Ketokohan, Kreativiti, Pengalaman dan Sumbangan  

Ditulis oleh : Bahagian Pemuliharaan Kategori :


Kepimpinan dan Ketokohan

Encik Shafie Bin Jusoh mula meminati bidang Kraf Wau sejak berada di sekolah rendah lagi. Ketika berusia 10 tahun, beliau sering mengikut rakan-rakannya bermain wau di bendang sehingga sanggup berhenti sekolah ketika berada di tahun tiga.

Demi minat, beliau belajar membuat wau dari rakan-rakan dan cara-cara sobekan melalui pemerhatian sendiri.

Encik Shafie amat berbangga kerana minatnya tersebut mendapat dorongan daripada ibu bapanya dan sebagai tanda sokongan ayahnya telah memainkan wau besar yang telah dihadiahkannya. Dengan jualan secara kecil-kecilan, wau yang dihasilkan serba sedikit dapat membantu ekonomi keluarganya.

Ketika awal penglibatannya, belum ada lagi anak Kota Bharu yang mengusahakan pembuatan wau secara serius. Pada masa itu beliau hanya bertanding sambil bermain wau di Stadium Kota Bharu serta Kompleks KB. Bakat tokoh mula menyerlah ketika beliau berusia 22 tahun dengan kedatangan dua orang pelancong luar negara yang menyaksikan bakatnya memainkan wau di stadium. Berminat dengan keunikan permainan tersebut, kedua-dua pelancong tersebut menempah wau dari beliau.

Semenjak dari itu, beliau mula yakin dengan produknya serta menerima tempahan wau naik untuk dijual. Encik Shafie mula menerima tempahan secara eksklusif dari syarikat-syarikat besar serta jabatan kerajaan ketika berusia 30 tahun.

Daya Kreativiti dan Inovasi

Salah satu keunikan wau bulan yang dihasilkan oleh beliau ialah badan wau yang dihasilkan berbentuk bulat dan seimbang antara kiri dan kanan yang direka berkonsepkan wau pada permukaan syiling 50 sen.
Beliau juga tidak pernah meniru corak-corak wau daripada ciptaan orang lain walaupun atas permintaan pelanggan. Sekiranya diminta menghasilkan wau berdasarkan gambar yang diberi untuk tempahan, tokoh pasti mereka cipta corak lain berdasarkan konsep yang diberi. Ini adalah kerana tokoh amat menghormati rekacipta orang lain dan ingin menghasilkan rekaan identitinya sendiri.

Pengalaman, Penglibatan dan Pencapaian

Apa yang paling menarik, wau yang telah dihasilkan oleh Encik Shafie telah membawa beliau kepada pelantikan sebagai duta MAS.

Pihak MAS sering menjembut beliau untuk membuat demonstrasi di luar negara seperti Australia, German, Maldives, Melbourne dan Jepun. Sehingga kini, pencapaian beliau telah mendapat liputan daripada penerbitan majalah juga akhbar serta beberapa agensi media seperti RTM, TV3, TV7, TV8 dan juga Astro.

Satu keistimewaan yang ada pada beliau ialah merendah diri meskipun namanya masyhur di kalangan penggiat seni wau. Beliau juga tidak pernah menetapkan sebarang kadar bayaran terhadap pihak media yang ingin membuat liputan tentang dirinya, perusahaan ataupun produknya.

Produk-produk wau yang di hasilkan oleh beliau sering dibeli oleh hotel-hotel, jabatan kerajaan, muzium serta syarikat swasta terutamanya selepas wau tersebut digunakan dalam sesuatu pertandingan.

Sumbangan


Kejayaan demi kejayaan mula beliau kecapi. Antaranya beliau pernah dijemput beberapa kali membuat demonstrasi dan interaktif bagi pihak Kraftangan Malaysia.

Artikel ini telah ditulis pada hari Isnin , Isnin, April 23, 2012 di bawah kategori . Anda boleh mengikuti artikel ini melalui comments feed .

0 ulasan

Catat Ulasan

Catat Ulasan