Adiguru Kraf Tenunan Rungus  

Ditulis oleh : Bahagian Pemuliharaan Kategori :

Dilahirkan pada tahun 1941 di Kampung Guamon, Kudat, Sabah. Beliau dibesarkan dalam keluarga petani dan mempelajari kemahiran menenun daripada ibunya sejak remaja lagi. Asal kapas menjadi benang, dari benang ditenun dibuat kain, begitulah bidalan yang dipraktikkan oleh Rubangki dalam usaha meneruskan kegiatan menenun kain Rungus ini. Beliau memintal dan menghasilkan sendiri benang untuk kerja-kerja menenun. Pokok kapas yang hidup subur di sekitar kampung beliau ketika itu menjadi sumber utama untuk mendapatkan benang.

Setelah berkahwin, Rubangki terus melakukan kerja-kerja menenun bagi membantu menambah pendapatan keluarga. Suami beliau banyak membantu mengutip kapas-kapas dan kemudian dibawa pulang untuk diproses dan dipintal menjadi benang. Sebelum warna sintetik diperkenalkan, Puan Rubangki menggunakan bahan semula jadi untuk mewarna benang. Kesungguhan beliau mengusahakan tenun ini menjadi contoh kepada penduduk setempat. Kain tenunan Rungus biasanya dijadikan pakaian yang dilengkapi dengan hiasan lain seperti selendang atau manik-manik. Ia dipakai semasa majlis perayaan, perkahwinan atau upacara-upacara adat yang disambut oleh suku kaum Rungus.

Dalam memastikan seni warisan ini terus berkembang, beliau menurunkan kemahiran menenun kain Rungus ini kepada anak perempuan beliau sendiri dan juga penenun-penenun muda di sekitar Kudat. Bagi menghargai jasa dan sumbangan beliau mengembangkan seni tenunan Rungus, pada tahun 1990 Kraftangan Malaysia telah melantik beliau sebagai Adiguru Kraf Tenunan Rungus.

Artikel ini telah ditulis pada hari Jumaat , Jumaat, April 20, 2012 di bawah kategori . Anda boleh mengikuti artikel ini melalui comments feed .

0 ulasan

Catat Ulasan

Catat Ulasan