Adiguru Kraf Gerus  

Ditulis oleh : Bahagian Pemuliharaan Kategori :

Sheikh Omar bin Sheikh Ibrahim dilahirkan pada tahun 1913 di Kampung Mengkasar, Pahang. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Pekan sehingga darjah lima. Beliau mewarisi kemahiran mengerus kain daripada arwah bapanya yang merupakan tukang gerus terkenal di daerah Pekan ketika itu. Setiap masa terluang dihabiskan bermain bersama-sama rakan sebaya atau memerhatikan bapanya melakukan kerja-kerja mengerus. Setiap proses menggerus diamati dan diingati oleh Sheikh Ibrahim dan setelah meningkat remaja barulah beliau diberi kepercayaan membantu melakukan kerja-kerja mengerus. Sebelum meletusnya Perang Dunia Kedua, kegiatan menggerus rancak dijalankan terutama di sekitar Kampung Mengkasar. Ketika itu kain bergerus amat digemari oleh semua lapisan masyarakat. Kain bergerus dipakai sebagai sarung, samping, kain kelubung dan dijadikan tengkolok.

Sheikh Ibrahim yang merupakan tukang gerus terkenal di daerah Pekan sering menerima tempahan dari istana terutamanya apabila menjelang majlis kebesaran istana dan juga majlis perkahwinan. Semasa sambutan Hari Keputeraan Sultan, para pembesar istana, ketua-ketua daerah dan adat beserta pasangan masing-masing yang diundang akan mengenakan busana lengkap menurut etika yang telah ditetapkan. Sarung, samping dan tengkolok biasanya akan digerus terlebih dahulu supaya halus dan licin.

Sheikh Omar yang semakin mahir mengerus membantu bapanya menyiapkan tempahan yang diterima dengan kadar upah sebanyak RM7.00 untuk sehelai sarung atau samping pada ketika itu. Kerja-kerja mengerus diteruskan setelah ayahnya meninggal dunia. Beliau terus mendapat kepercayaan daripada pihak istana dan orang perseorangan bagi menyediakan kain bergerus. Semasa hayatnya beliau berusaha memperkenal dan mempertahankan seni kemahiran warisan yang semakin dilupakan ini. Bagi menghargai jasa dan sumbangan yang beliau berikan, Kraftangan Malaysia telah melantik beliau sebagai Adiguru Kraf Kain Gerus pada tahun 1989. Beliau telah meninggal dunia pada 19 April 1996.

Artikel ini telah ditulis pada hari Khamis , Khamis, April 19, 2012 di bawah kategori . Anda boleh mengikuti artikel ini melalui comments feed .

0 ulasan

Catat Ulasan

Catat Ulasan