Latar Belakang Che Mud Dalam Kraf Jebak Puyuh  

Ditulis oleh : Bahagian Pemuliharaan Kategori :

Adiguru Kraf Jebak Puyuh iaitu Che Mud bin Che Awang berasal dari negeri Kelantan Darul Naim. Beliau dilahirkan di kampung Telaga Bata, Tumpat, Kelantan pada tahun 1944. Kini beliau menetap di kampung Bunuhan Tumpat, Kelantan.

Ibunya bernama Mek Som binti Sulaiman, ayahnya pula ialah Che Awang bin Senik. Beliau mempunyai 8 orang adik-beradik kesemuanya. Che Mud telah beberapa kali menempuh alam perkahwinan namun jodoh beliau berpanjangan dengan isterinya kini iaitu Puan Fatimah binti Merah. Perkahwinannya ini sudah dikurniakan 4 orang anak. Dua daripada orag anakya iaitu Che Ibrahim dan Che Hussin turut mewarisi kemahiran beliau membuat jebak puyuh.

Meskipun Che Daud tidak pernah bersekolah, namum tuhan menganugerahkannya dengan pelbagai bakat seni kraftangan. Che Mud bukan sahaja mahir membuat jebak puyuh yang cantik malahan dia juga berkebolehan mencipta wau dan patong wayang kulit yang merupakan permainan budaya kegemaran rakyat Kelantan. Selain daripada itu, beliau juga mempunyai ilmu main puteri iaitu salah satu cara perubatan tradisional di Kelantan.

Penglibatan beliau dalam bidang kemahiran membuat jebak puyuh ini bermula semenjak beliau masih kanak-kanak lagi. Sewaktu kecil, beliau sering mendampingi datuk saudaranya yang sangat gemar menangkap puyuh dan mahir membuat jebak puyuh. Datuk saudaranya itu membuat jebak puyuh untuk kegunaan sendiri. Walaupun demikian, terdapat juga orang-orang kampung yang meminta datuknya itu membuat jebak untuk mereka dan dibayar sebanyak dua atau tiga ringgit. Harga tersebut sudah dikira tinggi jika dilihat pada nilai mata wang zaman tersebut.

Oleh kerana minatnya yang mendalam, Che Mud tidak pernah melepaskan peluang memerhatikan cara-cara datuknya membuat jebak puyuh. Suatu hari apabila datuknya meninggalkan kerja-kerja membuat jebak untuk seketika, Che Mud secara diam-diam telah menyiapkan jebak tersebut, dan diketahui oleh datuknya. Semenjak dari itulah datuk saudaranya mula mengajar Che Mud cara-cara membuat jebak puyuh secara serius.

Kini kemahiran membuat jebak puyuh yang dahulunya hanyalah merupakan hobi, turut juga mendatangkan hasil pendapatan sampingan kepada Che Mud sendiri. Beliau sering menerima tempahan membuat jebak puyuh daripada mereka yang berminat untuk memilikinya. Sebuah jebak puyuh kini boleh mencapai harga seratus ringgit.

Che Mud masih lagi membuat jebak ini dengan teknik tradisional dan tidak memakan belanja yang besar. Beliau tidak menggunakan teknik peralatan moden. Kebanyakkan bahan-bahan yang diperlukan membuat jebak boleh diperolehi dari hutan dipersekitaran tempat tinggal beliau. Proses membuat jebak ini dijalankan di rumahnya sahaja. Selalunya beliau menggunakan waktu pagi untuk menyudahkan kerja-kerja membuat jebak kerana penglibatan beliau kini semakin berkurangan dan ini meghalang beliau membuat kerja-kerja tersebut pada sebelah petang ataupun malam.

Jebak puyuh yang dihasilkan oleh Che Mud ini sebenarnya telah diperbaharui reka bentuknya berdasarkan bakat dan ilham Che Mud sendiri. Beliau menggunakan daya kreativiti sendiri untuk mencipta ukiran pada jebak dan menyapu varnis pada ribu-ribu. Hasilnya sungguh menarik sekali dan tiada siapa menyangka barangan kraf secantik itu hanyalah sebuah jebak memikat puyuh.

Artikel ini telah ditulis pada hari Rabu , Rabu, April 25, 2012 di bawah kategori . Anda boleh mengikuti artikel ini melalui comments feed .

0 ulasan

Catat Ulasan

Catat Ulasan