Menyentuh tentang Sarawak, terbayang mengenai kesuburan dan kehijauan alam semula jadi, rumah panjang dan keberanian masyarakat Iban dan suku-suku kaum etnik lain yang telah menghidupkan sejarah negeri. Kepelbagaian dari segi pengalaman adat resam, kepercayaan dan bahasa telah menjadikan masyarakatnya yang berbilang kaum mahir dalam pelbagai hasil-hasil seni kraf berasaskan sumber-sumber asli tempatan.
Hasil-hasil kraftangan dari Sarawak seperti tembikar, anyaman Sarawak, tenunan pua serta rotan berjaya memikat hati pembeli-pembeli baik dari dalam negeri mahupun luar. Masyarakat Sarawak kebanyakannya beragama Islam dan bertutur dalam bahasa Melayu Sarawak. Mereka dipercayai berasal dari negeri Johor semenanjung tanah Melayu. Sebilangan besar di kalangan masyarakat tersebut menetap di sekitar bandar Kuching iaitu di pinggiran sungai Sarawak.
Kini ramai di antara mereka menceburkan diri dalam kerja-kerja sulaman dan tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa pertumbuhan dan perkembangan seni kelingkam diwarisi dan dipelopori oleh masyarakat Melayu Sarawak. Seni sulaman kelingkam merupakan satu hasil kerja tangan yang sangat cantik. Bersesuaian dengan keindahan ciptaan kain ini, ia terhasil dari kelembutan jari dan kreativiti penciptanya. Penggunaan alat-alat yang sedikit seperti kain robia dan benang kelingkam tidak meragukan kita tentang kehalusan mutunya kerana kelingkam di sebalik sulaman itu terdapat unsur-unsur kesabaran, ketelitian dan daya ketekunan yang tinggi. Bukan sahaja ciri-ciri tersebut penting dalam menghasilkan sesuatu sulaman malahan ia turut menggambarkan sifat-sifat perempuan Melayu yang berlandaskan nilai-nilai akhlak dan budi.
Catat Ulasan