Adiguru Kraf Ukiran Kayu  

Ditulis oleh : Bahagian Pemuliharaan Kategori :

Wan Mustafa bin Wan Su merupakan salah seorang pengukir kayu yang terkenal bukan sahaja di Terengganu malah juga di seluruh negara. Mewarisi kemahiran mengukir daripada ayah beliau, Wan Su Wan Othman antara pengukir tersohor tanah air. Hasil usaha gigihnya, beliau telah membuka galeri ukiran kayu iaitu Balai Seni Wanpo yang menjadi mercu tanda kejayaan beliau. Di sini beliau menyiapkan tempahan yang diterima dengan dibantu oleh 30 orang pengukir mahir dan separuh mahir. Balai seni ini memberi peluang pekerjaan kepada anak muda tempatan yang berminat dalam bidang ukiran.

Ukiran beliau mempunyai identiti tersendiri dan beliau akan memastikan kualiti pada setiap produk ukiran mencapai tahap yang memuaskan sebelum diserahkan kepada pelanggan. Bagi Wan Mustafa, nilai dan kualiti hasil kerja terletak pada kesempurnaan sesebuah ukiran. Seringkali beliau menghalusi dan memperbaiki produk-produk ukiran yang diukir oleh pekerjanya. Sehingga kini, beliau banyak menerima tempahan ukiran untuk bangunan pejabat, masjid, muzium seperti Masjid Wilayah Kuala Lumpur, Istana Muktabillah Terengganu, Muzium Terengganu dan Istana Melawati Putrajaya.

Wan Mustafa turut memberi latihan dan bimbingan kepada pengukir muda yang berminat mendalami seni ukiran tradisional. Selain itu, beliau turut memberikan latihan dan tunjuk ajar kepada guru-guru dan juga belia-belia seluruh Malaysia anjuran jabatan kerajaan. Bagi mewarisi empayar ukiran ini terus diwarisi, kepakaran dan pengetahuan beliau telah diturunkan kepada anak lelakinya yang mempunyai kelulusan sebagai arkitek dan mula menceburi bidang ukiran kayu ini.

Selain sumbangan dalam memberi tunjuk ajar berkaitan kemahiran ukiran, Wan Mustafa juga giat menjadi pakar rujuk seni ukiran tradisional kepada penuntut dari institusi pengajian tinggi dan juga menjadi penceramah seni ukiran Melayu di institut pengajian tinggi tempatan sekitar tahun 1980-an hingga 1990-an. Kepakaran beliau juga mendorong beliau dipilih sebagai Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Istilah Seni Ukir oleh Dewan Bahasa dan Pustaka selain menjadi ahli dalam Jawatankuasa Jejak Warisan Terengganu anjuran Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia. Oleh yang demikian, tidak hairanlah beliau cukup dikenali sebagai pakar rujuk dalam bidang ukiran kepada individu, pelajar, agensi kerajaan dan juga swasta. Bagi menghargai usaha dan sumbangan beliau, Kraftangan Malaysia telah melantik beliau sebagai Adiguru Kraf Ukiran Kayu pada tahun 2007

Artikel ini telah ditulis pada hari Khamis , Khamis, April 19, 2012 di bawah kategori . Anda boleh mengikuti artikel ini melalui comments feed .

1 ulasan

Assalamualaikum. Saya Zur'ain pelajar UiTM Puncak Perdana mengambil jurusan ijazah sarjana muda pengurusan rekod. Saya di tugaskan untuk menyiapkan kajian tentang sejarah bangunan untuk subjek oral documentation. Jadi, saya memilih Masjid Ulul Albab Jertih sebagai bangunan yang ingin di kaji ketana mempunyai keunikan tersendiri. Setelah melakukan sedikit kajian, Wan Mustafa Wan Su merupan salah seorang yang terlibat dalam pembinaan masjid tersebut. Jadi, Bagaimanakah cara saya untuk membolehkan saya menghubungi Wan Mustafa untuk ditemuramah? Kerjasama dari tuan/puan amat saya hargai. Terima kasih.

Sabtu, April 04, 2015

Catat Ulasan

Catat Ulasan