Adiguru Kraf Anyaman Rombong  

Ditulis oleh : Bahagian Pemuliharaan Kategori :

Rombong atau bekas yang diperbuat daripada mengkuang amat dekat dengan budaya masyarakat Melayu Melaka suatu ketika dahulu. Bekas atau bakul serba guna ini merupakan salah satu daripada seni kemahiran anyaman yang halus seni pembuatannya. Salah seorang pakar dalam membuat anyaman rombong adalah Aminah binti Haji Amat. Beliau dilahirkan pada tahun 1928 di Kampung Tanjung Keling, Melaka dan dibesarkan dalam keluarga yang mempunyai kemahiran menganyam.

Aminah pernah dihantar belajar ke sekolah kebangsaan sehingga darjah dua dan kemudian beliau dihantar pula belajar di sekolah agama. Kehidupan ketika itu yang dilingkungi oleh adat resam, menyebabkan anak-anak perempuan dilatih dan diasuh dengan urusan rumah tangga dan juga kemahiran kerja tangan seperti menenun dan menganyam. Tradisi ini turut diamalkan oleh keluarga Aminah. Sejak usia remaja beliau diberi tanggungjawab membantu ibu dan neneknya menyiapkan tempahan pelanggan. Peringkat awalnya beliau diberi tugas menyisip atau menyusun bilah-bilah mengkuang yang akan dianyam. Kemudian beliau diajar bagaimana menganyam, membentuk dan menghias rombong oleh ibu dan neneknya.

Galakan dan tunjuk ajar daripada keluarga menyebabkan Aminah berjaya menguasai kemahiran menganyam rombong. Motif-motif Bunga Tanjung, Bunga Cengkih, Pucuk Rebung dan Potong Wajik antara reka corak yang menjadi identiti anyaman rombong Aminah. Kerja-kerja mengambil daun mengkuang, melayur, menjangka, melurut sehinggalah proses menganyam rombong dilakukan sendiri oleh Aminah dengan dibantu oleh anak perempuan beliau. Ketekunan dan kesungguhan beliau semasa hayatnya dalam menghidupkan semula kraf warisan mendapat perhatian. Pada tahun 1988, Kraftangan Malaysia telah melantik beliau sebagai Adiguru Kraf Anyaman Rombong bagi menghargai sumbangannya dalam memulihara dan memelihara seni kemahiran ini. Beliau telah meninggal dunia pada Februari 2003.

Artikel ini telah ditulis pada hari Isnin , Isnin, April 23, 2012 di bawah kategori . Anda boleh mengikuti artikel ini melalui comments feed .

0 ulasan

Catat Ulasan

Catat Ulasan