bidang ini ketika berumur 18 tahun. Hasil keyakinannya dan sikap suka bertanya beliau telah menjadikanya pengusaha tembaga yang berjaya dan terkenal.
Minatnya dan perusahaan tembaga bermula sejak beliau masih kecil. Beliau telah menyaksikan dan merasa keperitan hidup yang dialami oleh para nelayan. Di musim tengkujuh, persaingan dalam pasaran dan alat penangkapan adalah antara penghalang beliau menjadi seorag nelayan. Mengikut pengalaman kebanyakan masyarakat Melayu, kanak-kanak antara 6 tahun hingga 10 tahun dihantar mengaji al-Quran dan agama. Situasi ini juga dialami oleh Encik Wan Abdullah. Beliau dihantar mengaji dengan seorang yang dikenali sebagai Encik Ismail yang menjadi guru di sebuah sekolah kebangsaan.
Bagaimanapun, pendedahan dalam pendidikan agama tidak dapat diimbangi dengan pendidikan di sekolah Melayu. Kedua orang tuanya menganggap menuntut di sekolah sekular seolah-olah belajar menjadi kafir. Oleh itu beliau tidak direstui untuk belajar di sekolah. Selain itu juga, banjir besar pernah melanda kampungnya telah memaksa beliau menangguhkan pelajarannya sehingga umurnya mencapai 10 tahun. Dari guru agama itulah beliau mula memperoleh kemahiran bertukang. Setiap kali selesai mengaji Wan Abdullah akan menolong gurunya meramas tanah. Menurut kepercayaan orang tua dahulu, ini adalah petua awalan untuk menyemai kemahiran seni pertukangan. Dipercayai amalan ini boleh menjadikan seseorang serasi dengan bahan tanah.
Kebanyakan tokoh kraftangan dikatakan memperoleh kemahiran dalam bidang masing-masing dengan begitu unik. Ada di kalangan mereka mendapatnya melalui mimpi, sementara ada juga dari ibu bapa. Perbuatan menyentuh dan meramas tanah seperti disuruh oleh gurunya secara tidak langsung menghasilkan kebolehan seni pertukangan tembaga kepada beliau.
Seni kemahiran ini dicapai sewaktu usianya 18 tahun. Bersama rakan-rakannya, Wan Abdullah sering melihat cara-cara memproses acuan dan sering bertanya kepada gurunya. Beliau juga mempelajari teknik-teknik dan petua yang betul untuk difahamkan sedikit demi sedikit sehingga beliau dapat menguasai sepenuhnya seni pertukangan tembaga itu.
Apabila dewasa, Wan Abdullah mendirikan rumah tangga dengan seorang gadis dari Paka, Dungun, Terengganu iaitu Cik Limah. Hasil perkongsian hidup itu, mereka dikurniakan lapan cahaya mata. Sikap ingin tahu dan kesediaannya belajar dari mereka yang tahu pertukangan tembaga akhirnya membolehkannya beliau menjadi tukang tembaga yang mahir dan dapat mendirikan sebuah bengkelnya sendiri.
Sebelum zaman jepun lagi beliau sudah mula membuat barang tembaga seperti periuk, bekas kuih dan kuali kuah. Hasil tembaga ini kemudian dijual kepada orang ramai. Bermula tahun 1948, barang-barang itu dijual dari sebuah kedai yang dikongsi bersama dengan seorang rakan. Atas kegigihan beliau mempertahankan seni warisan ini beliau telah dianugerahkan Adiguru Kraf Tembaga 1987 oleh Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (PKKM).
Penyertaannya dalam pertukangan tembaga secara penuh masa hanya bermula pada tahun 1965 dan dibantu oleh tiga anak muda yang dibayar upah harian. Di kalangan adik-beradiknya (empat orang), Cuma beliau dan adiknya sahaja iaitu Wan Yahya menceburi bidang pertukangan tembaga. Selain dari ciptaan seni pertukangan tembaga, beliau juga berkebolehan membuat perahu.
Penat lelah Encik Wan Abdullah selama ini tidaklah sia-sia kerana kemahiran itu berjaya diwariskan kepada anakanya sendiri iaitu Daud yang kini cekap mengendalikan kerja-kerja pertukangan tembaga. Lebih membanggakan lagi, Wan Abdullah juga berjaya membimbing anak-anak muda tempatan dalam pertukangan tembaga.
Artikel ini telah ditulis pada
hari Rabu
, Rabu, April 25, 2012
di bawah kategori
Wan Abdullah Bin Wan Muda
. Anda boleh mengikuti artikel ini melalui
comments feed
.
Catat Ulasan