Ketokohan, Kreativiti, Pengalaman dan Sumbangan Puan Sabnah dalam Kraf Tenunan (Mugah)  

Ditulis oleh : Bahagian Pemuliharaan Kategori :

Kepimpinan dan Ketokohan

Puan Sabnah Dullah menetap di Kampung Merabau, Kota Belud Sabah bersama keluarga sejak turun temurun. Beliau yang berketurunan Irranun ini memang terkenal dengan kemahiran menenun. Keunikannya mereka menghasilkan tenunan untuk kegunaan suku kaum lain seperti Bajau dan Dusun. Beliau mewarisi kemahiran menenun kain Mugah daripada ibunya Puan Hamidah Adoi. Ketika masih kecil, ayahnya telah meninggal dunia dan disebabkan hal demikian beliau membantu ibunya menenun untuk menyara 6 orang adik beradiknya masih kecil. Beliau membantu ibunya menenun dan kemudian menjual hasil Tenunan Mugah di Pasar Tamu.

Apabila ibunya meninggal dunia Puan Sabnah pula mengambil alih menyara adik beradiknya yang masih kecil dan 3 orang anak saudaranya yang yatim piatu.

Berkat kesabaran dan ketabahannya, beliau menjadi penenun yang disegani. Walaupun tidak mendapat pendidikan formal, beliau mampu menghasilkan reka corak tenun yang unik dan indah berasaskan alam semulajadi seperti tumbuh-tumbuhan dan geometri.

Perwatakan beliau yang sederhana, penyabar, cekal, tekun serta merendah diri menyebabkan beliau disenangi dan mudah didampingi. Beliau mengajar anak tempatan yang berminat dalam seni tenunan di sebuah bengkel tenunan.

Ciri-ciri keperibadian yang dimilikinya telah meletakkan beliau sebagai penenun kain tradisional yang mahir dan berjaya menghasilkan kain Tenunan Mugah yang berkualiti serta diperakui mutunya.

Daya Kreativiti dan Inovasi

Kain tenun Mugah ini dipakai oleh orang lelaki dari suku kaum Dusun terutama dalam majlis rasmi, upacara adat, keagamaan, pesta dan perkahwinan.

Beliau berkemahiran menghasilkan reka corak dan motif yang berunsurkan alam. Di antara reka corak yang dihasilkan kalingguon, Anunon, Tuara, Bakaki, Bunga Emas, Tialali, Lincu, Siku Keluang dan Sunding.

Reka corak yang dihasilkan ini disesuaikan dengan kehendak dan adat budaya suku kaum Dusun yang menggunakannya.

Selain daripada menenun kain Mugah, beliau berkemahiran juga menenun kain baraguru, kain ampik, kain tapak sila dan kain dastar. Beliau juga mahir menganyam tikar pandan.

Pengalaman, Penglibatan dan Pencapaian

Penglibatannya dalam menceburi bidang seni Tenunan Mugah telah berjaya menaikkan nama beliau di kalangan masyarakat setempat, orang luar dan pencinta seni. Beliau turut melatih beberapa orang anggota kerja dari Kraftangan Malaysia.

Kesungguhan dan komitmen yang ditunjukkan oleh Puan Sabnah sekali lagi mendapat kepercayaan dari Kraftangan Malaysia. Beliau telah dilantik sebagai jurutunjuk kepada penenun tempatan dalam program Satu Daerah Satu Industri (SDSI).

Beliau turut mengajar masyarakat setempat teknik menenun kain Mugah dan lain-lain tenunan tradisional Sabah sama ada di rumah atau di bengkelnya. Tujuannya agar seni Tenunan Mugah ini akan diwarisi oleh generasi seterusnya secara tidak langsung dapat menyelamatkan seni warisan ini dari pupus begitu sahaja.


Sumbangan

Walaupun tidak banyak melibatkan diri dalam sebarang pertandingan ataupun aktiviti-aktiviti lain tetapi beliau tetap dikenali sebagai salah seorang penenun yang mahir.

Bagi menghargai jasa beliau maka Kraftangan Malaysia telah melantik beliau sebagai Adiguru Kraf Tenun Mugah tahun 2000.

Artikel ini telah ditulis pada hari Isnin , Isnin, April 23, 2012 di bawah kategori . Anda boleh mengikuti artikel ini melalui comments feed .

0 ulasan

Catat Ulasan

Catat Ulasan