Tokoh Kraf Negara : Kraf Pertukangan Perak  

Ditulis oleh : Bahagian Pemuliharaan Kategori :

Haji Ab. Manan bin Haji Yakub atau lebih dikenali sebagai Pok Teh adalah anak jati Kampung Sireh Kota Bharu, Kelantan yang merupakan kawasan utama pertukangan perak sejak dahulu lagi. Beliau yang dilahirkan pada 10 Jun 1944, mula didedahkan dengan kerja-kerja pertukangan perak ketika berusia seawal 7 tahun. Bermula seawal usia 14 tahun, beliau mula serius mendalami kemahiran pertukangan perak daripada bapanya.

Menjelang awal tahun 1980-an, beliau giat mengusahakan seni pertukangan perak melalui beberapa agensi dan pertubuhan seperti Kelantan Malay Arts, Koperasi Kampung Morak, Kraftangan Malaysia dan muzium-muzium. Selain aktif mengusahakan perusahaannya, beliau juga turut aktif dalam aktiviti kemasyarakatan di sekitar Kota Bharu, Kelantan.

Kemahiran beliau menghasilkan barangan perak kasar dan perhiasan diri melalui pelbagai teknik seperti tuangan menggunakan tulang sotong, pintalan dawai perak (filigree), pahat dan pelbagai teknik lain melayakkan beliau dilantik sebagai Tukang Kraf Istana Kelantan. Antara koleksi barangan perak karya milik Istana Kelantan yang telah dihasilkan ialah Payung Adat Istiadat, Kepala Logo Kenderaan Istana dan Cokmar Diraja selain tempahan membuat cokmar dari Institut Pengajian Tinggi dan Dewan Undangan Negeri.

Dari segi pemasaran, syarikat beliau iaitu Syarikat KB Permai aktif menyertai program-program promosi jualan anjuran Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia pada saban tahun seperti Hari Kraf Kebangsaan, Promosi Kraf Langkawi, Promosi Kerja Kahwin, Promosi Kraf Malaysia dan banyak lagi. Paling membanggakan, hasil karya barangan beliau telah dipilih untuk dipasarkan di gedung membeli belah ternama Harrods, London. Penglibatan beliau dalam industri kraf turut mendapat liputan media yang meluas melalui media cetak dan elekronik.

Pada tahun 2008, beliau telah dilantik sebagai Adiguru Kraf Perak oleh Kraftangan Malaysia selain Anugerah Industri Pelancongan Negeri Kelantan mengikut kategori produk kraf tempatan oleh kerajaan negeri. Selain itu, beliau juga pernah menerima Anugerah Usahawan Seni Kraf Bidang Perak dari Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia pada tahun 2007. Beliau yang telah dijemput Illahi pada 1 Januari 2011 telah dianugerahkan Tokoh Kraf Negara pada tahun yang sama.

Artikel ini telah ditulis pada hari Isnin , Isnin, April 23, 2012 di bawah kategori . Anda boleh mengikuti artikel ini melalui comments feed .

0 ulasan

Catat Ulasan

Catat Ulasan