Berkemahiran Dan Pakar Dalam Bidang Kraf Warisan-Norhaiza  

Ditulis oleh : Bahagian Pemuliharaan Kategori :

Tahap penghasilan karya / reka cipta

Encik Norhaiza bin Noordin merupakan seorang pengukir kayu tradisional yang terkenal bukan sahaja di Negeri Terengganu malahan sehingga ke peringkat antarabangsa. Berdasarkan minat yang mendalam dalam bidang ukiran kayu beliau telah mempelajari dan mendalami bidang ini dengan berguru kepada seramai 6 orang pengukir kayu tersohor di Negeri Kelantan dan Terengganu iaitu Allahyarham Wan Su (Tokoh Seni Negara), Allahyarham Tengku Ibrahim(Tokoh Kraf Negara), Wan Mustafa, Allahyarham Rahman Long, Latif Long dan Allahyarham Nik Rashiddin. Pada masa kini lenggok dan gaya ukiran beliau telah pun dikenali serta mempunyai identiti tersendiri.

Eksklusif

Hasil karya ukiran kayu yang dihasilkan beliau sering mendapat tempat di hati peminat ukiran daripada orang-orang kenamaan, pihak istana, jabatan dan agensi serta orang perseorangan untuk diabadikan di kediaman dan bangunan.
Justeru kehalusan dan ketelitian dalam setiap hasil ukirannya, tempahan yang diterimanya kini bukan hanya dari dalam negara malahan juga dari luar negara.
Berikut merupakan di antara tempahan - tempahan ukiran yang pernah dihasilkannnya:

- Menghasilkan tempahan panel ukiran kayu ayat kursi Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya
- Menghasilkan tempahan ukiran kayu peti ibadat Sultan Brunei
- Menghasilkan tempahan hiasan ukiran kayu di Istana Hinggap Putrajaya
- Menghasilkan tempahan hiasan ukiran kayu di kediaman Perdana Menteri di Putrajaya
- Menghasilkan tempahan hiasan ukiran kayu di Dewan Pusat Pengajian Islam Universiti Oxford.
- Menghasilkan 15 unit ukiran hulu keris untuk exco Kerajaan Negeri Terengganu.
- Menghasilkan 2 bilah keris untuk Yang Dipertuan Agong
- Menghasilkan tempahan cokmar untuk Universiti Malaysia Kelantan

Pasaran Khusus (Niche market)

Untuk memastikan perusahaan ukiran kayu yang diusahakan dapat bertahan dan berjalan dengan baik, beliau telah membahagikan pasarannya kepada 3 segmen dengan menubuhkan 3 syarikat seperti berikut:
  • Seni Ukir Bakawali : Menumpukan kepada ukiran yang mempunyai nilai seni serta kehalusan yang tinggi serta eksklusif.
  • Bakawali House Of Arts : Menumpukan kepada ukiran yang mempunyai permintaan yang tinggi, senang untuk dipasarkan dan mempunyai harga yang berpatutan.
  • Tunjang Bakawali Sdn Bhd :Menumpukan kepada projek-projek ukiran berskala besar yang melibatkan tender/ sebutharga.

Hasil daripada penumpuan kepada segmen pasaran yang berdasarkan syarikat yang ditubuhkannya, beliau telah berjaya mendapat tempahan ukiran dari dalam dan luar negara serta dapat bertahan sehingga ke hari ini.

Karya / reka cipta yang menjadi ikutan (menjadi trend-setter)

Karya-karya ukiran yang dihasilkan oleh Encik Norhaiza telah menjadi ikutan penggemar seni ukiran melayu pada masa kini. Pelajar-pelajar dari institusi pengajian tinggi serta jabatan dan agensi sering berkunjung ke bengkel yang diusahakan oleh beliau sebagai rujukan dan kajian.

Inovasi dalam menghasilkan karya atau reka cipta

Pada masa kini seni ukiran kayu yang diusahakannya turut disokong dengan penggunaan mesin moden terutamanya kerja-kerja awalan seperti membelah, memotong dan membentuk kayu. Penggunaan alatan ini dapat mempercepatkan proses ukiran kayu yang dihasilkan.
Walaupun ukiran yang dihasilkan dibantu dengan penggunaan mesin/peralatan moden, beliau masih mengutamakan kualiti dan kehalusan seni ukiran yang dilakukan.

Pengiktirafan ke atas kepakaran

Sebagai seorang yang berpengalaman dan arif dalam bidang seni ukiran kayu, Encik Norhaiza telah pun dilantik sebagai Yang Dipertua Persatuan Penggiat Seni Ukir Kayu Malaysia (Pengukir). Persatuan pengukir telahpun diluluskan penubuhannya pada tahun 2011.
Selain daripada itu beliau juga telah dianugerahkan sebagai Anugerah Usahawan Kraf (bidang kraf hasil rimba) pada tahun 2010 oleh Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia.
Pengiktirafan lain yang pernah diterima oleh beliau adalah :
  • Menerima Anugerah Seni Negeri Terengganu pada tahun 2005
  • Penceramah jemputan untuk Karyawan di ATMA, UKM
  • Dilantik sebagai pengukir rasmi untuk pelajar di bawah kelolaan Yayasan Diraja Sultan Mizan pada tahun 2009

Pengiktirafan ke atas karya / reka cipta

Pengiktirafan yang paling membanggakan Encik Norhaiza di atas hasil karya beliau adalah apabila beliau diminta menghasilkan ukiran untuk hiasan dalaman Dewan Pusat Pengajian Islam di Universiti Oxford.

Hasil karya ukiran kayu yang siap dihasilkan beliau di Universiti Oxford telah dilawati dan dilihat sendiri oleh Putera Charles dari Kerabat Diraja Britain.

Pencapaian kerjaya

Encik Norhaiza sentiasa komited dalam usaha mengembangkan perniagaan dan kemahiran yang dimilikinya. Ini telah di lakukukan dengan menubuhkan Syarikat Seni Ukir Bakawali, Syarikat Bakawali House Of Arts dan Tunjang Bakawali Sdn Bhd.

Beliau telah menyediakan sebidang tanah untuk menempatkan bengkel untuk operasi penghasilan produk ukirannya. Terdapat juga bangunan yang disediakan untuk segala urusan pejabat dan geleri yang menempatkan contoh-contoh produk sampel ukiran yang dihasilkan.

Pada masa kini terdapat seramai 18 orang yang bekerja dengan beliau sebagai pengukir dan 2 orang pekerja ditugaskan sebagai kerani yang menguruskan operasi bengkel.

Dokumentasi

Kerana ketokohan ilmu ukiran yang dimiliki Encik Norhaiza, beliau sering mendapat liputan dan perhatian sama ada daripada media elektronik mahu pun media cetak.

Nama dan gambar beliau sering terpampang di dada-dada akhbar utama negara seperti Utusan Malaysia dan Berita Harian serta tidak ketinggalan juga majalah-majalah semasa.

Melalui media elektronik pula beliau sering ditemuramah untuk tujuan dokumentari berkenaan ukiran kayu dan pengiklanan untuk tujuan promosi kraftangan.

Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia juga pernah menemuramah beliau untuk tujuan dokumentari dan penghasilan buku.

Buku yang pernah dihasilkan beliau secara bersama adalah bertajuk “Ukiran Kayu Warisan Melayu” bersama dengan Kraftangan Malaysia dan Spirit Of Wood.

Artikel ini telah ditulis pada hari Khamis , Khamis, April 19, 2012 di bawah kategori . Anda boleh mengikuti artikel ini melalui comments feed .

0 ulasan

Catat Ulasan

Catat Ulasan