Adiguru Kraf Tenunan Sambitan  

Ditulis oleh : Bahagian Pemuliharaan Kategori :

Sejak dari dahulu lagi masyarakat Irranun yang menetap di sekitar Kota Belud mahir dalam menghasilkan pelbagai kerja tangan seperti menenun, menyulam dan bermain alat muzik. Uniknya hasil kerja tangan masyarakat Irranun ini bukan sahaja untuk kegunaan sendiri tetapi juga untuk memenuhi keperluan suku kaum lain seperti orang Bajau dan orang Dusun. Kampung Rampayan Laut yang terletak lebih kurang 30 km dari pekan Kota Belud, antara perkampungan kaum Irranun yang terkenal dengan hasil tenunan sambitan.

Salah seorang penenun sambitan yang terkenal iaitu Hajah Pandian binti Haji Sulaiman dan beliau di antara tokoh tenunan sambitan yang disegani di sana. Dilahirkan pada 17 April 1950, beliau telah mula belajar menenun daripada nenek dan ibunya ketika masih usia kanak-kanak. Ketika itu anak-anak perempuan diajar dengan pelbagai seni kemahiran seperti menjahit, menenun, menganyam dan semua yang berkaitan dengan urusan rumah tangga. Selain daripada menenun, Hajah Pandian mahir menganyam tikar berhias (tipo selisir), menyulam manik dan langkit. Isteri dan ibu kepada tujuh orang anak ini memanfaatkan bakat dan kreativiti yang dipelajari bagi membantu menampung pendapatan keluarga. Setiap hujung minggu beliau membawa hasil kerja tangan ke pasar tamu di pekan Kota Belud untuk diniagakan. Bagi memastikan seni kemahiran yang menjadi kebanggaan kaum Irranun ini terus berkembang, Hajah Pandian memberikan latihan dan bimbingan menenun kepada remaja lepasan sekolah yang tinggal berhampiran dengan rumah beliau. Rumah beliau dijadikan sebagai bengkel melatih penenun muda yang berminat. Usaha murni beliau ini mendapat perhatian dari pihak kerajaan.

Hajah Pandian juga sentiasa dijemput untuk mengadakan demonstrasi dan menyertai pameran di Sabah dan Kuala Lumpur. Kehebatan beliau menenun turut mendapat liputan pihak media. Bagi menghargai sumbangan besar Hajah Pandian binti Sulaiman dalam tenunan sambitan, pada tahun 2006 Kraftangan Malaysia telah melantik beliau sebagai Adiguru Kraf Tenunan Sambitan

Artikel ini telah ditulis pada hari Isnin , Isnin, April 23, 2012 di bawah kategori . Anda boleh mengikuti artikel ini melalui comments feed .

0 ulasan

Catat Ulasan

Catat Ulasan