Adiguru Kraf Bot Tradisional  

Ditulis oleh : Bahagian Pemuliharaan Kategori :

Persekitaran rumah yang berhampiran dengan sungai dan laut di samping kerjaya bapa beliau sebagai seorang tukang bot telah mendorong minat Haji Abdullah bin Muda mewarisi kerjaya datuknya sebagai tukang bot yang terkemuka. Selepas tamat persekolahan, Haji Abdullah telah terlibat secara langsung membuat bot bermula dengan kerja sebagai pembantu. Dorongan keluarga sendiri, mertua dan rakan memberi semangat kepada beliau untuk menceburi bidang ini sepenuh masa.

Kemahiran serta kepakaran beliau sering mendapat liputan surat khabar dan majalah tempatan dan luar negara. Memang wajarlah beliau menerima Anugerah Kesenian Negeri Terengganu 2006. Kemasyhuran bot buatan Haji Abdullah telah disebarkan melalui media cetak dan elektronik. Haji Abdullah tidak lokek ilmu dan pengalamannya kepada masyarakat tempatan mahupun institusi pengajian. Selain pekerja beliau yang dilatih sehingga cekap, beliau juga berkongsi ilmu dengan kumpulan pelatih yang dibiayai oleh agensi Kerajaan Persekutuan dan Negeri Terengganu. Semua proses kerja dan latihan dijalankan di bengkel beliau di Pulau Duyung, Terengganu.

Haji Abdullah telah menyiapkan tempahan kapal layar daripada pelanggan luar negara seperti Singapura, Algeria, Australia, Denmark, England, Itali, New Zealand, Kanada, Amerika Syarikat dan Perancis. Penghasilan terbaik beliau ialah kejayaan menyiapkan tempahan bot berukuran 52 kaki x 16 kaki daripada rakyat Amerika Syarikat sebagaimana yang terdapat di Muzium Alaska, Amerika Syarikat pada tahun 1980. Kesungguhan dan semangat yang ditunjukkan beliau telah melayakkan beliau dilantik sebagai Adiguru Kraf Bot Tradisional oleh Kraftangan Malaysia pada tahun 2006.

Artikel ini telah ditulis pada hari Isnin , Isnin, April 23, 2012 di bawah kategori . Anda boleh mengikuti artikel ini melalui comments feed .

0 ulasan

Catat Ulasan

Catat Ulasan