Adiguru Kraf Rebana Ubi  

Ditulis oleh : Bahagian Pemuliharaan Kategori :

Mat Yaacob mula menceburi bidang kraf sejak kecil dengan mengikuti bapa dan juga bapa saudaranya yang aktif membuat dan memainkan rebana ubi. Datuk moyang beliau dan Kampung Baru Pupuk sememangnya masyhur dengan seni Rebana Ubi sejak dahulu lagi. Beliau mula bermain rebana ubi sejak tahun 1955 iaitu ketika beliau berusia 12 tahun. Kini, selain daripada mengusahakan pembuatan rebana ubi, beliau juga bekerja sebagai pesawah dan penoreh getah.

Rebana ubi yang dihasilkan oleh Mat Yaacob masyhur di serata negeri kerana kemahirannya dalam proses mengikat kulit kerbau yang telah kering serta diregangkan pada badan rebana. Proses yang paling rumit ini dinamakan proses ’mengambil’. Kelebihan inilah yang membuatkan beliau menerima tempahan bukan sahaja dari luar malahan dari pengusaha rebana ubi yang lain kerana kemahirannya dalam proses ini sukar ditandingi dan amat berkualiti. Beliau juga menghasilkan rebana ubi dengan lukisan bermotifkan alam pada permukaan kulit kerbau. Kebiasaannya menerima tempahan pada musim perayaan dan majlis rasmi seperti pertabalan sultan serta perasmian sesuatu majlis rasmi. Rebana ubi jarang ditempah kerana reka bentuknya yang tahan lama dan sukar untuk rosak. Oleh yang demikian, Mat Yaacob amat jarang sekali menerima tempahan selain pembaikan rebana ubi yang telah lama.

Beliau sering menerima jemputan demonstrasi dan pertandingan di seluruh Malaysia. Antara persembahan demonstrasi yang pernah disertai ialah sempena Hari Kraf Kebangsaan (2002 & 2010), Persembahan Kebudayaan di Dataran Merdeka (2002) dan Persembahan Kebudayaan di Putrajaya (2005). Manakala dalam pertandingan, beliau pernah menjadi Johan Pertandingan Rebana Peringkat Negeri. Kemahiran beliau juga pernah mendapat liputan media dari RTM, TV3 dan pelbagai stesen televisyen yang lain. Bagi mewariskan kemahiran beliau kepada generasi pelapis, Mat Yaacob mengajar ilmu kemahiran ini kepada penduduk setempat yang berminat termasuk skim latihan yang dianjurkan oleh Kraftangan Malaysia. Salah seorang anak didik beliau ialah Shafawi bin Tahir yang menjadi harapan beliau. Bagi menghargai semangat dan kemahiran beliau, Kraftangan Malaysia telah melantiknya sebagai Adiguru Kraf Rebana Ubi pada tahun 2006.

Artikel ini telah ditulis pada hari Isnin , Isnin, April 23, 2012 di bawah kategori . Anda boleh mengikuti artikel ini melalui comments feed .

0 ulasan

Catat Ulasan

Catat Ulasan