Adiguru Kraf Labu Sayong  

Ditulis oleh : Bahagian Pemuliharaan Kategori :

Kampung Kepala Bendang di daerah Kuala Kangsar terkenal dengan perusahaan membuat tembikar tradisional terutamanya labu Sayong yang menjadi sebutan di seluruh negara. Salah seorang pakar yang menghasilkan labu Sayong ialah Zamri Pandak Ahmad. Beliau dilahirkan pada 16 November 1942 dan memperolehi kemahiran membuat labu Sayong pada umur 15 tahun. Pada ketika itu perusahaan membuat tembikar dimonopoli oleh kaum wanita sahaja. Oleh kerana minat, Zamari tidak merasa kekok dan menjadikannya satu-satunya kaum lelaki yang membuat tembikar di kampungnya ketika itu.

Sekitar tahun 1974, beliau telah ditawarkan sebagai tenaga pengajar seramik di Lembaga Kraftangan Malaysia yang kemudian dikenali sebagai Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia). Selain daripada mengajar kemahiran pembuatan tembikar, Zamari turut bertanggungjawab memperkenal dan memajukan seni kraf tembikar di Koperasi-koperasi Industri Kampung yang terdapat di seluruh negara termasuk Koperasi Industri Kampung di Kelantan, Pahang dan Perak. Walaupun terikat dengan tugas dan tanggungjawab beliau sebagai pengajar di Kraftangan Malaysia, beliau masih berkesempatan meluangkan masa memberi latihan dan bimbingan berkaitan dengan pembuatan tembikar kepada belia dan beliawanis yang tinggal di sekitar Kuala Kangsar. Harapan beliau supaya golongan muda ini dapat mengisi masa lapang dengan kegiatan berfaedah yang boleh dijadikan sebagai sumber pendapatan serta memastikan warisan ini berkekalan. Bagi mengekalkan ciri-ciri estetik, Zamari masih membentuk labu Sayong menggunakan kemahiran tangan.

Kemahiran beliau mendapat pengikitrafan dari dalam dan luar negara antaranya anugerah ”Seal of Excellence” oleh UNESCO AHPADA 2002. Pada tahun yang sama beliau dijemput oleh Kerajaan Jepun mengadakan demonstrasi pembuatan Labu Sayong di Nagoya, Jepun dengan kerjasama Universiti Teknologi MARA. Bagi menghargai sumbangan beliau di dalam membangunkan industri kraf tembikar, Kraftangan Malaysia melantik beliau sebagai Adiguru Kraf Labu Sayong pada tahun 2007. Namun, beliau telahpun kembali ke rahmatullah pada 26 Mei 2009.

Artikel ini telah ditulis pada hari Khamis , Khamis, April 19, 2012 di bawah kategori . Anda boleh mengikuti artikel ini melalui comments feed .

0 ulasan

Catat Ulasan

Catat Ulasan