Memaparkan catatan dengan label Zainab / Ngah Binti Mamat. Papar semua catatan

Pencapaian Tokoh Sepanjang Penglibatan Beliau dalam Industri Kraf  

Ditulis oleh : Bahagian Pemuliharaan Kategori :

Selama penglibatan saya di dalam bidang tenunan songket, pencapaian yang paling membanggakan adalah apabila hasil tenunan songket saya telah mendapat perhatian dari kalangan istana. Istana Negara misalnya, menempuh pakaian para penjawat istana sejak 10 tahun yang lalu, begitu juga Istana Maziah yag terletak di Kuala Terengganu, pernah menempah pakaian songket untuk kegunaan upacara tertentu di istana. Bukan sahaja dari dalam negara malah saya pernah menghasilkan persalinan songket untuk pasangan pengantin diraja dari Brunei.

Bagi saya kepercayaan yang diberikan oleh pihak istana kepada saya adalah satu pengiktirafan yang besar, kerana saya yakin mereka tidak memilih orang sebarangan untuk menjalankan tugas ini dan saya rasa cukup berbesar hati kerana terpilih.

Jenis hasilan kraf yang mendapat tempat di mata masyarakat tempatan dan antarabangsa

Samping songket adalah hasil tenunan yang paling mendapat tempat di mata masyarakat. Kini, pemakaian samping songket bagi kaum lelaki seolah-olah sudah menjadi kemestian. penampilan seseorang lelaki melayu mungkin dianggap tidak lengkap jika tidak bersamping terutamanya ketika menghadiri upacara keramaian seperti perkahwinan, perasmian dan perayaan. Oleh itu, corak dan adunan warna yang sesuai amat saya titik beratkan dalam penghasilan sesehelai kain samping. Gambar-gambar ini adalah antara koleksi samping songket yang saya anggap istimewa dan cukup tinggi mutu seni tenunannya.

Selain daripada samping songket, saya juga menghasilkan sarong songket serta selendang untuk wanita dan sut pengantin yang lengkap dengan bengkung dan tengkolok. Saya juga mempelbagaikan hasilan produk songket supaya penggunaanya tidak terhad sebagai pakaian sahaja, malah ia juga boleh dijadikan cenderamata sebagai tanda igatan. Jesteru itu, terdapat juga produk-produk lain yang dihasilkan iaitu seperti alas meja, alas kusyen (chair back), hiasan dinding, beg tangan, serta hiasan kepala seperti cekak rambut dan reben.


-- Tahun 2002 --

Sumbangan Tokoh Terhadap Industri Kraf  

Ditulis oleh : Bahagian Pemuliharaan Kategori :

Selama penglibatan saya di dalam industri tenunan songket, saya banyak berurusan dengan badan-badan yang berkaitan dengan industri kraftangan. Memang tidak dapat dinafikan kejayaan saya di dalam bidang ini mungkin tidak begitu teserlah tanpa bantuan yang telah mereka hulurkan. Oleh itu, saya merasakan sudah menjadi taggungjwab saya untuk menyumbangkan pula 'bahagian' saya sekadar yang termampu.

Badan-badan kraftangan seperti Syarikat Pemasaran Karyaneka Sdn Bhd. Kraf Holding Sdn Bhd, Johorcraft Sdn Bhd dan Batik Malaysia Berhad adalah antara yang mengambil bekalan songket dalam kuantiti yang besar untuk dipasarkan semula. Bantuan yang saya beri adalah dalam bentuk kemudahan kredit iaitu bayaran hanya dibuat setelah bahan berjaya dipasarkan. Selain daripada itu, saya juga membenarkan mereka meminjam koleksi kain songket untuk tujuan pameran, pertunjukan dan sebagainya.

Saya pernah memberi kursus kepada beberapa orang pelajar yang mengikuti latihan menenun songket di Perbadanan Kemajuan Kraftangan, Chendering, Kuala Terengganu. Kursus tersebut dijalankan di rumah saya sendiri supaya para pelajar mendapat pendedahan sepenuhnya mengenai teknik-teknik penghasilan songket. Jemputan seperti ini sering saya nanti-nantikan kerana dengan cara ini saja, kemahiran yang ada di dalam diri saya boleh diperturunkan kepada generasi akan datang.

-- Tahun 2002 --

Biodata Zainab @ Ngah Binti Mamat  

Ditulis oleh : Bahagian Pemuliharaan Kategori :

Tokoh Kraf Negara : Kraf Tenunan Songket  

Ditulis oleh : Bahagian Pemuliharaan Kategori :

Hajah Zainab @ Ngah binti Mamat dilahirkan pada 22 Disember 1942 di Kampung Gelung Gajah iaitu sebuah perkampungan kecil yang terletak kira-kira 7km dari Kuala Terengganu. Kemahiran menenun kain diusahakan secara serius oleh kaum wanita di kampung tersebut termasuk keluarga Hajah Zainab ketika negara bergelut dengan kepayahan hidup akibat jajahan tentera Jepun. Selepas menamatkan pendidikan pada tahun 1955, Hajah Zainab yang ketika itu berusia 13 tahun ditawarkan untuk menjadi guru dan juru rawat. Harapan ibu, ayah dan keluarga ingin melihat beliau menjadi guru tidak tercapai apabila Hajah Zainab memilih bidang tenunan sebagai kerjayanya.

Selama penglibatan beliau di dalam perusahaan tenun songket, pencapaian yang paling membanggakan adalah apabila hasil tenunan songket beliau telah mendapat perhatian dari kalangan istana. Selain Istana Negara menempah pakaian untuk penjawat istana sejak 10 tahun yang lalu, Istana Maziah di Terengganu turut pernah menempah pakaian songket untuk kegunaan upacara tertentu di istana. Beliau juga pernah menghasilkan kain songket untuk pakaian pengantin diraja Brunei. Kepercayaan yang diberi oleh pihak istana kepada beliau adalah pengiktirafan yang tinggi terhadap kain songket yang dihasilkan oleh beliau.

Selain menghasilkan samping songket untuk lelaki, beliau turut menghasilkan sarung, selendang dan persalinan untuk wanita termasuk pakaian pengantin. Hajah Zainab turut menghasilkan beberapa produk hiasan yang menggunakan kain songket seperti alas meja, sarung kusyen, hiasan dinding, beg tangan, cekak kepala dan sebagainya. Bagi menghargai jasa dan sumbangan beliau, pada tahun 2002 Kraftangan Malaysia telah melantik beliau sebagai Tokoh Kraf Negara.

Teks Ucapan Mak Ngah Semasa Bengkel Kraf Warisan Sempena Promosi Kerja Kahwin 2011  

Ditulis oleh : Bahagian Pemuliharaan Kategori :


Keterangan Mengenai Tokoh Kraf Negara 2000  

Ditulis oleh : Bahagian Pemuliharaan Kategori :

Dilahirkan di sebuah perkampungan kecil di Kuala Terengganu. Merupakan anak kedua daripada tujuh orang adik beradik yang terdiri daripada enam perempuan dan seorang lelaki. Ayah bekerja sebagai penjual ayam, manakala ibu bertenun songket bagi menampung pendapatan ayah yang tidak seberapa. Hidup dalam keluarga yang agak besar dan sering kesempitan wang menjadikan saya anak yang cekal dan tabah. Lebih-lebih lagi tanggungjawab sebagai anak yang paling tua terpaksa diambil alih memandangkan kakak yang sulung mempunyai masalah kesihatan.

Walaupun kedudukan kampung kelahiran saya iaitu Kampung Gelong Gajah tidak jauh dari Bandar Kuala Terengganu, namun kesukaran pengangkutan pada waktu itu dan suasana sekeliling yang masih dihantui oleh zaman pemerintahan Jepun, menjadikannya antara kampung yang terpinggir. Namun kekurangan ini rupa-rupanya memberi suatu rahmat kepada penduduk kampung. Ketenangan dan suasana aman yang dinikmati, tidak dipersia-siakan begitu sahaja, malah dijadikan suatu peluang bagi membina kerjaya kaum wanita di kampung ini untuk bergiat secara serius dalam seni tenunan songket Terengganu. Songket adalah satu warisan tradisi rakyat Terengganu yang memang terkenal dalam kehalusan dan keindahan seni buatannya. Individu yang bergiat dalam tenunan songket memang memerlukan suasana kampung yang tenteram dan jauh dari kesibukan kota seperti ini untuk melahirkan ilham bagi menghasilkan sesuatu corak tenunan songket yang unik dan menarik.

Seperti gadis-gadis remaja yang seusia, saya juga tidak melepaskan peluang untuk menceburkan diri di dalam bidang yang sudah tidak asing lagi bagi penduduk kampung saya, malah boleh dikatakan kesemua kaum wanita yang mempunyai hubungan persaudaraan dengan saya, melibatkan diri dalam bidang tenunan songket ini. Jika tidak keterlaluan dikatakan bahawa seni warisan songket yang kami warisi adalah turun temurun bermula sejak nenek moyang kami lagi.

Berbekalkan minat yang mendalam terhadap seni tenunan songket, saya telah bertekad untuk menjadikan bidang ini sebagai suatu kerjaya. Sejurus sahaja menamatkan persekolahan darjah lima, saya terus mengambil peluang mempelajari teknik-teknik menenun songket dengan lebih terperinci. Walaupun pernah mendapat tawaran untuk menjadi guru dan jururawat kerana kelulusan seperti itu pada masa dahulu sudah dianggap baik, namun saya tetap berkeras untuk tidak berfikir dua kali lagi. Saya pernah dianggap bodoh kerana dikata menolak tuah, namun saya yakin dan pasti dengan tindakan itu.

Pada tahun 1955, maka bermulalah detik-detik permulaan saya menceburkan diri secara serius dalam bidang songket yang saya cintai ini. Walaupun baru menjangkau usia 13 tahun ketika itu, namun faktor umur tidak pernah menghalang daripada saya bergiat dalam seni tenunan songket ini yang dianggap sebagai kerja orang-orang tua sahaja. Ibu pada mulanya membantah kerana tidak yakin dengan kebolehan saya, namun apabila melihat kesugguhan yang telah saya tunjukkan, dia terpaksa akur dengan kemahuan anaknya yang lebih mesra dipanggil 'Ngah". Betullah kata orang, 'nak seribu daya, mahu seribu usaha'.

Kepimpinan dan Keintelektualan Hajah Zainab dalam Bidang Tenunan Songket  

Ditulis oleh : Bahagian Pemuliharaan Kategori :

Sejak lima tahun saya mengutip pengalaman menjadi penenun songket yang mahir, baru saya sedar bukan mudah mencari ilmu. lebih-lebih lagi ilmu yang tidak tertulis di mana-mana, oleh itu saya perlu banyak bertanya. Saya dapati tidak ada seorang pun daripada mereka yang memberi tunjuk ajar, dapat menunjukkan proses-proses penghasilan kain songket daripada awal hingga ke akhir. Kebanyakan daripada mereka hanya tahu sebahagian sahaja, jadi untuk mendapat penerangan tentang proses yang seterusnya saya perlu mendapat didikan daripada individu yang lain pula. Di sini timbul pula niat saya untuk menerokai kesemua proses-proses yang terlibat di dalam menghasilkan tenunan songket ini. Berkat usaha dan galakan keluarga serta didikan daripada mereka yang terlibat, akhirnya boleh dikatakan tidak  satu pun daripada proses penghasilan kain songket tidak saya kuasai. Bukan meninggi diri, malahan saya telah merasakan ia sudah menjadi tanggungjawab saya untuk menjadi penyambung warisan tradisi seni songket Terengganu agar ia terus dimartabatkan oleh masyarakat kita. Setidak-tidaknya, dengan pengetahuan yang ada saya boleh menyampaikan suatu warisan berharga yang menjadi kebanggaan bangsa Melayu kepada generasi akan datang.

Tempahan yang saya terima daripada pelanggan sungguh memberangsangkan. Walaupun kerja menenun memenatkan, namun bayaran yang diterima agak lumayan, setimpal dengan tenaga dan masa yang diperuntukkan untuk menyiapkan sehelai kain. Ketika itu wang bukan menjadi ukuran, tetapi pujian pelanggan tentang kehalusan buatan dan keindahan seni songket itu sendiri sudah cukup menghilangkan penat bertenun. Tambahan pula pada masa itu, pelanggan-pelanggan yang menempah bukan calang-calang orang, mereka kebanyakan terdiri daripada kerabat-kerabat diraja. Bertepatan dengan gelaran yang diberi kepada kain songket iaitu"pakaian istana".

Tempahan yang di terima daripada pelanggan makin bertambah daripada masa ke semasa. Saya terpaksa mengambil pekerja untuk membantu menyiapkan tempahan. Bertitik tolak dari sinilah penglibatan saya dalam tenunan songket secara komersial bermula. Pada mulanya saya mengambil seorang pekerja, seterusnya bilangan mereka bertambah dan sehingga kini terdapat lebih kurang 300 orang yang bekerja di bawah jagaan saya.

Pada permulaannya, kebanyakan daripada pekerja bergantung nasib kepada jumlah tempahan yang saya terima, keadaan ini tidak memberi jaminan pendapatan yang tetap kepada mereka. memikirkan tentang permasalahan itu saya terpaksa mengambil langkah berani dengan mengarahkan pekerja bertenun seperti biasa walaupun tanpa tempahan. Ini menjadikan jumlah kain songket yang sebegitu banyak. Berbekalkan semangat yang ada, pada akhir tahun 60-an saya dengan bantuan dan sokongan suami cuba mencari pasaran songket di luar negeri Terengganu. antara negeri si semenanjung Malaysia yang mula-mula kami jejaki untuk mencari pasaran pada ketika itu ialah Kula Lumpur, Perak, Kedah dan Johor. Sehingga kini, hasil tenunan songket ciptaan saya telah berjaya berada dipasarkan seluruh Malaysia termasuk Singapura dan Brunei. Saya menganggap kejayaan ini mungkin hasil dari berkat doa pekerja-pekerja saya yang amat bergantung harap kepada saya. Sementelah lagi, hampir 85% daripada mereka terdiri daripada golongan miskin. Memang benar dunia Allah ini luas dan rezeki itu ada di mana-mana.

Terengganu Songket  

Ditulis oleh : Bahagian Pemuliharaan Kategori :


Kini telah hampir 45 tahun berkecimpung di dalam bidang tenunan songket, Hajah Zainab mampu tersenyum puas melihat himpunan kain songket hasil ciptaannya. ia terdiri daripada pelbagai corak dan warna dengan seni kehalusan dan keindahannya yang tersendiri. Terengganu Songket adalah nama yang diberi untuk galeri Hajah Zainab yang ditempatkan dikediamannya sendiri bagi menhimpun koleksi hasil tenunan songket terengganu. Di sini terdapat seribu satu macam kain songket yang dipamerkan untuk tatapan pengunjung. Mereka yang berkunjung tidak terhad kepada pelanggan sahaja, bahkan pelancong asing juga tidak melepaskan peluang untuk singgah menatap kehalusan seni tenunan kain songket yang juga digelar "queen of handwooven fabrics".

Dalam menguruskan pekerja pula, Hajah Zainab mengaplikasikan sistem pengkhususan. Setiap pekerja mempunyai kemahiran yang tertentu, oleh itu mereka bekerja berdasarkan kepada kemahiran masing-masing. Antara proses-proses yang mereka jalankan adalah menerai, mengani, menggulung, menyapak, mengarat, menyongket dan menenun.