Memaparkan catatan dengan label Wan Abdullah Bin Wan Muda. Papar semua catatan

Daya Kreativiti Pak Wan  

Ditulis oleh : Bahagian Pemuliharaan Kategori :

Kepercayaan kebanyakan masyarakat Melayu begitu taksub dengan pantang larang berkaitan dengan cara hidup dan kegiatan ekonomi mereka. Hakikat ini diakui oleh Pak Wan sendiri, terutama dalam melaksanakan pekerjaan harian beliau membuat tembaga.

Antara petua-petua yag sering diamalkan sewaktu menuang ialah :

  1. Pastikan acuan dalam keadaan rata, Ianya dapat ditentukan apabila tembaga yang telah masak dituangkan ke dalam acuan.
  2. Mengawal suhu kepanasan dengan cara mengelakkan lebih angin ke atas acuan. Ketika ini proses melebur dilakukan dengan berhati-hati supaya api tidak meliuk-liuk ke satu bahagian sahaja.
  3. Hari yang dianggap elok menuang ialah di awal-awal bulan iaitu dari satu hingga sepuluh haribulan. Kitab tajul muluk boleh dijadikan sebagai bahan rujukan mengenai cara mengenali hari yang sesuai, mengetahui keadaan tembaga serta tatacara untuk berjumpa dengan seseorang pada hari dan waktu yang dikehendaki.
  4. Seseorang pengusaha tidak digalakkan menuang tembaga sewaktu berlaku sesuatu kematian. Jika tidak, beberapa masalah akan timbul seperti terjadi kerosakkan pada acuan atau kelewatan dalam proses melebur.
  5. Pembacaan ayat-ayat Al-Quran bagi mempermudahkan urusan kerja
  6. Penyediaan bengkel yang selesa dan mempunyai ruang yang mencukupi. Ini penting bagi mempermudahkan pergerakan.

Hasil-hasil kraf Pak Wan tidak sekadar dijual dikedainya sahaja malah juga melalui tempahan dalam bentuk kuali, tempayan atau pasu bunga. Barang-barang tembaga yang dijual dikedai lebih tertumpu pada hasil-hasil tembaga yang kecil.

Bagaimanapun keuntungan adalah lebih diperolehi dalam membuat barang-barang tembaga yang besar. Umpamanya, jika sebuah tempayan dijual dengan harga RM1,000.00 mengikut kadar nilai pasaran semasa, untung bersih yang didapati ialah sebanyak RM700.00. Manakala harga pasaran untuk barang-barang kecil pula berubah-ubah berdasarkan permintaan pembeli.

Menurut Pak Wan, beliau boleh mengenakan harga tinggi pada sesuatu barangan tempahan itu sekiranya seeorang pelanggan memerlukannya dengan segera. Satu biji acuan kek, seperti sarang akak boleh jual sehingga RM130.00 berbanding dengan harga biasa sebanyak RM100.00 dengan hanya modal RM50.00 sahaja.

Penghasilan barangan tembaga tidak dapat menjamin pendapatan tetap kepada seseorang pengusaha memandangkan permintaan dan citarasa pembeli kerapkali berubah. Meskipun begitu, Pak Wan masih mampu memperolehi antara RM400.00 hingga RM2,000.00 sebulan.Sebilangan besar dari pelanggan-pelanggan beliau terdiri dari golongan yang berpendapatan sederhana dan sekali sekala sahaja tempahan diterima dari pihak istana.

Masa depan perusahaan seni tembaga secara tradisional akan terjejas ekoran kurangnya pengusaha-pengusaha melibatkan diri dalam bidang yang memerlukan ketekunan dan kreativiti mempelbagaikan hasil-hasil keluaran untuk menghadapi saingan teknologi moden dalam pembuatan tembaga.

Sumbangan

Encik Wan Abdullah Wan Muda, walaupun tidak menyerlah dari segi penglibatan terhadap program-program anjuran kerajaan namun beliau mampu mengahasilkan satu kerja seni yang tinggi kepada negara.

Pengalaman

Warisan seni pertukangan tembaga masih berterusan melalui usaha dan kemahiran diambil alih oleh seseorang  pengusaha dari pengusaha sebelumnya. Mengikut kebiasaan, ia diwarisi oleh salah seorang ahli-ahli keluarga tokoh tersebut sepertimana minat yang ditunjukkan oleh  Encik Daud, anak sulung Pak Wan unuk bergiat dalam bidang ini. Beliau kerap memerhati kerja-kerja ayahnya sebelum membuat sendiri sehinggalah beliau menjadi cekap dalam segala teknik dan proses. Pak wan hanya bertindak memberi panduan dan mengawasi kerja-kerja anak-anaknya.

Dalam pada itu, Pak Wan tidak ketinggalan membimbing, melatih dan mengajar anak-anak muda tempatan. Bagaimanapun tidak ramai yang berminat dan ada di kalangan mereka yang tidak yakin dengan masa depan perusahaan ini.

Selain minat, beberapa ciri seperti dibawah seharusnya diambil kira oleh sesiapa yang ingin menceburi kegiatan membuat tembaga.

  • Kurang berjalan
  • Sentisasa melihat dan memahami cara-cara seseorang pengusaha itu bekerja
  • Gemar membantu pengusaha yang sedang bekerja
  • Mempunyai akal fikiran yang cerdas
  • Tubuh badan yang sihat dan cergas

Latar Belakang Penglibatan Wan Abdullah Wan Muda  

Ditulis oleh : Bahagian Pemuliharaan Kategori :

Kebanyakan tokoh-tokoh kraftangan memperolehi kemahiran di dalam bidang masing-masing dengan cara yang unik. Ada pula yang mewarisi dari ayah atau ibu mereka. Tidak Kurang juga ada yang memperolehi kemahiran melalui pemerhatian sendiri. Encik Wan Abdullah tidak terkecuali di dalam hal seumpama ini. Perbuatan menyentuh dan meramas tanah seperti yang disuruh oleh gurunya secara tidak langsung menghasilkan kebolehan seni pertukangan tembaga kepada beliau. 

Seni kemahiran ini dicapai sewaktu umurnya lapan belas tahun. Beliau bersama rakan-rakan seangkatan yang lain seperti Cik Mat Embung dan Wan Man Embung sering melihat cara-cara memproses acuan dan mengemukakan pertanyaan kepada guru mereka. Segala teknik dan petua yang betul dan kemas difahamkan sedikit demi sedikit sehinggalah beliau dapat menguasai sepenuhnya.

Dikalangan adik-beradik seramai empat orang, hanya beliau dan adiknya Haji Wan Yahya sahaja menceburi bidang ini. Tetapi sekarang hanya Pak Wan sahaja yang meneruskan pekerjaan tersebut kerana adiknya telah pun meninggal dunia.

Hasrat Pak Wan mendalami bidang tembaga tidak menghadapi sebarang kesulitan kerana di kampungnya tokoh-tokoh terkenal seperti Tuan Haji Bakar Abdul rahman, Tuan Haji Mat Cik Abdul Rahman dan Encik Ali Yaakob dapat membantu memberikan pengetahuan dan menyediakan perkakasan tembaga. Tuan Haji Mat dikatakan kerap membekalkan bahan-bahan dan peralatan kepada beliau.

Kreativiti dan minat Pak Wan menarik perhatian kedua-dua orang tuanya. Mereka terus memberi galakan agar bakat semulajadi yang ada tidak terbiar begitu sahaja. Pak Wan terus bergiat secara serius.

Kejayaan / Pencapaian Wan Abdullah Wan Muda  

Ditulis oleh : Bahagian Pemuliharaan Kategori :

Bagi kebanyakkan orang, kemahiran membuat tembaga dipercayai berlaku secara turun temurun. Jika si ayah berkebolehan menukang, sudah tentu anaknya akan mewarisi seni tersebut. Berlainan pula dengan Encik Wan Abdullah, beliau tidak diilhami oleh kepercayaan demikian.

Encik Wan Abdullah bin Wan Muda adalah seorang tokoh pengusaha tembaga yang terkenal di Kuala Terengganu. Beliau menetap di Kampung Abok. Meskipun berasal dari keluarga pelaut dan nelayan, namun minatnya lebih tertumpu ke arah perusahaan tembaga. 

Sejak kecil lagi, Pak Wan dapat menyaksikan keperitan hidup yang dialami oleh para nelayan. Salah seorang dari mereka ialah bapa beliau sendiri iaitu Tuan Haji Wan Muda. Ayahnya percaya bahawa kehidupan seorang pelaut yang sebelum itu diwarisi oleh datuk Pak Wan tidak semudah seperti disangkakan. Jadi ayah beliau mengubah haluan kepada ilmu menangkap ikan bagi memperolehi pendapatan yang memuaskan.

Biodata Wan Abdullah Bin Wan Muda  

Ditulis oleh : Bahagian Pemuliharaan Kategori :

Latar Belakang Kraf Tembaga di Terengganu  

Ditulis oleh : Bahagian Pemuliharaan Kategori :

Seni kraf tembaga dipercayai warisan zaman pemerintahan Dong Son di Funan. Akibat pemberontakan menentang rejim pemerintahan menjelang tahun 800 masehi, ramai nelayan menjadi tukang ukir dan tukang logam berhijrah ke Thailand, Kepulauan Indonesia dan Tanah Melayu. Di sinilah mulanya perkembangan kebudayaan kemahiran seni logam di tanah Melayu, khasnya di Terengganu. Hari ini Negeri Terengganu mempunyai ramai pengusaha dalam barangan tembaga.

Barangan tembaga secara tradisional dibuat menggunakan acuan lilin, tetapi kini acuan pasir digunakan. Kebanyakan proses membuatnya masih menggunakan tangan di mana barangan tembaga putih diperoleh dengan cara mencampurkan tembaga dengan aloi tertentu. Barangan tembaga yang telah siap dibentuk biasanya dihasilkan dengan mesin. Sesetengahnya dihiasi dengan ukiran. Antara barangan tembaga yang dihasilkan oleh beliau ialah tepak sirih, perenjis air mawar, bekas basuh tangan, bekas habuk rokok, sudu, garpu, acuan kuih, periuk, gong dan sebagainya.

Latar Belakang Penglibatan Tokoh Dalam Kraf Pertukangan Tembaga  

Ditulis oleh : Bahagian Pemuliharaan Kategori :

Salah seorang pelopor seni tembaga ialah Encik Wan Abdullah bin Haji Muda. Beliau merupakan seorang tokoh pengusaha tembaga yang terkenal di Kuala Terengganu. Berasal dari Kampung Tanjung, Kuala Terengganu, beliau membesar dalam keluarga nelayan dan selalu menolong bapanya menangkap ikan.

Walaupun dibesarkan dalam keluarga nelayan, minatnya lebih mendalam terhadap perusahaan tembaga. Apabila mengaji al-Quran dan belajar agama, Encik Wan Abdullah mengambil peluang bertanya gurunya mengenai teknik perusahaan tembaga yang akhirnya menjadi sumber pendapatannya.

Dilahirkan pada tahun 1914, dan mula menceburi bidang ini ketika berumur 18 tahun. Hasil keyakinannya dan sikap suka bertanya beliau telah menjadikanya pengusaha tembaga yang berjaya dan terkenal.

Adiguru Kraf Tembaga  

Ditulis oleh : Bahagian Pemuliharaan Kategori :

Seni kraf tembaga dipercayai warisan zaman pemerintahan Dong Son di Funan. Seni ini turut berkembang di Semenanjung Tanah Melayu khususnya di Terengganu yang mempunyai ramai pengusa-pengusaha kecil tembaga. Salah seorang pelopor seni tembaga ialah Wan Abdullah bin Haji Muda. Dilahirkan pada tahun 1913 di Kampung Tanjung, yang merupakan sebuah perkampungan Melayu yang terletak di Kuala Terengganu.

Seperti kanak-kanak lain, Wan Abdullah dihantar ke sekolah agama dan di sinilah titik permulaan penglibatan beliau dalam pertukangan tembaga kerana secara kebetulan guru beliau merupakan tukang tembaga yang mahir. Mula serius menceburi bidang pertukangan tembaga pada usia 28 tahun. Beliau berguru dengan ramai tukang-tukang tembaga antaranya Haji Bakar Abdul Rahman danHaji Mat Cik.

Beliau menghasilkan periuk, acuan kuih dan kuali kemudia menjual kepada penduduk sekitar. Pada tahun 1984 beliau dengan seorang rakan kongsi telah membuka sebuah kedai yang menjual barangan tembaga. Permintaan terhadap barangan tembaga semakin meningkat dan beliau dibantu oleh beberapa orang pekerja bagi menyiapkan tempahan yang diterima. Logam tembaga yang ditempa dan diukir oleh Pak Wan dengan penuh kesungguhan menghasilkan barangan yang indah dan berkualiti menyebabkan namanya tersohor ke seluruh negeri. Kraftangan Malaysia telah melantik beliau sebagai Adiguru Kraf Tembaga pada tahun 1987. Beliau telah meninggal dunia pada 14 Mac 2004.