Kampung Mengkasar tempat bermula
Sayangnya kini kian dilupa
Kain gerus indah bercahaya
Cantik berkilau sungguh mempersona
Sekali air bah, sekali pantai berubah. Begitulah nasib seni kain gerus tanah air. Masyarakat moden hari ini mengenali teknik menggosok kain dengan menggunakan seterika elektrik walaupun ia hanya dapat melicinkan kain sahaja dan tidak akan berkilat. Kain gerus amat diminati oleh masyarakat Melayu suatu ketika dahulu kerana kilatnya, menarik dan tahan lama.
Kain gerus berasal dari kerja tangan orang Bugis di Kepulauan Sulawesi dan diperdagangkan di Terengganu. Kampung Mengkasar, Pahang merupakan tempat kegiatan awal menghasilkan kain gerus, iaitu pada awal abad ke 20, ketika orang Bugis berdagang dan membawa kain gerus. Kain gerus yang berkilat dan berkilau menarik minat penduduk tempatan dan mereka mula belajar menggerus kain.
Salah seorang tokoh kain gerus yang giat menjalankan perusahaan menggerus ialah Encik Sheikh Omar bin Sheikh Ibrahim. Beliau dilahirkan di kampung Mangkasar Pekan, Pahang. Ayahnya seorang tokoh gerus yang terkenal. Sheikh Omar mendapat pendidikan rendah di sekolah Melayu Pekan sehingga tamat darjah lima dan mendalami pelajaran agama dari seorang tok guru iaitu Cikgu Jaafar.
Sewaktu kecil beliau sering memerhati ayahnya menggerus kain. Pada ketika itu, ayahnya tidak menyedari minatnya dalam bidang menggerus ini. Setelah meningkat remaja, ayahnya mula memberi tugas untuk membantu menggerus kain. Apabila mendapat tempahan yang banyak, Sheikh Omar dan ayahnya bergilir-gilir menggerus. Akhirnya dia mengambil alih tugas ayahnya.
Tempahan kain gerus diperoleh dari golongan raja-raja, kumpulan yang berpangkat seperti orang besar, datuk penghulu dan para menteri yang sering membuat tempahan untuk upacara hari kebesaran seperti menyambut hari raya dan juga hari-hari keputeraan sultan.
Selain mahir menggerus kain, Sheikh Omar juga seorang tukang kayu yang mahir. Peralatan menggerus dibuat sendiri dengan bantuan anaknya. Seni menggerus ini diwarisi oleh dua orang anak lelakinya iaitu Sheikh Hussain dan Sheikh Aziz.
Kemahirannya sebagai penggerus kain sering dijemput mengadakan demonstrasi di Universiti Kebangsaan Malaysia dan Muzium Pekan Pahang pada tahun 1986. Selain itu, kegiatan beliau juga sering kali mendapat liputan dari media massa.
Artikel ini telah ditulis pada
hari Rabu
, Rabu, April 25, 2012
di bawah kategori
Sheikh Omar Bin Sheikh Ibrahim
. Anda boleh mengikuti artikel ini melalui
comments feed
.
Catat Ulasan