Adiguru Kraf Tembikar Tembeling  

Ditulis oleh : Bahagian Pemuliharaan Kategori :

Hajah Manja binti Ali dilahir di Kampung Kenerak, Kuala Tembeling, Pahang pada tahun 1921. Kedua ibu dan bapanya menjadi pendorong kepada beliau mempelajari kemahiran membuat tembikar. Setelah berkahwin beliau berpindah dan menetap di Kampung Pasir Durian, Ulu Tembeling, Jerantut, Pahang. Di tempat baru ini beliau meneruskan usaha membuat tembikar. Di samping mengisi masa lapang, hasil kerja tangan beliau sedikit sebanyak menambah pendapatan keluarga. Tambahan pula kawasan perkampungan ini kaya dengan tanah liat atau lebih dikenali oleh penduduk tempatan sebagai ‘tanah belanga’ yang sangat sesuai dijadikan belanga dan terenang.

Kemahiran Hajah Manja terserlah pada setiap barangan yang dihasilkan. Sentuhan kreatif beliau menerapkan motif-motif tersendiri yang menjadi identiti pada belanga dan terenang yang dihasilkannya. Motif-motif Tapak Pelanduk, Pucuk Rebung, Bulan Sabit, Bunga Pecah Empat, Bunga Samba dan Motif Dangdongkek antara ragam hias yang sering digunakan oleh Hajah Manja dan menjadi ikutan oleh pembuat tembikar lainnya.

Semasa hayatnya, Hajah Manja berkongsi ilmu dan kemahiran membuat tembikar bersama jiran tetangga. Kewibawaan dan kesungguhan beliau menghidupkan semula seni Tembikar Tembeling ini mendapat perhatian dari pelbagai pihak. Pada tahun 1990 beliau telah diiktiraf sebagai Tokoh Kraf Negeri Pahang oleh Kerajaan Negeri Pahang dengan kerjasama Kraftangan Malaysia Cawangan Pahang. Kemudian pada tahun 1991 beliau dilantik pula sebagai Adiguru Kraf Tembikar Tembeling oleh Kraftangan Malaysia.

Artikel ini telah ditulis pada hari Isnin , Isnin, April 23, 2012 di bawah kategori . Anda boleh mengikuti artikel ini melalui comments feed .

1 ulasan

Al fatihah untuk Tok dan Aki..rindu zaman kanak2 kt kampung especially Hari Raya...

Khamis, Jun 04, 2020

Catat Ulasan

Catat Ulasan