Abdullah Daud Tukang Besi  

Ditulis oleh : Bahagian Pemuliharaan Kategori :

KEPIMPINAN DAN KETOKOHAN

Abdullah bin Daud antara tukang besi yang segani di seluruh negara. Belajar bertukang besi daripada ayahnya yang juga merupakan seorang tukang.

Pernah mendapat pendidikan formal sehingga darjah dua. Beliau menghabiskan masa di bengkel ayahnya dengan membuat barangan kecil seperti pisau, hulu parang dan pisau kemudian dijual kepada rakan-rakan sekolah pada harga antara 20 sen hingga 60 puluh sen.

Sebagai remaja beliau pernah mencuba beberapa pekerjaan dan merantau ke Thailand dan Singapura. Akhirnya pada usia 24 tahun anak muda ini telah mengambil keputusan untuk kembali ke kampung halaman dan bertekad mengusahakan pertukangan besi sepenuh masa.

Beliau mahir menghasilkan pelbagai jenis senjata seperti keris, pedang, parang, tukul, beliung, golok, kapak dan kerambit. Senjata istimewanya ‘Kerambit Lawi Ayam’.

Keistimewaan Encik Abdullah atau lebih senang dengan panggilan Pak Lah ialah kemahiran beliau melakukan proses menghasilkan senjata dari memilih besi sehingga mengukir hulu dan sarung senjata. Ini adalah merupakan bakat semulajadi beliau.

Apabila perusahaannya bertambah maju beliau membuka bengkel sendiri dengan dibantu oleh ayah saudara beliau. Beliau sentiasa berusaha untuk mempertingkatkan perusahaan beliau. Barangan yang dihasilkan dilakukan dengan cara pengeluaran dengan kuantiti yang banyak dan dipasarkan di Pasar Kota Bharu dan Machang. Ternyata hasil kerja beliau sememangnya mendapat perhatian penduduk-penduduk setempat, pelancong serta orang kenamaan.

DAYA KREATIVITI DAN INOVASI

Encik Abdullah lebih suka memasarkan barangan buatan beliau secara terus kepada pelanggan. Ini kerana pelanggannya dapat melihat hasil kerja tangannya yang halus serta dapat terus berurusan dengan beliau.

Secara tidak langsung mereka akan mengenali beliau dengan lebih dekat. Terdapat juga pelanggan yang menempah terus dari beliau dan ada juga dijual melalui pasar.

Pak Lah bukan sahaja mahir dalam membuat senjata malah beliau mampu menghasilkan hulu keris, parang dan senjata lain dengan unik sekali.

PENGALAMAN, PENGLIBATAN DAN PENCAPAIAN

Kemahiran beliau dalam petukangan besi ini telah mendapat tempat di kalangan orang ramai dan beliau mula menerima tempahan dari orang luar dan orang-orang kenamaan.

Antara senjata yang dihasilkan oleh beliau adalah keris untuk Istana Besar Perlis serta peralatan lembing dari Kerajaan Negeri Terengganu.

Beberapa majalah, suratkhabar, dan media lainnya mula memberi publisiti kepada beliau dalam ruangan seni dan budaya.

Beliau dilantik sebagai Adiguru Kraf Pandai Besi pada tahun 1983 oleh Kraftangan Malaysia. Beliau dipilih berdasarkan satu-satunya pembuat senjata Melayu yang mahir membuat senjata dan mengukir hulu senjata serta komitmen beliau terhadap penduduk setempat.

SUMBANGAN

Kejayaan demi kejayaan mula beliau kecapi. Antaranya beliau pernah dijemput beberapa kali membuat persembahan dan demonstrasi bagi pihak Lembaga Pengalakkan Pelancongan Malaysia.

Tempahan barangan senjata dari agensi-agensi kerajaan lain juga turut diterima antaranya ialah Muzium Kelantan, Muzium Johor, Muzium Terengganu dan Muzium Pekan, Pahang.

Di Kampung Manan, Bunut Susu, Pasir Mas, Kelantan beliau terkenal sebagai guru silat dan guru mengajar mengaji Al-Quran. Tidak hairanlah beliau sering menjadi pakar rujuk dan juga orang yang dihormati di tempat beliau.

Artikel ini telah ditulis pada hari Isnin , Isnin, April 23, 2012 di bawah kategori . Anda boleh mengikuti artikel ini melalui comments feed .

0 ulasan

Catat Ulasan

Catat Ulasan