Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum dan salam sejahtera
Syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya dapat kita berkumpul di majlis yang mulia ini. Semoga kita semua insyaAllah mendapat keberkatan dan rahmat pada hari ini.
Terima kasih kepada tuan pengerusi majlis. Yang saya muliakan tuan Haji Shahrudin b. Mohd. Nor, Timbalan Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia, barisan urusetia program, tuan-tuan dan puan-puan yang dirahmati sekalian.
Pertamanya, saya ingin merakamkan ribuan terima kasih di atas jemputan oleh pihak Kraftangan Malaysia. semoga dengan masa yang diberi ini dapat kita sama-sama belajar dan berkongsi pengalaman mengenai bidang songket yang telah saya ceburi selama lebih 50 tahun.
Sebagai permulaan, saya perkenalkan diri saya. Nama saya Hajah Zainab @ Ngah Binti Mamat dan lebih selesa dengan panggilan Mak Ngah.
Penglibatan dan pengalaman tokoh dalam seni kraf warisan
Mak Ngah mula menenun kainsongket sejak berumur 13 tahun lagi. Masa itu Mak Ngah baru sahaja tamat sekolah rendah iaitu darjah lima. Tetapi sebelum Mak Ngah betul-betul belum pandai menenun, Mak Ngah sudah selalu sangat melihat kawan dan keluarga yang lain menenun, kadang-kadang jika ada kesempatan Mak Ngah juga cuba curi-curi naik ke atas kek dan buat-buat berlakon macam orang tua menenun. Masa itu rasanya umur Mak Ngah baru 5 atau 6 tahun. Kadang-kadang bila dikenang kembali rasa lucu dan geli hati pun ada.
Semua ahli keluarga Mak Ngah memang bertenun. Mak Ngah sendiri pun tak pasti siapa yang dalam keluarga Mak Ngah yang mula-mula berkecimpung dalam bidang ini kerana seingat Mak Ngah, bermula dari moyang, nenek, ibu Mak Ngah sendiri sudah bertenun sejak dahulu lagi. Mungkin kerana itu, minat bertenun ini telah bersemai dalam darah daging keluarga kami. Dan sekarang, Mak Ngah turunkan pula kemahiran ini kepada anak-anak Mak Ngah.
Masa mula-mula diberi peluang menenun, Mak Ngah cuba dahulu corak yang mudah, kemudian bila dah mahir, Mak Ngah dilatih oleh ibu untuk bertenun corak yang lebih sukar dan mencabar. Macam itulah cara Mak Ngah mengutip pengalaman sehingga Alhamdulillah Mak Ngah boleh buat corak-corak seperti tenunan ikat atau limar, biar pun susah dan amat rumit, tetapi Mak Ngah rasa puas hati bila hasil tenunannya siap. Bila Nampak kain itu cantik, hilang rasa penat.
Petua dan falsafah dalam pertukangan seni kraf warisan
Seni tenunan songket ini, apa yang Mak Ngah lihat.. ianya memerlukan tahap kesabaran dan komitmen yang tinggi. Tak boleh lebih kurang dan sambil lewa. Orang kata, kalau genggam bara api biar sampai jadi ram. Hendaklah 1000 daya.. Mahu 1000 usaha.. kalau kita rasa nak maju kita kena rajin. Makn Ngah tak segan bertanya dengan orang-orang tua yang lebih banyak pengalaman kerana mereka inilah gedung ilmu yang mesti Mak Ngah cungkil pengalaman mereka.
Macam yang selalu Mak Ngah katakan, ilmu tenunan songket ini tak ada tertulis dekat mana-mana buku sekalipun. Kita tak akan pandai selagi kita tidak berguru dan belajar dengan orang yang tahu tentang ilmu ini.
Teknik, kaedah dan motif yang sering mendapat perhatian pelanggan (sebab)
Tenunan songket ini bermula dari zaman dahulu kala lagi. Iaitu ketika dunia belum ada kemudahan internet dan teknologi yang canggih. Jadi apa yang Mak Ngah perhatikan, corak tenunan banyak bermotifkan tumbuh-tumbuhan, bunga-bungaan dan sebagainya. Nama-nama corak tenunan pun dipanggil bersandarkan nama-nama klasik seperti awan larat, pucuk rebung, kepala lawi dan sebagainya.
Corak sebeginilah yang pelanggan sekarang cari. Lagi lama dan antik lagi bagus. Rasa Mak Ngah mungkin sebab mereka hendak membuat koleksi hasil tenunan songket ini agar dapat dilihat oleh anak cucu mereka akan datang.
Tokoh pernah menerima pengiktirafan atau pernah menerima tempahan dari pihak-pihak tertentu (istana, kerajaan Malaysia, kerajaan negeri dan lain- lain)
Selama Mak Ngah berkecimpung dalam bidang tenunan songket ini, Mak Ngah rasa sangat terharu apabila ada beberapa pihak yang tampil dan menghargai hasil seni kraf warisan yang Mak Ngah ceburi ini. Pada tahun 2003, pihak Kraftangan Malaysia telah menganugerahkan Mak Ngah sebagai Tokoh Kraf Negara 2002. Rasa sangat besar pengiktirafan ini buat Mak Ngah. Justeru itu Mak Ngah mengambil ia sebagai satu tanggungjawab untuk meneruskan seni warisan kraf bangsa kita ini agar terus mekar di mata dunia.
Selain itu, Mak Ngah juga rasa bersyukur apabila hasil tenunan Mak Ngah mendapat pehatian pihak istana. Alhamdulillah Mak Ngah pernah beberapa kali mendapat tempahan dari pihak istana jikalau ada istana dan untuk hari-hari kebesaran.
Penggunaan serta tempahan produk kraf warisan yang dihasilkan tokoh dalam majlis perkahwinan. senario dahulu dan sekarang
Dari pemerhatian Mak Ngah, generasi zaman sekarang kurang berminat menggunakan kain songket untuk majlis perkahwinan. Kalau dipakai pun mereka akan memakai songket tiruan yang diimport dari India dan Pakistan. Alasannya adalah songket tiruan lagi murah dan mudah didapati.
Bagi Mak Ngah ini adalah satu senario yang mengecewakan. Kita tidak boleh salahkan pelanggan kerana lambakan songket tiruan di pasaran menyebabkan mereka lebih cenderung memilih yang seperti mana mereka kata lebih murah dan mudah itu. Tetapi Mak Ngah pasti jika isu ini tidak dibendung, kemungkinan besar anak cucu kita sudah tidak berpeluang melihat hasil seni warisan agung yang pernah kita bangga ini.
Perbezaan / keadaan dahulu dan sekarang dalam pengeluaran dan permintaan seni kraf warisan serta halangan yang dihadapi dalam mengusahakan seni kraf warisan
Terus-terang Mak Ngah katakan pengeluaran tenunan songket sudah tidak sehebat dan serancak dahulu, iaitu sebelum kemasukan songket-songket tiruan dari negara-negara luar ini. Sekarang ni hanya segelintir golongan sahaja yang masih mencari songket tenunan asli, yang Mak Ngah rasa golongan ini yang masih mahu memartabatkan tenunan warisan kraf ini.
Harapan tokoh dalam usaha mengekalkan seni kraf warisan negara supaya ianya terus dipelihara dan dipulihara
Justeru itu, Mak Ngah amat berharap agar pihak tertentu, badan-badan kerajaan yang terlibat, mengambil langkah yang sewajarnya agar kemasukan songket-songket tiruan ini dibendung. Kerana jika fenomena ini berterusan ianya akan membunuh industri tenunan songket di negara kita ini dan seterusnya menenggelamkan terus warisan seni kraf agung ini. Sekian.
Artikel ini telah ditulis pada
hari Khamis
, Khamis, April 19, 2012
di bawah kategori
Zainab / Ngah Binti Mamat
. Anda boleh mengikuti artikel ini melalui
comments feed
.
Catat Ulasan