Latar Belakang Kejayaan dan Pencapaian Habibah Zikri  

Ditulis oleh : Bahagian Pemuliharaan Kategori :

Songket, satu-satunya tekstil lama Melayu yang mampu bertahan hingga hari ini. Keunikan dan keseniannya terserlah. Songket Malaysia buatan tangan terbukti bermutu tinggi nilainya. Memandangkan kepada hakikat inilah Puan Hajah Habibah binti Haji Zikri menumpukan perhatian terhadap perusahaan songket. Perusahaan songket Puan Hajah Habibah bermutu tinggi dan bertaraf dunia. Keunikan reka corak dan kreativiti rekaan beliau menjadikan songket beliau bermutu dan tinggi nilai harganya. Songket Puan Hajah Habibah dijual di antara harga RM3,000 hingga RM8,000 sepasang.

Penglibatan beliau inilah menjadikan beliau seorang tokoh yang meraih kejayaan demi kejayaan. Kejayaan pertama Puan Hajah Habibah adalah menceburkan diri dalam bidang perniagaan dengan membuka bengkel tenunan. Bengkel yang dibuka di sebelah rumah mampu menghasilkan kain songket yang bermutu dan memenuhi keperluan pelanggan. Dengan mempunyai pekerja seramai 12 orang beliau berusaha mengembangkan perusahaannya. 

Di samping melibatkan diri dalam bidang perniagaan beliau juga menyertai pertandingan dan juga bengkel-bengkel yang dianjurkan oleh pihak kerajaan dan swasta. Pada tahun 1983, beliau telah menyertai pertandingan Witcitra anjuran PKKM dan pada tahun 1984 beliau menerima reka bentuk terbaik. Di peringkat antarabangsa Puan Hajah Habibah menyertai beberapa pertandingan tekstil dan pada tahun 1987 adalah pemenang Anugerah Best Tradisional Textile dalam pertandingan Tekstil ASEAN pada tahun 1987 di Jakarta.

Di samping berjaya dalam bidang pertandingan Puan Hajah Habibah juga diberi kepercayaan bagi membuat tenunan bagi organisasi-organisasi korporat. Beliau juga diberi kepercayaan oleh Tuan Syed Ahmad Jamal membuat rekaan-rekaan yang berbentuk panel. Di antara tenunan-tenunan kain yang dihasilkan dan dipamerkan adalah seperti di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, Hotel Pan Pacific Kuala Lumpur, Hotel Hyatt Regency Kuala lumpur, Bangunan UMNO Kuala Lumpur, Hotel Pan Pacific Johor Bharu, Adnan Resort, Langkawi dan Aryani Resort Kuala Terengganu.

Puan Hajah habibah juga dipertanggungjawabkan membuat tenunan cenderamata kepada pembesar-pembesar negara antaranya membuat tenunan cenderamata kain songket untuk Queen Elizabeth sempena CHOGM di Kuala Lumpur. Rekaan-rekaan songket beliau yang berbentuk ayat Quran turut menghiasi Istana Tengku Mahkota Pahang, Istana Sultan Johor, Istana Negara dan Bangunan Kedutaan Luar Negara.

Puan Hajah Habibah aktif dalam membuat rekaan songket untuk UTM Johor, antaranya jubah canselor, pro-canselor, pengerusi majlis, menteri pendidikan dan graduan-graduan UTM. Di samping bidang perniagaan Puan Hajah Habibah juga mengadakan pameran-pameran hasil karya beliau, antaranya di Infokraf Malaysia dan Balai Seni Lukis Negara. Penglibatan beliau sememangnya luas dan kreativiti beliau setanding dengan artis-artis lainnya. Beliau seorang tokoh yang aktif dan dikenali ramai.

Artikel ini telah ditulis pada hari Khamis , Khamis, April 19, 2012 di bawah kategori . Anda boleh mengikuti artikel ini melalui comments feed .

0 ulasan

Catat Ulasan

Catat Ulasan