Adiguru Kraf Pertukangan Perak  

Ditulis oleh : Bahagian Pemuliharaan Kategori :

Seni pertukangan perak di antara cabang kesenian warisan yang amat terkenal di Kelantan. Pertukangan perak dikatakan berkembang di Kampung Sirih yang terletak berhampiran dengan Kota Bharu. Di sini munculnya ramai tukang perak yang hebat dan di antara mereka ialah Haji Ibrahim Ismail. Dilahirkan pada tahun 1924 di Kampung Sirih, Kota Baru Kelantan, beliau mendapat pendidikan awal di sekolah Majlis Agama Islam dan kemudian melanjutkan pelajaran ke sekolah Menengah Kota Bharu dan pada tahun 1939 beliau memulakan tugas sebagai guru.

Minat terhadap seni pertukangan perak dipupuk sejak di alam persekolahan lagi. Bapa saudaranya, Haji Abdul Rahman banyak membimbing dan memberi galakan kepada beliau mengenai selok belok pertukangan perak. Selepas menjadi guru beliau masih lagi mencari waktu untuk meneruskan kegiatan bertukang. Tahun 1948 beliau mengambil keputusan berhenti daripada menjadi guru dan menceburi bidang pertukangan perak sepenuh masa. Beliau juga merupakan antara tukang perak yang menggerakkan semula Kelantan Malay Arts and Crafts (KMAAC).

Pada peringkat awal penglibatannya, Haji Ismail gemar membuat barang-barang mudah dan kecil seperti kerongsang, subang, gelang, sudu, garpu, pisau dan senduk. Ini merupakan titik permulaan penglibatan beliau dalam seni pertukangan perak. Beliau kemudian diberi kepercayaan menyediakan cokmar untuk Dewan Negara, Dewan Rakyat, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Malaya dan Universiti Sains Malaysia. Di samping itu beliau menerima tempahan dari kerajaan negeri seperti Terengganu, Kelantan, Kedah, Negeri Sembilan, Selangor, Perak dan Pulau Pinang bagi menyediakan pingat kebesaran. Setiap hasil kerjatangan beliau yang dihiasi dengan motif-motif tradisional seperti Awan Larat, Bunga Tanjung, Sulur Kacang dan bermacam-macam lagi mengandungi pelbagai maksud yang tersirat. Ramai tukang-tukang perak yang turut menempa nama dalam bidang pertukangan perak pernah mendapat bimbingan dan tunjuk ajar daripada beliau antaranya Shabudin Yaacob dari Syarikat Mariwasa dan Musa Yaakub dari Syarikat Taba Silver.

Beliau juga bergiat cergas dalam bidang politik dan pernah dilantik menjadi wakil rakyat bagi Dewan Undangan Negeri Kelantan kawasan Hulu Kelantan pada tahun 1964 hingga 1968. Beliau juga menerima Anugerah Pingat Seri Mahkota Kelantan (1968) dan Anugerah Pingat Ahli Mangku Negara (1967). Bagi menghargai sumbangan Haji Ibrahim Ismail terhadap perusahaan pertukangan perak negara, Kraftangan Malaysia telah melantik beliau sebagai Adiguru Kraf Perak pada tahun 1987.

Artikel ini telah ditulis pada hari Isnin , Isnin, April 23, 2012 di bawah kategori . Anda boleh mengikuti artikel ini melalui comments feed .

0 ulasan

Catat Ulasan

Catat Ulasan