Pojiah binti Jaya merupakan tokoh wanita terkenal dalam bidang Sulaman Keringkam. Beliau telah menceburi bidang ini sejak berusia 17 tahun dan dikalangan adik beradiknya, hanya beliau yang masih meneruskan tradisi kraftangan ini.
Beliau tidak pernah menerima apa-apa pendidikan formal. Namun dengan kesempatan yang diambil sewaktu mengaji al-Quran, beliau berpeluang mempelajari tulisan jawi. Manakala di rumah pula, Puan Pojiah dididik dalam soal-soal agama, adat resam sebagaimana menurut amalan masyarakat Melayu Sarawak serta perkara-perkara berhubung dengan peranan isteri dan ibu sebagai langkah persediaan ke arah berumahtangga.
Keadaaan sedemikian secara tidak langsung telah membataskan hubungannya dengan masyarakat sekeliling. Perwatakannya sebagai gadis pendiam menyebabkan beliau tidak gemar mencampuri urusan individu lain. Sebaliknya Puan Pojiah lebih rapat dengan ibunya. Beliau sering memerhati setiap hari kerja-kerja sulaman sehingga sering kali tertidur di bawah pemidang sewaktu ibunya menyulam. Di sini juga, timbul minat dan dengan dorongan kedua-dua orang tua serta saudara-mara Puan Pojiah mula mencuba dan akhirnya menjadikan bidang keringkam itu sebagai pekerjaan sepenuh masa.
Bagi Puan Pojiah kemahiran kraf sebenarnya telah wujud sejak dari kecil lagi. Waktu itu anak patung mainannya diperbuat daripada kain robia manakala gelang tangan dibentuk dari benang keringkam. Kecekapan mengira urat-urat benang ini lama-kelamaan membolehkan beliau menguasai sepenuhnya semasa berusia 18 tahun.
Aktiviti menyulam biasanya dilakukan secara bersambungan dari pagi hinggalah malam. Bermula dari jam 9.30 hingga ke pukul 10.30 pagi kemudian dilanjutkan dari jam 2.00 petang hingga 3.30 petang dan diteruskan semula selepas waktu isyak sampai jam 10.00 malam, Puan Pojiah membuat kerja-kerja sulaman. Ruang antara waktu-waktu sulaman ini dipenuhi dengan menguruskan hal-hal lain di rumah.
Sebenarnya penglibatan Puan Pojiah secara aktif dalam kegiatan keringkam dapat di lihat dengan jelas setelah beliau melahirkan anak bongsu. Kebetulan pula, diwaktu itu tidak ramai wanita di kampungnya atau kampung-kampung berdekatan seperti Kampung Lintang bergiat dengan serius.
Artikel ini telah ditulis pada
hari Rabu
, Rabu, April 25, 2012
di bawah kategori
Pojiah Binti Jaya
. Anda boleh mengikuti artikel ini melalui
comments feed
.
Catat Ulasan