Sejak lima tahun saya mengutip pengalaman menjadi penenun songket yang mahir, baru saya sedar bukan mudah mencari ilmu. lebih-lebih lagi ilmu yang tidak tertulis di mana-mana, oleh itu saya perlu banyak bertanya. Saya dapati tidak ada seorang pun daripada mereka yang memberi tunjuk ajar, dapat menunjukkan proses-proses penghasilan kain songket daripada awal hingga ke akhir. Kebanyakan daripada mereka hanya tahu sebahagian sahaja, jadi untuk mendapat penerangan tentang proses yang seterusnya saya perlu mendapat didikan daripada individu yang lain pula. Di sini timbul pula niat saya untuk menerokai kesemua proses-proses yang terlibat di dalam menghasilkan tenunan songket ini. Berkat usaha dan galakan keluarga serta didikan daripada mereka yang terlibat, akhirnya boleh dikatakan tidak satu pun daripada proses penghasilan kain songket tidak saya kuasai. Bukan meninggi diri, malahan saya telah merasakan ia sudah menjadi tanggungjawab saya untuk menjadi penyambung warisan tradisi seni songket Terengganu agar ia terus dimartabatkan oleh masyarakat kita. Setidak-tidaknya, dengan pengetahuan yang ada saya boleh menyampaikan suatu warisan berharga yang menjadi kebanggaan bangsa Melayu kepada generasi akan datang.
Tempahan yang saya terima daripada pelanggan sungguh memberangsangkan. Walaupun kerja menenun memenatkan, namun bayaran yang diterima agak lumayan, setimpal dengan tenaga dan masa yang diperuntukkan untuk menyiapkan sehelai kain. Ketika itu wang bukan menjadi ukuran, tetapi pujian pelanggan tentang kehalusan buatan dan keindahan seni songket itu sendiri sudah cukup menghilangkan penat bertenun. Tambahan pula pada masa itu, pelanggan-pelanggan yang menempah bukan calang-calang orang, mereka kebanyakan terdiri daripada kerabat-kerabat diraja. Bertepatan dengan gelaran yang diberi kepada kain songket iaitu"pakaian istana".
Tempahan yang di terima daripada pelanggan makin bertambah daripada masa ke semasa. Saya terpaksa mengambil pekerja untuk membantu menyiapkan tempahan. Bertitik tolak dari sinilah penglibatan saya dalam tenunan songket secara komersial bermula. Pada mulanya saya mengambil seorang pekerja, seterusnya bilangan mereka bertambah dan sehingga kini terdapat lebih kurang 300 orang yang bekerja di bawah jagaan saya.
Pada permulaannya, kebanyakan daripada pekerja bergantung nasib kepada jumlah tempahan yang saya terima, keadaan ini tidak memberi jaminan pendapatan yang tetap kepada mereka. memikirkan tentang permasalahan itu saya terpaksa mengambil langkah berani dengan mengarahkan pekerja bertenun seperti biasa walaupun tanpa tempahan. Ini menjadikan jumlah kain songket yang sebegitu banyak. Berbekalkan semangat yang ada, pada akhir tahun 60-an saya dengan bantuan dan sokongan suami cuba mencari pasaran songket di luar negeri Terengganu. antara negeri si semenanjung Malaysia yang mula-mula kami jejaki untuk mencari pasaran pada ketika itu ialah Kula Lumpur, Perak, Kedah dan Johor. Sehingga kini, hasil tenunan songket ciptaan saya telah berjaya berada dipasarkan seluruh Malaysia termasuk Singapura dan Brunei. Saya menganggap kejayaan ini mungkin hasil dari berkat doa pekerja-pekerja saya yang amat bergantung harap kepada saya. Sementelah lagi, hampir 85% daripada mereka terdiri daripada golongan miskin. Memang benar dunia Allah ini luas dan rezeki itu ada di mana-mana.
Artikel ini telah ditulis pada
hari Khamis
, Khamis, April 19, 2012
di bawah kategori
Zainab / Ngah Binti Mamat
. Anda boleh mengikuti artikel ini melalui
comments feed
.
Catat Ulasan