Adiguru Kraf Tembikar Tembeling  

Ditulis oleh : Bahagian Pemuliharaan Kategori :

Noriah binti Mohd Ali dilahirkan pada 19 Oktober 1934 di Kampung Pasir Durian dan ibu bapanya juga adalah anak jati di kampung tersebut. Beliau memiliki 6 orang adik beradik. Beliau tidak pernah bersekolah dan hanya memperolehi pendidikan agama secara tidak formal di samping membantu ibu bapanya di rumah. Beliau yang berkahwin ketika berusia 21 tahun telah mewarisi kemahiran pembuatan tembikar Tembeling daripada ibu mertuanya, Sepian binti Mat Amin.

Produk tembikar yang dihasilkan oleh beliau terdapat dalam pelbagai saiz dan jenis produk tembikar seperti terenang, belanga, pasu dan bekas buah dalam pelbagai bentuk lama dan baru mengikut permintaan pelanggan. Produk-produk ini boleh digunakan untuk memasak, menyimpan air, perhiasan dan perubatan tradisional. Keistimewaan produk Kraf Tembikar Tembeling ialah keunikan tanah liatnya yang halus dan hanya terdapat di kampung tersebut. Sejak dahulu lagi, para pembuat tembikar di Kampung Pasir Durian mengambil tanah liat dari tanah wakaf seluas enam ekar. Terdapat pelbagai motif corak yang digunakan pada permukaan tembikar seperti Bunga Sambar, Tampok Manggis, Tapak Pelanduk, Tapak Itik, Pucuk Rebung, Bunga Kelopak, Belalang Cucuk, Bunga Pecah Empat dan Bunga Kipas. Acuan motif ini dibuat sendiri oleh Noriah dengan menggunakan kayu selain menggunakan batu untuk mengilatkan permukaan tembikar.

Kerana minat yang mendalam, Noriah memberi komitmen sepenuhnya kepada bidang pembuatan tembikar ini. Beliau juga pernah mengajar beberapa orang anak muda namun hanya seorang dua saja yang betul-betul konsisten kepada perusahaan ini. Beliau sering diundang untuk mengadakan demonstrasi di beberapa negeri seperti Perlis, Perak dan Pekan, Pahang. Beliau biasanya mendapat tempahan daripada jabatan kerajaan, muzium-muzium dan penduduk sekitar negeri Pahang. Selain tempahan, beliau juga sering menerima lawatan daripada pengunjung dari dalam atau luar negara ke bengkelnya. Bagi menghargai ketekunan dan usaha gigih beliau, Kraftangan Malaysia telah melantik beliau sebagai Adiguru Kraf Tembikar Tembeling pada tahun 2006.

Artikel ini telah ditulis pada hari Isnin , Isnin, April 23, 2012 di bawah kategori . Anda boleh mengikuti artikel ini melalui comments feed .

0 ulasan

Catat Ulasan

Catat Ulasan