Salasilah Keluagra Natipah dalam Warisan Tenunan Pahang  

Ditulis oleh : Bahagian Pemuliharaan Kategori :

Puan Nortipah binti Abdul kadir menetap di Pulau keladi sejak dilahirkan. Jika disusur galurkan keturunannya, Nortipah mempunyai pertalian darah dengan Almarhum Keraing Aji (Tuk Tuan) pelopor kain Tenun Pahang, yang entah dari generasi keberapa. Namun kemahiran menenun yang diperolehinya hampir empat puluh tahun lalu adalah warisan daripada nenek moyangnya yang bermastautin di Pulau Keladi yang meliputi kawasan sekelilingnya iaitu Benta dan Jambu, mukim Langgar, Pekan.

Biarpun telah sedemikian lama berkecimpung dalam dunia penenunan sutera, wanita separuh usia ini masih bersemangat melestarikan fabrik tenunan tradisi dengan mengekalkan rekacorak lama dan sentuhan moden selaras dengan perubahan zaman. Tanpa kenal erti penat dan jemu, Puan Nortipah menerima setiap tempahan dari pelanggan di samping memberi bimbingan serta latihan kepada pelatih-pelatih yang mempelajari kaedah menenun sutera di bengkelnya yang terletak di Pusat Tenun Pulau Keladi, Pekan.

Menceritakan perbezaan diantara dahulu dan sekarang, Puan Nortipah mengakui betapa sukarnya penenun dahulukala melaksanakan proses menerau, mengubung, mengani dan sebagainya. "Kaedah mutakhir lebih ringkas disebabkan kami menumpukan pada benang Sutera Puar yang mudah didapati, bukan sahaja dari Cina malah dari Terengganu. Tentang warna, kami menggunakan pewarna sintetik yang lebih moden dan menjimatkan masa", ulas beliau.

Walau bagaimanapun, menurut Nortipah, proses menyediakan benang tidak boleh diambil ringan. Sutera berwarna putih mestilah direndam terlebih dahulu ke dalam air bersih selama sejam supaya urat benangnya kembang dan memudahkan warna menyerap mesra ke dalamnya. Seterusnya sutera tadi diperah sebelum dicelup ke dalam pewarna pilihan yang bercampur dengan sejenis soda dan garam.

Selepas itu, toskan seketika, kemudian basuh lagi dengan air bersih lalu dijemur pada tempat redup agar tidak cepat luntur bahkan senantiasa akan kelihatan berkilat.

Mengenai pantang larang, penenun berpengalaman ini mengakui beliau masih mengamalkan pantang larang nenek moyangnya itu. Tetapi amalan menenun di waktu malam sudah menjadi kebiasaannya sejak berpuluh tahun lalu. "Jika tempahan banyak, saya terpaksa bekerja sampai lewat malam", katanya.

Hingga kini Nortipah telah meghasilkan pelbagai corak indah permai yang mengangkat dirinya sebagai salah seorang penenun terbaik di tanah air. Selain menzahirkan rekaan bermutu tinggi Nortipah berjaya mencipta unsur terbaru seperti tulisan khat, alas meja, alas pinggan bermotifkan bunga teratai, tudung saji, selendang dan sapu tangan. Menurutnya seseorang penenun mengambil masa enam bulan hingga setahun sebelum benar-benar mahir melaksanakan kerjanya di Kayu Kek. Seseorang penenun yang mahir, mampu menenun hingga satu meter kain dalam sehari.


Menyentuh tentang penjagaan pakaian daripada bahan fabrik tenunan, beliau menasihatkan agar kain Tenun Pahang dibasuh dengan menggunakan limau nipis, membilasnya dengan air kemudian diregang dengan menggunakan kayu dan letakkan ditempat teduh. Kaedah ini dapat memelihara daging kain daripada renyuk dan lusuh.

Artikel ini telah ditulis pada hari Khamis , Khamis, April 19, 2012 di bawah kategori . Anda boleh mengikuti artikel ini melalui comments feed .

0 ulasan

Catat Ulasan

Catat Ulasan