Latar Belakang Penglibatan Tokoh Dalam Kraf Tembikar Tembeling  

Ditulis oleh : Bahagian Pemuliharaan Kategori :

Kurniaan Tuhan adalah perkara di luar jangkaan manusia. Apa sahaja yang dikurniaan oleh allah s.w.t di bumi dan di langit mempunyai hikmat tersediri. Begitu jugalah kurniaan yang diberikan-Nya kepada penduduk Kampung Pasir Durian, Ulu Tembeling, Jerantut Pahang. Hasil kraf tembikar tembeling ini telah menjadi sumber rezeki untuk penduduk-penduduk tempatan. Di sini terdapat satu kawasan yang dinamakan Teluk Belanga. Tanah liat di teluk belanga sesuai diproses bagi menghasilkan pelbagai hasil seni tembikar.

Nama Puan Manja binti Ali tidak asing lagi bagi penduduk-penduduk Kampung Pasir Durian Ulu Tembeling. Namanya terkenal kerana kepakarannya membuat pelbagai jenis tembikar tembeling, terutamanya belanga tembeling dan terenang.
Beliau yang dilahirkan di Kampung Kerenek Kuala Tembeling telah berhijrah dan menetap di Kampung Pasir Durian sejak berumahtangga . Puan Manja menceburi bidang seni kraf ini sejak berumur 12 tahun. Beliau tidak berpeluang ke sekolah atas sebab adat dan pergaulan yang dikawal ketat oleh orang tua beliau. Dengan itu Puan Manja dan anak-anak gadis lain digalakkan membuat kerja-kerja rumah dan menolong ibu bapa mereka dari dibiarkan bersosial tanpa kawalan.

Kemahiran membuat pelbagai jenis tembikar ini diwarisi dari ibu dan saudara mara perempuannya. Kedua ibu bapanya merupakan pendorong utama bagi beliau mempelajari seni kraf ini. Hasil kerja beliau dapat dikenal pasti berdasarkan pembuatannya yang halus dan kemas serta motif-motifnya yang kreatif berbeza dari pembuat-pembuat tembikar tembeling yang lain. Konsep ukiran flora dan fauna merupakan corak dan motif pilihannya. Antaranya adalah bunga payung, tepak pelanduk, pucuk rebung, bulan sabit, bunga pecah empat dan bunga samba. Satu motif khas yang beliau gemari ialah dang dongkek. Beliau sangat mahir membuat belanga tembeling dan terenang. Oleh itu, beliau telah dianugerahkan Adiguru Kraf pada tahun 1991 oleh Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (PKKM).

Beliau sering menyertai pameran dan pertandingan. Di antaranya ialah membuat terenang untuk demonstrasi serta pameran di Pesta Kraftangan Pahang pada tahun 1990. Beliau juga menyertai pameran kraf di Universiti Malaya, Kuala Lumpur untuk kraf terenang dan belanga. Bagi menghargai penglibatan beliau dalam bidang seni kraf ini beliau diiktiraf sebagai Adiguru Kraf negeri Pahang pada tahun 1990. Pengiktirafan ini diberi oleh kerajaan negeri Pahang dan kerjasama Perbadanan Kemajuan Kraftagan Malaysia (PKKM). Puan Manja bersedia mewariskan seni kraf ini kepada sesiapa sahaja yang berminat.

Perusahaan tembikar tembeling seperti belanga tembeling, terenang, bekas cincin, perasapan, tempayan dan pasu bunga diterima daripada orang ramai. Kebanyakan pengguna dan pembeli tembikar ini terdiri daripada peneroka tanah rancangan berhampiran kerana murah dan senang didapati. Tambahan pula ia merupakan barangan kegunaan harian, lebih-lebih lagi belanga tembeling. Faktor jualan tembikar tembeling ini kurang memberangsangkan menyebabkan hampir tiada belia yang benar-benar berminat untuk menjadikan industri ini sebagai salah satu punca pendapatan. Sekiranya perkara ini diambil perhatian, mengikut pandangan Puan Manja seni tembikar yang diwarisi sejak turun temurun ini akan pupus ditelan zaman.

Artikel ini telah ditulis pada hari Rabu , Rabu, April 25, 2012 di bawah kategori . Anda boleh mengikuti artikel ini melalui comments feed .

0 ulasan

Catat Ulasan

Catat Ulasan