Dilahirkan di sebuah perkampungan kecil di Kuala Terengganu. Merupakan anak kedua daripada tujuh orang adik beradik yang terdiri daripada enam perempuan dan seorang lelaki. Ayah bekerja sebagai penjual ayam, manakala ibu bertenun songket bagi menampung pendapatan ayah yang tidak seberapa. Hidup dalam keluarga yang agak besar dan sering kesempitan wang menjadikan saya anak yang cekal dan tabah. Lebih-lebih lagi tanggungjawab sebagai anak yang paling tua terpaksa diambil alih memandangkan kakak yang sulung mempunyai masalah kesihatan.
Walaupun kedudukan kampung kelahiran saya iaitu Kampung Gelong Gajah tidak jauh dari Bandar Kuala Terengganu, namun kesukaran pengangkutan pada waktu itu dan suasana sekeliling yang masih dihantui oleh zaman pemerintahan Jepun, menjadikannya antara kampung yang terpinggir. Namun kekurangan ini rupa-rupanya memberi suatu rahmat kepada penduduk kampung. Ketenangan dan suasana aman yang dinikmati, tidak dipersia-siakan begitu sahaja, malah dijadikan suatu peluang bagi membina kerjaya kaum wanita di kampung ini untuk bergiat secara serius dalam seni tenunan songket Terengganu. Songket adalah satu warisan tradisi rakyat Terengganu yang memang terkenal dalam kehalusan dan keindahan seni buatannya. Individu yang bergiat dalam tenunan songket memang memerlukan suasana kampung yang tenteram dan jauh dari kesibukan kota seperti ini untuk melahirkan ilham bagi menghasilkan sesuatu corak tenunan songket yang unik dan menarik.
Seperti gadis-gadis remaja yang seusia, saya juga tidak melepaskan peluang untuk menceburkan diri di dalam bidang yang sudah tidak asing lagi bagi penduduk kampung saya, malah boleh dikatakan kesemua kaum wanita yang mempunyai hubungan persaudaraan dengan saya, melibatkan diri dalam bidang tenunan songket ini. Jika tidak keterlaluan dikatakan bahawa seni warisan songket yang kami warisi adalah turun temurun bermula sejak nenek moyang kami lagi.
Berbekalkan minat yang mendalam terhadap seni tenunan songket, saya telah bertekad untuk menjadikan bidang ini sebagai suatu kerjaya. Sejurus sahaja menamatkan persekolahan darjah lima, saya terus mengambil peluang mempelajari teknik-teknik menenun songket dengan lebih terperinci. Walaupun pernah mendapat tawaran untuk menjadi guru dan jururawat kerana kelulusan seperti itu pada masa dahulu sudah dianggap baik, namun saya tetap berkeras untuk tidak berfikir dua kali lagi. Saya pernah dianggap bodoh kerana dikata menolak tuah, namun saya yakin dan pasti dengan tindakan itu.
Pada tahun 1955, maka bermulalah detik-detik permulaan saya menceburkan diri secara serius dalam bidang songket yang saya cintai ini. Walaupun baru menjangkau usia 13 tahun ketika itu, namun faktor umur tidak pernah menghalang daripada saya bergiat dalam seni tenunan songket ini yang dianggap sebagai kerja orang-orang tua sahaja. Ibu pada mulanya membantah kerana tidak yakin dengan kebolehan saya, namun apabila melihat kesugguhan yang telah saya tunjukkan, dia terpaksa akur dengan kemahuan anaknya yang lebih mesra dipanggil 'Ngah". Betullah kata orang, 'nak seribu daya, mahu seribu usaha'.
Artikel ini telah ditulis pada
hari Khamis
, Khamis, April 19, 2012
di bawah kategori
Zainab / Ngah Binti Mamat
. Anda boleh mengikuti artikel ini melalui
comments feed
.
Catat Ulasan