Kreativiti dan Inovasi Natipah@Nortipah  

Ditulis oleh : Bahagian Pemuliharaan Kategori :

Arus perubahan masa turut mempengaruhi perkembangan pengeluaran fabrik tempatan dan termasuklah juga kain-kain Tenun Pahang. Sebagai seorang pengusaha dan pengeluar fabrik tenunan, beliau sedikit sebanyak mengadaptasi pembahuruan tersebut. Sungguhpun demikian beliau memastikan ciri-ciri tradisional terutama pada reka corak dan petua-petua lama dipatuhi untuk mengekalkan identiti kain Tenun Pahang yang terkenal dengan keindahan dan kehalusan kain tenun.

Beliau mempunyai pengalaman dan kepakaran khususnya dalam menghasilkan reka corak kain tenun. Antara corak kain yang dicipta dan ditenun ialah corak tapak catur bunga emas berkepala anak lebah, kain corak Pahang berkepalakan anak lebah.

Menurut beliau lagi kain Tenun Pahang mempunyai identiti tersendiri iaitu dibahagian gigi (kaki) kain yang ditenun dihiasi dengan corak sepit udang, Reka corak inilah yang membezakannya di antara kain tenun Pahang dengan kain tenun dari negeri-negeri lain.


Bagi menjamin kualiti kain yang dihasilkan calon mengendalikan sendiri proses-proses menenun dari awal sehingga akhir. Beliau mempunyai kemahiran dalam menghasilkan warna-warna dari bahan semulajadi. Ini adalah kerana sebelum warna sintetik diperkenalkan beliau mewarnakan benang-benang sutera dengan warna-warna semulajadi tersebut.

Sebagai pewaris seni kain Tenun Pahang, calon masih mengamalkan dan mematuhi beberapa pantang larang dan petua-petua yang telah diturunkan dengan memilih hari Khamis untuk memulakan kerja-kerja menenun. Amalan-amalan tradisi yang tersirat dengan pelbagai falsafah dan pantang larang ini merupakan sebahagian daripada penghayatan beliau dalam mengekalkan identiti dan menghasilkan kain Tenun Pahang.

Beliau juga memberi petua mengenai penjagaan kain sutera supaya ianya tidak mudah luntur atau lusuh. Limau nipis digunakan untuk membasuh kain tenun Pahang dan kemudian dibilas dengan air bersih. Kain yang telah dibilas diregang dan dijemur di tempat redup.

Kencintaan dan penghayatan beliau pada seni warisan ini dapat dilihat pada himpunan koleksi kain tenun lama warisan keluarga yang masih disimpan dengan baik dan terpelihara.

Beliau masih bersemangat untuk melestarikan fabrik tenunan tradisi ini dengan mengekalkan corak lama dan sentuhan moden selaras dengan perubahan dan peredaran zaman.

Beliau juga mempunyai kemahiran menenun Kain Limar iaitu sejenis kain tenun tradisional yang telah pupus dan juga membuat sulaman tekat gubah.

Artikel ini telah ditulis pada hari Selasa , Selasa, April 24, 2012 di bawah kategori . Anda boleh mengikuti artikel ini melalui comments feed .

0 ulasan

Catat Ulasan

Catat Ulasan